Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bimbang tentang penipuan Facebook? Ini 5 cara untuk lindungi diri anda

Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan terdapat kenaikan jumlah kes pembelian palsu yang dikenakan bayarannya ke atas bil telefon bimbit di laman Facebook.

Anggaran Waktu Membaca:
Bimbang tentang penipuan Facebook? Ini 5 cara untuk lindungi diri anda

Gambar Terence Quek digunakan untuk menipu orang lain. Penipuan boleh bermula di laman Facebook dan juga wadah lain seperti WhatsApp. (Gambar: Terence Quek)

Diterbitkan : 11 Jan 2018 04:11PM Dikemas Kini : 12 Jan 2018 01:07AM

SINGAPURA: Dalam tempoh seminggu, lebih daripada satu kes penipuan online dilaporkan.

Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan terdapat kenaikan jumlah kes pembelian palsu yang dikenakan bayarannya ke atas bil telefon bimbit di laman Facebook.

Hari ini (11 Jan) SPF memberitahu Mediacorp bahawa terdapat 108 kes seumpama itu dilaporkan antara bulan Januari dengan November 2017.

Jumlah ini melonjak berbanding tiada kes yang dilaporkan antara bulan 2015 dengan 2016.

Apakah punca yang menyebabkan ia naik dengan begitu tinggi? Jawapannya: Para penipu yang menggodam dan mengklon akaun-akaun Facebook.

Menurut polis, terdapat 56 kes seumpama itu dilaporkan antara bulan Januari dengan November tahun lalu.

Jadi, apakah yang boleh anda lakukan jika anda mempunyai akaun Facebook dan mahu melindungi diri sendiri?

Periksa 'setting' peribadi anda bagi memastikan hanya rakan-rakan anda yang boleh melihat maklumat dalam akaun anda. Ini menyukarkan bagi para penipu untuk menjadikan anda mangsa mereka.

Berikut ini lagi lima tips untuk anda:

TERIMA PERMINTAAN TEMAN BARU DARI KAWAN LAMA? IA MUNGKIN BUKAN MEREKA

Permintaan itu mungkin datangnya daripada seseorang yang sudah mengklon akaun rakan anda.

Si penipu akan "mengklon keseluruhan" akaun Facebook termasuk nama, gambar profil dan juga gambar 'cover'.

Dengan akaun klon itu, si penipu akan mencuba untuk membuat permintaan untuk menjadi rakan kepada pengikut akaun mangsa. Setelah itu mereka akan diperdaya supaya yakin bahawa si penipu itu adalah rakan mereka.

Sebaik mereka menerima permintaan itu, si penipu akan mengirimkan mesej privet kepada rakan-rakan mangsa untuk meminta salah satu daripada dua perkara - wang atau nombor telefon bimbit dan maklumat penyedia khidmat mereka.

Semasa meminta wang, lazimya si penipu akan mengada-adakan cerita sedih.

Bagi nombor telefon pula,mangsa akan diminta supaya mengirimkan Kata Laluan Sekali (One Time Password atau OTP) kepada mereka menerusi telefon bimbit.

OTP itu akan digunakan untuk membuat pembelian palsu yang bayarannya dikenakan ke atas bil telefon bimbit mangsa, Ada mangsa yang pernah kehilangan sebanyak $16,000 daripada insiden penipuan sedemikian.

"Jangan berkongsi maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, maklumat pasport, nombor telefon, nombor akaun bank atau kad kredit serta OTP ataupun kod pengesahan dengan sesiapa sekali pun. Maklumat seperti itu berguna kepada para penipu," menurut polis.

LINDUNGI DIRI; HADKAN MAKLUMAT DARIPADA ORANG TIDAK DIKENALI

Untuk menghalang si penipu mengambil kesempatan, sembunyikan senarai rakan anda.

Meskipun mereka masih boleh mengklon akaun anda, ia lebih sukar untuk mereka menyasarkan rakan anda sekiranya mereka tidak dapat melihat senarai rakan, menurut pendidik digital Carol Loi.

"Jika si penipu tidak boleh melihat siapa rakan-rakan saya, dia tidak boleh menghubungi rakan-rakan saya," kata beliau.

Untuk menyembunyikan senarai rakan, pergi ke laman "friends" dan klik pada logo pensel untuk mengubah 'setting' peribadi anda.

Tukarkannya kepada "me only" bagi memastikan tiada sesiapa selain anda yang boleh melihat senarai rakan.

GUNAKAN RUANG MEDIA SOSIAL ANDA

Berhenti menggunakan akaun media sosial anda bukan sehaja tidak berkesan malah ia akan memburukkan keadaan.

Seorang usahawan, Terence Quek, pernah menjadi mangsa apabila gambar-gambar lama yang sebelum ini dimuat naik di ke laman Facebook diambil untuk membuka beberapa akaun palsu dalam tempoh dua tahun lalu.

"Maka, pada pendapat saya, 'hadirkan' diri di media sosial dan terima permintaan daripada rakan-rakan anda sahaja," tambah beliau.

APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN JIKA DIKLON?

Mereka yang akaunnya sudah diklon atau menjumpai akaun-akaun palsu boleh membuat aduan kepada Facebook.

Para pengguna boleh melakukannya dengan menekan butang "report" pada bahagian bawah gambar 'cover' pada akaun Facebook yang dicurigai.

Facebook kemudian akan mengeluarkan senarai sebab mengapa anda mahu melaporkan akaun tersebut.

Sesetengah penipu akan menyekat akaun sebenar mangsa untuk mengelakkan daripada diri mereka sendiri dikesan dan disekat.

Apabila itu berlaku, minta rakan-rakan anda supaya melaporkan akaun tersebut bagi pihak anda kerana Facebook menyediakan pilihan sedemikian.

BERCAKAP DENGAN RAKAN

Rakan-rakan anda adalah bahagian penting dalam pengalaman menggunakan media sosial. Dampingi mereka untuk mengawal masalah yang dialami.

Akaun Facebook seorang kakitangan khidmat awam Stephen Sim diklon dua kali dalam tempoh sebulan yang lalu.

"Si penipu akan ke senarai rakan saya dan menggunakan khidmat mesej Facebook untuk meminta nombor telefon rakan-rakan saya. Rakan-rakan saya memaklumkan kepada saya bahawa ia berlainan daripada kebiasaan saya. Caranya lain dan bahasa Inggerisnya juga tidak begitu baik," kata beliau.

Malah si penipu turut menyatakan dia kehilangan semua nombor telefon (rakan-rakan) kerana dia menukar telefon.

Hanya setelah dimaklumkan oleh rakan-rakannya mengenai mesej-mesej dari sebuah akaun palsu, Encik Sim segera melaporkannya kepada Facebook.

"Mereka (Facebook) hanya mengambil masa kurang seminit untuk menutup akaun tersebut," kata Encik Sim.

Pada bulan lalu, Facebook menyatakan sebanyak 10 peratus daripada dua bilion pengguna bulanannya dianggarkan adalah akaun palsu. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan