Images
  • boracay beach
    Pantai di pulau Boracay, Filipina (Gambar: AFP)

Boracay dibuka semula namun kenakan pelbagai peraturan baru

BORACAY: Pulau peranginan Boracay di Filipina dibuka semula hari ini (26 Okt) kepada para pelancong selepas ditutup selama enam bulan bagi membersihkan pencemaran teruk yang dialaminya.

Pantai-pantai Boracay dianggap salah satu yang terindah di dunia.

Namun pada April Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, mengarahkan pulau peranginan popular itu ditutup untuk dibersihkan setelah menyifatkan perairan Boracay sebagai 'kolam najis' akibat sistem pembetungannya yang tidak diurus dengan baik.

Bagi mengelakkan keadaan itu berulang, beberapa peraturan baru ditetapkan.

Hanya kira-kira 19,000 pelancong kini dibenarkan berada di pulau itu pada satu-satu masa. Dahulu, Boracay boleh dibanjiri sehingga 40,000 pelancong pada satu-satu masa.

Para pengunjung juga tidak lagi dibenarkan merokok atau minum minuman keras di pantai-pantai di pulau itu.

Beberapa daya tarikan di pulau itu termasuk tiga pusat kasino turut diarahkan ditutup oleh Presiden Duterte.

Sebelum tiba di Boracay, setiap pelancong perlu menandatangani ikrar untuk membantu menjaga pulau itu dan tidak membuang sampah sembarangan.

Meskipun sudah dibenarkan kembali menerima pengunjung, pemerintah menyatakan kerja memulihara Boracay masih perlu diteruskan sekitar setahun lagi.

- Agensi berita/MU/TQ/tq

Top