Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bila anda perlu gantikan bantal, permaidani, kuali? Ini jawapannya…

Dari tilam ke permaidani, bakteria boleh membiak dengan begitu cepat jika dibiarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bila anda perlu gantikan bantal, permaidani, kuali? Ini jawapannya…

Permaidani. (Gambar: MOHAMMED MAHJOUB / AFP)

Diterbitkan : 09 Apr 2018 07:05PM Dikemas Kini : 09 Apr 2018 07:57PM

BERITAMediacorp: Memastikan rumah anda bersih bukan setakat dengan mengelap lantai dapur dan mencuci tandas.

Terdapat banyak lagi peralatan rumah yang perlu kerap digantikan, namun tidak ramai yang menyedarinya, lapor laman Independent. Dari tilam ke permaidani, bakteria boleh membiak dengan begitu cepat jika dibiarkan.

Laman Netmums, mengumpulkan senarai tarikh luput yang tertera pada beberapa objek yang biasa digunakan dan dapatannya jelas sekali.

BERUS GIGI

Doktor gigi akan memberitahu anda, kebersihan gigi amat penting. Bukan sekadar berus gigi perlu diganti supaya anda boleh membersihkan gigi dengan lebih baik, namun penting juga untuk anda menukar berus gigi sekiranya anda kerap jatuh sakit.

Seorang doktor gigi, Dr Ben Atkins memberitahu laman Netmums, berus gigi perlu digantikan setiap tiga bulan, sambil menambah berus gigi kanak-kanak pula perlu digantikan lebih awal daripada itu.

Gambar fail berus gigi dan ubat gigi. (Gambar: AFP/Saul Loeb)

BERUS RAMBUT

Jika anda kerap menyikat rambut menggunakan sikat atau berus yang sama, ia boleh mengumpulkan pelbagai bakteria yang hinggap di kepala anda. Pendandan rambut, Jamie Stevens, menasihatkan agar berus rambut dicuci sekurang-kurangnya seminggu sekali dan membeli yang baru setahun sekali.

“Bersihkan berus rambut anda menggunakan air panas dan sabun dan buang rambut-rambut yang tersangkut padanya,” kata beliau seperti yang dipetik laman Independent. “Kemudian gunakan semburan pemusnah bakteria pada berus,” tambah beliau.

SELIPAR RUMAH

Apabila anda memakai selipar di rumah, ia mungkin membantu menghangatkan kaki. Namun pernahkah anda terfikir tentang kebersihannya?

“Anda perlu berfikir tentang apa sahaja permukaan yang menyentuh kulit anda,” kata pakar kebersihan Profesor Sally Bloomfield.

Anda perlu kerap mencuci selipar untuk mengurangkan risiko jangkitan dan menggantikannya setiap enam bulan, lapor lama Independent.

“Jika anda mengalami jangkitan kuman, misalnya, anda boleh menjangkitinya sekali lagi,” jelas Dr Bloomfield.

(Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

(Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

BAHAN PEMBERSIH/PENCUCI

Bahan pembersih atau pencuci lantai tandas atau permukaan perlu digantikan setiap tiga bulan.

Bahan yang tidak digunakan dalam tempoh tiga bulan mungkin tidak berkesan apabila anda menggunakannya.

PERMAIDANI

Apabila anda berjalan atas permaidani setiap hari, mudah sekali untuk tidak terfikir tentang kotoran yang ada padanya.

Permaidani mengandungi pelbagai jenis bakteria daripada tumpahan makanan atau kasut yang kotor. Oleh itu, permaidani anda perlu ditukar setiap lima hingga 15 tahun.

Ini bergantung kepada bahan yang digunakan untuk membuat permaidani itu, memandangkan jenis permaidani menentukan jumlah kotoran yang terperangkap.

BEKAS PLASTIK

Bagi yang sering membawa bekal makanan dalam bekas plastik ke tempat kerja setiap hari, mesej ini untuk anda.

Jika bekas plastik yang digunakan sudah menampakkan kesan garisan atau jika anda memasukkannya ke dalam ketuhar untuk memanaskan makanan, anda mungkin secara tidak langsung mendedahkan makanan kepada bahan toksik berbahaya.

Pastikan anda menggantikannya sekurang-kurangnya setiap enam bulan, lapor Independent.

(Gambar: JUSTIN TALLIS / AFP)

(Gambar: JUSTIN TALLIS / AFP)

KUALI

Memasak dalam kuali yang sudah bergaris atau sumpik tidak digalakan.

Anda perlu menggantikan kuali sekurang-kurangnya setiap tiga hingga lima tahun. Ini kerana memasak menggunakan kuali yang sudah rosak mungkin mendedahkan makanan kepada bahan berbahaya dan mencemarinya.

Malah, kuali tidak melekat yang dijual di pasaran juga dilaporkan mengandungi bahan politetrafluoroetilena (PTFE) yang dikhuatiri boleh menyebabkan barah, menurut Persatuan Barah Amerika.

TUALA MANDI

Tuala mandi yang baru dibeli, lembut dan nikmat rasanya apabila digunakan. Apabila ia sudah lama digunakan kita boleh mengagak sudah tiba masanya untuk digantikan kerana teksturnya kasar.

Apabila tuala anda tidak lagi menyerap air sebaik semasa baru dibeli, ini bermakna lebih mudah untuk bakteria membiak pada permukaannya. Cuba gantikan tuala mandi setiap satu hingga tiga tahun.

BANTAL

Jika anda tidak mencuci bantal setiap tiga bulan sekali, maka anda mendedahkan muka anda kepada kotoran.

“Bantal lama yang tidak dicuci mengandungi sebanyak 10 peratus kulit mati, pepijat dan najisnya yang menyebabkan alahan,” menurut Majlis Tidur Amerika Syarikat seperti yang dipetik laman Independent.

Majlis Tidur menyarankan agar anda menggantikan bantal setiap dua hingga tiga tahun.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan