Images
  • Generic Man Exercise NDR
    Gambar fail seorang lelaki tua bersenam. (Gambar: MCI)

Bersenam mungkin bukan kunci untuk kurangkan berat badan

NEW YORK: Sering kali kita mendengar keluhan dari mereka yang gagal mengurangkan berat badan meski sering bersenam. Baru-baru ini, satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik daripada Persatuan Kencing Manis Amerika Syarikat mendapati bahawa seseorang tidak mampu mengurangkan berat badan dengan hanya bersenam.

Meskipun kajian itu dilakukan ke atas tikus-tikus namun hasilnya juga relevan kepada manusia.

Ini sebabnya mengapa...

TIDAK AKTIF SELEPAS BERSENAM

Dalam kajian yang dijalankan, tikus-tikus dikurung dalam sangkar di mana makanan dan roda senaman diletakkan di dalamnya. Kegiatan haiwan itu kemudian dipantau.

Para penyelidik mendapati tikus-tikus itu sering bermain di atas roda mainan setiap hari, seolah-olah ia menjadi sebahagian daripada kegiatan sehariannya.

Namun, apa yang mereka perhatikan ialah, setiap kali tikus-tikus berkenaan bermain 'kejar-kejaran' atau bermain di atas roda berkenaan, ia menjadi lemah dan tidak banyak bergerak.

Ini, menurut para pengkaji sesuatu yang biasa berlaku kerana sistem tubuh kita akan mengesan tenaga yang digunakan meningkat. Bagi memastikan tubuh tidak kehabisan tenaga, haiwan dan manusia secara semula jadi akan menjadi kurang aktif.

PERLU UBAH POLA PEMAKANAN

Namun menariknya, tikus-tikus dalam sangkar berkenaan tidak makan berlebihan meskipun melakukan kegiatan fizikal lebih daripada biasa.

Semuanya tidak berubah, hanya sahaja 'bersenam' menjadi sebahagian daripada kegiatan seharian tikus-tikus tersebut. Hasilnya, pembakaran kalori dalam tubuh lebih tinggi. Pada masa yang sama, jumlah kalori yang bertambah dalam tubuh tidak berubah.

Ini membuat berat badan tikus berkenaan berkurangan.

Oleh itu, jika anda merancang untuk mengurangkan berat badan anda, barang diingat bahawa bersenam sahaja tidak mencukupi. Anda harus pastikan anda kekal aktif pada luar waktu bersenam. Pemakanan anda juga perlu dikawal dengan baik. Bersenam tidak haruslah menjadi alasan bagi anda untuk makan secara berlebihan.  

- CNA/AQ/aq

Komen Anda?

Top