Images
  • e-book
    (Gambar hiasan: Daniel Roland/ AFP)

Bahan bacaan cetak masih jadi pilihan berbanding e-buku

KUALA LUMPUR: Kemunculan wadah pembacaan e-buku melalui telefon bijak secara percuma masih belum dapat menandingi tarikan yang ada pada buku fizikal.

Penerbit Layar Minda Publication Norden Mohamed percaya trend pemilihan bacaan bercetak dalam kalangan masyarakat tempatan masih tinggi walaupun terikat dengan faktor kos dan kemampuan dari aspek logistik untuk mendapatkan bahan bacaan tersebut.

"Jika mereka daripada era buku bercetak, saya percaya mereka sukar untuk beralih kepada pembacaan secara dalam talian kerana ada nilai sentimental bagi setiap buku yang mereka 'sentuh'. Bagi golongan muda bagaimanapun bacaan online pastinya menjadi pilihan disebabkan ia lebih murah memandangkan kekangan dari segi kewangan," katanya.

Penasihat Kumpulan Buku Alaf 21 yang juga bekas Ketua Editor Sinar Harian itu berkata faktor budaya juga memberi kesan terhadap pemilihan bentuk bacaan dalam kalangan masyarakat.

"Ibu bapa di Barat walaupun dikelilingi pelbagai teknologi yang lebih maju, masih memilih bahan bacaan bercetak untuk anak mereka dan ini dapat dilihat melalui bahan bacaan yang digunakan ketika mahu menidurkan anak-anak mereka.

KECENDERUNGAN PELBAGAI

"Bed time story atau cerita-cerita pada waktu tidur kanak-kanak yang dipilih adalah bahan bercetak kerana mereka percaya interaksi berbentuk fizikal mampu merangsang perkembangan otak dan motor kanak-kanak berbanding penggunaan peranti. Berbeza di Asia, ibu bapa kini lebih cenderung menggunakan gajet sebagai bahan interaksi pembelajaran termasuk pembacaan," katanya.

Sementara itu, penulis novel Suci Hidayat berpendapat pembaca masih memilih naskhah secara bercetak berbanding bahan bacaan dalam talian, biarpun wujud pelbagai teknologi dan aplikasi untuk bahan bacaan termasuk novel.

"Kalau lihat dari segi angka, dalam 7,000 naskhah novel saya yang terjual, mungkin ada dua pembaca sahaja yang akan meminta dalam bentuk digital. Itupun kalau mereka menetap di luar negara kerana jika dihantar melalui pos, ia akan mengambil masa dan kos yang besar," katanya.

Walaupun penulisannya terkenal melalui alam maya, beliau hanya menggunakan wadah ini bagi memasarkan dan menjual naskah nukilannya memandangkan cara itu mampu menarik lebih ramai pembaca untuk memiliki novelnya.

KEPUASAN MEMBACA BUKU FIZIKAL

Seorang jurutera di sebuah syarikat swasta Benjamin Arshad berkata bahan bacaan bercetak lebih mendatangkan kepuasan kepadanya terutama apabila melihat buku-buku yang dimiliki disusun rapi di atas rak.

"Saya suka bau buku dan memegang buku secara fizikal sambil menyelak helaian buku seolah memberi terapi kepada saya. Lagipun buku (novel) tidaklah berat mana pun dan masih boleh dibawa ke mana-mana secara praktikal. Bagi harga pula, saya masih boleh dapatkan diskaun di pesta buku atau mana-mana kedai yang mengadakan promosi," katanya.

Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Nafisah Ahmad pula berkata peralihan kepada pembacaan secara dalam talian semakin ketara meningkat disebabkan perubahan gaya hidup digital dan peningkatan kadar jangkauan jalur lebar.

"Ia sesuatu yang tidak boleh dielak dan di PNM sendiri, terdapat peningkatan terhadap trend pinjaman melalui sistem dalam talian atau u-Pustaka.

Katanya, pembacaan melalui u-Pustaka juga semakin menjadi pilihan dengan penggunaan dalam talian sebanyak lebih tiga juta pada 2016 berbanding lebih 4 juta pada 2017, dipercayai dipengaruhi oleh kadar jangkauan jalur lebar di Malaysia. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top