Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Biskut Ondeh-Ondeh paling laris Raya tahun ini, kuih tat & makmur tetap pilihan ramai

Jika anda berkunjung ke rumah sanak-saudara semasa Hari Raya nanti, kemungkinan besar anda akan berjumpa dengan sejenis kuih ‘baru tapi lama’.

Anggaran Waktu Membaca:
Biskut Ondeh-Ondeh paling laris Raya tahun ini, kuih tat & makmur tetap pilihan ramai

Biskut Ondeh-Ondeh boleh disifatkan sebagai 'Raja kuih' bagi Hari Raya tahun ini. (Gambar: Che Zahara Bakery)

BERITAMediacorp: Jika anda berkunjung ke rumah sanak-saudara semasa Hari Raya nanti, kemungkinan besar anda akan berjumpa dengan sejenis kuih ‘baru tapi lama’. Bahkan, sambutan bagi kuih asal tradisional yang diberi sentuhan moden ini melebihi jangkaan para penjual kuih tahun ini, baik di bazar mahupun secara tempahan online.

Ini dia kuih Ondeh-Ondeh, tidak kira dalam bentuk tat atau biskut - ia kuih pertama habis dijual bagi para penjual kuih Raya ditemui BERITAMediacorp ini!

Jadi, mungkin tidak keterlaluan jika kuih Raya Ondeh-Ondeh diisytiharkan sebagai 'Raja kuih' untuk tahun ini.

SEKITAR 500 DULANG BISKUT ONDEH-ONDEH HABIS DIJUAL

Bagi pemilik kedai Kuih Orang Kampung yang sudah 18 tahun berniaga di Bazar Geylang Serai, Cik Saniah Haji Murad, pilihan lebih 60 jenis kuih di gerainya tetap tidak dapat menandingi 'penangan' biskut Ondeh-Ondeh, yang menjadi kuih pertama habis dijual.

Cik Saniah Haji Murad semasa ditemui di gerainya. (Gambar: Ira Musfirah)

"Yang paling laris, biasalah, kuih makmur dan kuih tat. Tapi biskut Ondeh-Ondeh tidak ada langsung! Habis!" ujarnya, yang ditemui BERITAMediacorp di gerainya di Engku Aman Road, berhadapan tempat letak kereta Tanjong Katong Complex.

Malah, menurut Cik Saniah, sekitar 500 dulang biskut Ondeh-Ondeh sudahpun habis dijual. Biskut yang dijualnya, katanya, berbentuk bulat bak Ondeh-ondeh sebenar!

15 HARI, UNTUNG $20,000 DARI KUIH MAKMUR, KUIH TAT

Yang menariknya, Cik Saniah menjual sehingga empat jenis kuih tat. Ia lain-lain rasa, jelasnya.

Daripada kiraan setakat 15 Ramadan lalu juga, Cik Saniah memberitahu BERITAMediacorp beliau sudahpun meraih sehingga sekitar $20,000 hasil penjualan kuih tat dan kuih makmur sahaja. Bayangkan!

"Itu yang paling 'push' (dorong) kami. Sebab kuih tat dan kuih makmur mesti nak ada atas meja. Itulah kepala meja," terangnya, yang mendapatkan bekalan kuih-muihnya daripada kenalan-kenalan di Malaysia.

Kedai Kuih Orang Kampung dikunjungi pelanggan. (Gambar: Ira Musfirah)

Meskipun penjualan bagi biskut lain secara amnya mengalami sedikit penurunan, Cik Saniah tetap sayang kepada Geylang Serai: "Saya tetap suka di sini juga, sebab di Geylang dia sebulan, orang macam mana pun tetap akan pergi Geylang."

TUAH TAHUN PERTAMA BAGI 'TOMELT'

Bagi peniaga tahun pertama di bazar Geylang Serai, Tomelt, jelas tuah menyebelahinya.

Penolong kepada pemilik kedai, Cik Kasma Shariff memberitahu BERITAMediacorp, dalam tiga minggu pertama Ramadan, lebih 400 botol tat Ondeh-Ondeh sudah habis ditempah di gerainya yang terletak bersebelahan Tanjong Katong Complex.

Botol-botol kuih di gerai Tomelt di bazar Geylang Serai. (Gambar: Ira Musfirah)

"Alhamdulillah, ada yang membeli di kedai, ada yang menerusi online. Kedai fizikal terima sambutan lebih baik kerana pelanggan dapat merasa produk kami," jelasnya, yang mendapati tat Nutella yang kedua paling laris di kedai tersebut.

Tat Ondeh-Ondeh Tomelt sudahpun habis dijual. (Gambar: Ira Musfirah)

Ketika pihak kami mengunjungi kedai Tomelt, kesemua botol tat Ondeh-Ondeh juga tidak dipamerkan lagi, selain botol-botol yang sudahpun ditempah dan siap untuk diambil.

Kuih-muih yang dijual di gerai Tomelt. (Gambar: Ira Musfirah)

"Kami bermula dengan 10 jenis kuih. Kini kami hanya tinggal tujuh jenis sahaja," kongsinya ringkas.

CHE ZAHARA BAKERY SAHAJA JUAL 500KG BISKUT ONDEH-ONDEH!

Perniagaan turun-temurun selama 50 tahun Che Zahara Bakery, milik Rita Zahara, ternyata turut mengaut keuntungan berlipat ganda. Biskut Ondeh-Ondeh antara penyumbangnya!

"Penjualan kami naik 300 peratus berbanding tahun lalu. Daripada tiga tan kuih-muih yang dihantar, setengah tan (500kg) adalah biskut Ondeh-Ondeh," kongsi Cik Rita, tentang biskut yang pertama habis dijual itu.

Biskut Ondeh-Ondeh Che Zahara Bakery. (Gambar: Rita Zahara)

Malah, BERITAMediacorp juga diberitahu biskut Ondeh-Ondehnya habis dijual dalam masa tiga hari sahaja! Ya, tiga hari 500 kg biskut Ondeh-Ondeh habis terjual syarikatnya.

Menurut Cik Rita, secara keseluruhannya terdapat semacam ‘kebangkitan’ dalam penjualan kuih-kuih atau biskut-biskut tradisional, berbanding penjualan biskut-biskut yang lebih baru. Ini terbukti menerusi angka penjualannya Ramadan ini.

Kuih tat yang disepit sendiri oleh Rita Zahara. (Gambar: Rita Zahara)

Contohnya, tempahan dan jualan kuih-kuih klasik CZ Bakery seperti kuih tat, kuih makmur dan biskut keju melonjak hampir tiga kali lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini. Iaitu, pada musim Ramadan tahun ini, ia merangkumi 40 peratus keseluruhan penjualan syarikatnya, berbanding 15 peratus sahaja pada tahun-tahun lalu.

(Gambar: Rita Zahara)

CORAK MEMBELI PELANGGAN ONLINE

Cik Rita mendedahkan pelanggan secara purata membelanjakan sekitar $150 untuk membeli kuih dan keknya online. Namun, sekitar 20 hingga 30 peratus pelanggan juga membayar sehingga $700 bagi kuih-muih satu meja, menurutnya, yang memiliki dua kilang di Johor Bahru.

Antara 200 jenis kuih dan kek yang dijual CZ Bakery termasuk Walnut Cappucino dan biskut Salted Caramel serta kek gulung Red Velvet bentuk hati dan kurma, dan kek gulung pelangi Nutella.

Kek gulung pelangi Nutella antara yang paling laris. (Gambar: Rita Zahara)

Meskipun memiliki pelbagai kuih dan kek dengan sentuhan moden, Cik Rita juga tetap mengekalkan kuih klasik seperti kuih bangkit dan kuih tat sebagai tunggak e-niaga beliau.

"Kuih klasik tetap harus ada. Tidak ada apa yang dapat menandinginya. Kuih klasik adalah tunjang kami dan kami juga mengeluarkan kuih dengan nafas baru melalui daya inovasi.

Kuih Bangkit Gula Melaka. (Gambar: Rita Zahara)

"Dunia berubah dengan sangat pesat. Untuk menghargai masa hadapan, kita harus kembali kepada masa lampau," jelasnya, mengakhiri perbualan.

Yang pasti, kita juga dapat menikmati pelbagai hidangan kuih moden dan tradisional semasa menyambut Hari Raya nanti. Tidak kira kuih Ondeh-Ondeh mahupun kuih tat, kuih-muih Melayu jelas masih menerima sambutan memberangsangkan dan ia ternyata petanda baik bagi para peniaga di sini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan