Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Beg sekolah berat ada kaitan dengan sakit belakang? Itu tidak benar

Kita sering kali mendengar ibu bapa menasihati anak-anak mereka supaya jangan membawa terlalu banyak barang atau beg terlalu berat ke sekolah.

Anggaran Waktu Membaca:
Beg sekolah berat ada kaitan dengan sakit belakang? Itu tidak benar

(Gambar hiasan: REUTERS/Eric Gaillard)

Diterbitkan : 20 Jun 2018 08:42PM Dikemas Kini : 30 Jun 2018 11:17PM

REUTERS: Kita sering kali mendengar ibu bapa menasihati anak-anak mereka supaya jangan membawa terlalu banyak barang atau beg terlalu berat ke sekolah. Malah, sesetengah ibu bapa akan membuat aduan jika anak mereka perlu membawa beg yang berat, mungkin kerana rasa kasihan.

Tidak perlu bimbang. Baru-baru ini, satu kajian yang dijalankan di Australia mendapati beg sekolah tidak meningkatkan risiko sakit belakang dalam kalangan kanak-kanak.

Sebelum ini, satu garis panduan dikeluarkan oleh pelbagai pertubuhan yang menyarankan supaya berat beg sekolah dihadkan antara lima hingga 20 peratus berat badan mereka. Namun, tiada kajian yang dilakukan semula untuk merumuskan hasil kajian saintifik itu.

"Ramai orang percaya, beg sekolah satu masalah bagi kanak-kanak. Ramai ibu bapa dan pakar kesihatan percaya ia boleh mengakibatkan sakit belakang pada anak-anak mereka," kata ketua pasukan penyelidik Tie Parma Yamato dari Universiti Sydney di New South Wales.

Antara faktor-faktor yang kononnya mengakibatkan sakit pinggang pada kanak-kanak adalah berat beg sekolah, cara murid-murid mengangkat beg dan reka bentuk beg. Namun belum ada bukti yang kukuh untuk mengesahkan ini, kata Cik Parma.

"Oleh sebab itu, kami memutuskan untuk menjalankan kajian dalam bidang ini bagi memahami dengan lebih baik kaitan antara beg sekolah dengan sakit belakang," kata beliau.

KAJIAN LAIN YANG DIJALANKAN TIDAK TEPAT

Seperti yang dibentangkan dalam Jurnal Perubatan Sukan Britain, Cik Parma dan pasukannya meneliti 69 kajian berkaitan. Kajian-kajian tersebut melibatkan lebih 72,000 kanak-kanak.

Lima daripada kajian yang diteliti meninjau penggunaan beg sekolah dengan kemudaratan sakit belakang secara berperingkat. Salah satu kajian tersebut mendapati kanak-kanak yang dikatakan sukar mengangkat beg sekolah, berisiko mengalami sakit belakang manakala satu lagi kajian menyatakan kanak-kanak yang membawa beg sekolah terlalu berat berdepan dengan risiko sakit belakang.

Bagaimanapun, ketika penyelidik menyemak semula kajian tersebut, mereka tidak menemui bukti bahawa ciri-ciri beg sekolah seperti berat, reka bentuk dan cara ia dibawa meningkatkan risiko sakit belakang dalam kalangan kanak-kanak.

Bukti-bukti daripada 64 kajian lain pula menunjukkan tiada kaitan konsisten antara penggunaan beg sekolah dengan sakit belakang.

MESEJ UTAMA

Analisis itu terbatas kerana hanya beberapa kajian yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak secara berterusan, dan mereka yang menyertai kajian itu sudahpun berisiko mengalami sakit belakang.

Namun, mesej utamanya bagi ibu bapa adalah mereka tidak perlu terlalu bimbang jika beg sekolah anak mereka menjadi punca sakit belakang.

"Ramai sering beranggapan bahawa sakit belakang dalam kalangan kanak-kanak sebagai suatu kecederaan lalu mereka cuba mencari puncanya. Secara semula jadi, mereka akan berfikir beg sekolah punca utamanya," kata Cik Parma.

Malah, tambah beliau, "kegiatan fizikal dan berat (yang dipikul) sebenarnya baik untuk tulang belakang". Tentu ini sesuatu yang diinginkan ibu bapa.

Ramai masih mempunyai pandangan kuno bahawa postur yang tidak baik adalah punca sakit belakang. Oleh itu, apabila mereka melihat anak-anak mereka memikul beg hanya atas salah satu bahunya, mereka bertanggapan postur itu tanda kurang baik, kata Cik Parma.

"Jika seorang kanak-kanak mengalami sakit belakang, sudah tentu anda perlu memastikan beg yang dipikul tidak terlalu berat supaya ia dapat mengurangkan rasa sakit. Tetapi selepas mereka pulih, mereka boleh mengangkat beg sekolah berat seperti biasa," tambah beliau.  

Sumber : Reuters/AQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan