Images
  • robotic barbie
    (Gambar: Design Spark/ Facebook)

Barbie Robotik dihasilkan untuk tiup inspirasi dalam kalangan wanita

AMERIKA SYARIKAT: Syarikat Mattel menghasilkan versi baru anak patung 'Barbie' dengan harapan dapat meniup inspirasi kepada kanak-kanak perempuan supaya menceburi bidang kejuruteraan dan sains.

'Barbie' yang mula dijual di pasaran pada 1958, tidak lagi akan hanya menampilkan imej "seorang wanita cantik dan pandai menari bersama pasangannya, Ken", lapor NDTV. Malah, watak itu akan lebih menonjolkan ciri-ciri seorang wanita yang memikul tanggungjawab dalam kerjaya yang tidak sering diceburi golongan wanita.

Syarikat Mattel turut mengumumkan tentang "Kerjaya Tahun 2018" Barbie iaitu sebagai seorang jurutera robotik - kerjaya yang hakikatnya didominasi kaum Adam. Sekitar 90 peratus kakitangan dalam bidang itu merupakan golongan lelaki.

Menurut NDTV, Mattel juga berganding bahu dengan platform permainan Tynker bagi menyediakan kanak-kanak dengan pengalaman untuk mencuba pengekodan (coding).

"Selama hampir 60 tahun, Barbie memberikan kanak-kanak perempuan pendedahan kepada kerjaya-kerjaya yang kurang diceburi golongan wanita, untuk membuktikan kepada mereka bahawa mereka boleh menjadi sesiapa sahaja," kata Naib Presiden Kanan Mattel bagi Barbie, Lisa McKnight dalam satu kenyataan seperti ditukil NDTV.

"Bermain dengan Jurutera Robotik Barbie secara online mahupun luar talian, kami ingin menyediakan mereka dengan platform baru untuk bermain dalam dunia imaginasi mereka sambil mengajar mereka kemahiran-kemahiran yang penting dalam dunia nyata."

Anak-anak patung 'Barbie' yang dihasilkan dengan imej lebih 200 wanita bekerjaya, "semuanya bagi memperkukuh matlamat jenama itu iaitu mengembangkan potensi setiap kanak-kanak perempuan," menurut Mattel dalam kenyataannya.

Hanya 24 peratus jawatan dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di Amerika Syarikat disandang golongan wanita.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top