Images
  • bookxcess
    (Gambar: BookXcess/ Facebook)

BookXcess lancar kedai buku 24 jam pertama di Malaysia

CYBERJAYA: BookXcess, pemilik rangkaian kedai buku serta penganjur pesta buku Big Bad Wolf (BBW), mencipta sejarah apabila membuka kedai buku pertama yang beroperasi 24 jam dan meliputi kawasan seluas 37,000 kaki persegi.

Terletak di Tamarind Square, cawangan baru BookXcess itu turut menawarkan lebih 500,000 naskah buku dengan harga antara 50 hingga 80 peratus lebih murah daripada harga pasaran, meliputi pelbagai topik termasuk fiksyen, seni dan rekaan serta buku kanak-kanak dalam pelbagai bahasa.

Ketua Pegawai Produk BookXcess Yujeen Chua berkata kedai yang dibuka sejak Selasa lalu (29 Mei), diharapkan dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat terutama pelajar universiti di sekitar Cyberjaya, Putrajaya dan kawasan berdekatan.


(Gambar-gambar: BookXcess/ Facebook)

"Selain itu, lokasinya yang dikelilingi keindahan landskap menjadi pilihan kerana ia lebih selesa untuk pembaca di BookXcess Tamarind Square, jauh daripada kesibukan bandar dan boleh memberi sumber inspirasi buat pembaca," katanya semasa melancarkan kedai buku itu.

Beliau juga yakin walaupun kedai itu jauh dari Lembah Kelang, ia dapat menarik pelanggan kerana harga buku lebih murah akan menjadi faktor penarik pencinta buku untuk mengunjunginya - malah bukan sahaja dari Lembah Kelang tetapi juga penduduk di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.


Encik Yujeen selanjutnya berkata BookXcess Tamarind Square juga mempunyai tarikan berbeza kerana pusat beli-belah itu mempunyai landskap menarik untuk dijadikan sudut fotografi.

Tambahan lagi, kedai buku itu menyediakan ruang umum untuk pelanggan membuat kerja atau membaca, serta WiFi percuma, kafe dan ruangan untuk mengadakan aktiviti seperti kelas seni dan kraf serta pertandingan mewarna.

BookXcess yang mula dibuka di Amcorp Mall pada tahun 2006 kini sudah membuka tujuh cawangan, antaranya di pusat beli-belah seperti Starling Mall di Damansara, Fahrenheit 88 di Bukit Bintang dan 1Utama di Petaling Jaya. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top