Images
  • exercise mood
    Seorang wanita sedang berlari-lari anak di Taman Cunningham di Queens, New York. (Gambar fail: Shannon Stapleton/Reuters)

Bersenam bukan saja baik bagi kesihatan mental; 'mood' pun boleh bertambah baik

WASHINGTON: Senaman sememangnya satu kegiatan yang sihat dan amat digalakkan. Ia bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal, malah ia juga dapat memberi manfaat kepada kesihatan mental kita.

Baru-baru ini, satu kajian Amerika Syarikat memberi gambaran bahawa individu yang bersenam mungkin kurang mengalami tanda-tanda masalah kesihatan mental - dan ini mungkin terbukti meskipun senaman yang dilakukan melibatkan kerja-kerja rumah, menurut para penyelidik.

Pasukan penyelidik mengkaji data yang dikumpulkan daripada lebih 1.2 juta orang dewasa rakyat Amerika.

Para peserta turut ditanya berapa kali mereka bersenam dalam tempoh sebulan, selain kegiatan fizikal yang dilakukan di tempat kerja. Para peserta juga ditanya tentang jumlah hari mereka mendapati kesihatan mental mereka "terganggu" akibat tekanan, kemurungan atau masalah emosi.

Secara keseluruhannya, para peserta menyatakan bahawa kesihatan mental mereka secara purata terganggu sekitar 3.4 hari setiap bulan, menurut hasil tinjauan yang diterbitkan dalam The Lancet Psychiatry.

Jika dibandingkan dengan golongan yang tidak pernah bersenam, mereka yang melakukan beberapa kegiatan fizikal di luar tempat kerja mendapati bahawa jumlah hari di mana kesihatan mental mereka terganggu adalah lebih rendah - iaitu secara purata, kurang 1.5 hari berbanding mereka yang tidak bersenam langsung.

Kesan senaman juga lebih ketara bagi mereka yang mempunyai sejarah kemurungan.

Bagi golongan itu, mereka yang bersenam mendapati bahawa jumlah hari di mana kesihatan mental mereka terganggu adalah jauh lebih rendah - iaitu kurang 3.8 hari setiap bulan berbanding golongan yang tidak bersenam.

"Mereka yang bersenam mempunyai kesihatan mental yang lebih baik berbanding individu yang tidak bersenam dan ini terutama sekali bagi mereka yang bersenam antara tiga hingga lima kali setiap minggu, dan selama sekitar 45 minit setiap kali," kata penyelidik kanan Adam Chekroud, seorang penyelidik psikiatri dari Universiti Yale di New Haven, Connecticut.

"Kajian ini menekankan bahawa senaman menawarkan pelbagai manfaat kepada kesihatan, tanpa mengira usia, kaum, jantina, pendapatan atau status kesihatan fizikal anda," kata Chekroud menerusi kiriman emel.

"Setiap senaman dapat membantu kesihatan mental, meskipun ia hanya dilakukan selama 30 minit. Setiap jenis senaman, termasuk berjalan kaki juga dikaitkan dengan risiko masalah kesihatan mental yang lebih rendah."

Sukan-sukan berpasukan dan mengayuh basikal mempunyai kaitan kukuh dengan risiko rendah masalah kesihatan mental - dengan mengurangkan jumlah hari kesihatan mental terganggu sebanyak 22 peratus berbanding mereka yang tidak bersenam. Ini disusuli oleh senaman aerobik dan gim, yang menunjukkan risiko berkurangan hampir 21 peratus.

Senaman-senaman seperti yoga dan tai chi juga didapati mengurangkan jumlah hari kesihatan mental terganggu sebanyak 23 peratus. Malah jika anda hanya melakukan kerja rumah, jumlah hari tersebut dapat dikurangkan sekitar 9.7 peratus!

Namun bagaimana pula jika anda terlalu banyak bersenam?

Para penyelidik mendapati bahawa orang dewasa yang bersenam lebih 90 minit bagi setiap sesi melaporkan pengurangan yang lebih kecil pada jumlah hari kesihatan mental mereka terganggu, berbanding mereka yang bersenam selama 30 hingga 60 minit.

Mereka yang bersenam selama lebih tiga jam setiap sesi pula mengalami gangguan pada kesihatan mental mereka pada lebih banyak hari, berbanding mereka yang bersenam selama hanya 45 minit atau tidak bersenam langsung.

Maka itu, marilah terus bersenam tetapi janganlah sampai keterlaluan melakukannya! 

- Reuters/AI/ai

Top