Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

British Airways digodam; butiran 380,000 kad bank dicuri

British Airways (BA) menyatakan pada Khamis (6 Sep) bahawa maklumat peribadi dan kewangan para pelanggan yang membuat tempahan antara 21 Ogos hingga 5 September dicuri dalam satu penggodaman data yang melibatkan 380,000 kad bank.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Sep 2018 08:55AM Dikemas Kini : 07 Sep 2018 10:20PM

LONDON: British Airways (BA) menyatakan pada Khamis (6 Sep) bahawa maklumat peribadi dan kewangan para pelanggan yang membuat tempahan antara 21 Ogos hingga 5 September dicuri dalam satu penggodaman data yang melibatkan 380,000 kad bank.

"Kami sedang menyiasat secepat mungkin pencurian data pelanggan daripada laman dan app mudah alih kami. Data yang dicuri tidak termasuk maklumat perjalanan atau pasport," menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataannya.

"Butiran peribadi dan kewangan para pelanggan yang membuat tempahan menerusi lelaman web dan app kami terjejas," menurut BA lagi.

"Pencerobohan itu sudah dileraikan dan lelaman kami berfungsi seperti biasa. Kami sudah memaklumkan pihak polis dan pihak berkuasa yang relevan.

"Kami meminta maaf atas gangguan yang disebabkan oleh kegiatan penjenayah ini."

Menurut BA, penggodaman tersebut berlaku antara 9.58 malam pada 21 Ogos dengan 8.45 malam waktu tempatan pada 5 September.

Sekitar 380,000 kad bank terjejas.

BA menasihati sesiapa yang terjejas supaya menghubungi bank dan penyedia kad kredit serta mematuhi saranan mereka.

Berhubung soal pampasan, BA menyatakan: "Kami akan menghubungi para pelanggan dan menguruskan sebarang tuntutan secara individu."

Pihaknya menambah, para pelanggan yang dijadual berangkat boleh mendaftar secara online seperti biasa kerana insiden sudah diatasi.

Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) menyatakan: "Kami maklum tentang laporan-laporan berhubung penggodaman data yang menjejas British Airways dan sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kami untuk menilai langkah seterusnya.

Sebelum ini masalah IT yang dialami BA pada Julai menyebabkan puluhan penerbangan dari Lapangan Terbang London Heathrow dibatalkan.

Pada Mei 2017 pula British Airways dilanda kegagalan sistem komputer yang diakibatkan oleh bekalan tenaga yang terputus. Insiden tersebut menyebabkan 75,000 pelanggan terkandas.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan