Images
  • 1main
    Atiqah Fairuz Md Salleh, Editor Perhubungan Digital bagi laman Institut Pengurusan Bersepadu Bahan Fluks & Sumber, Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNU-FLORES. (Gambar: Atiqah Fairuz Md Salleh)
  • 2main
    Haryati Afendy, Ketua Kerjasama, Splyt Technologies. (Gambar: Haryati Afendy)
  • 3main
    Linda Steinbock, Penasihat Kanan MEAL Serantau, Save the Children. (Gambar: Linda Steinbock/Save the Children)

Bahagian 1 Kaca Mata Wanita Milenial S’pura: Atiqah, Haryati & Linda cemerlang tebar sayap ke peringkat antarabangsa

BERITAMediacorp: Fasih bertutur sekurang-kurangnya tiga bahasa. Berani keluar dari kepompong selesa dengan melebarkan sayap apabila muncul peluang. Mencipta nama berdasarkan pencapaian cemerlang yang dikecapi dalam bidang pilihan.

Itulah ciri-ciri yang dimiliki tiga wanita muda yang diwawancara BERITAMediacorp. Mereka berani menongkah arus perubahan global dan membuktikan bahawa apa yang ditawarkan oleh generasi milenial Singapura mampu meninggalkan kesan positif di dunia.

Dalam laporan ini, BERITAMediacorp mengajak anda mengenali Atiqah Fairuz Md Salleh, Haryati Afendy dan Linda Steinbock.

ATIQAH: PERLU BERSEDIA TERIMA KRITIKAN

Cik Atiqah Fairuz Md Salleh, 30 tahun, bertugas sebagai Editor Perhubungan Digital bagi laman Institut Pengurusan Bersepadu Bahan Fluks dan Sumber di Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNU-FLORES. Beliau merupakan satu-satunya anggota kumpulan dari Asia yang bertugas di sana. Tugasnya memerlukan beliau berpindah dan menetap di Jerman.

Cik Atiqah bertanggungjawab antara lain membangunkan dan menguruskan kandungan laman tersebut menerusi perbincangan dengan rakan-rakan sekerja dari latar belakang dan negara yang berbeza. Ini termasuk perancangan strategi media sosial.

(Gambar: Jan Rieger)

“Saya merupakan satu-satunya anggota kumpulan dari Asia dan ini bagi saya satu-satunya peluang keemasan bagi seseorang bukan dari Jerman atau negara-negara besar, berpengaruh yang lain, dalam mempengaruhi bagaimana hal-hal atau isu-isu semasa sedunia disampaikan.

"Jadi, bagi saya pertukaran itu (adalah) dua hala. Saya didedahkan kepada pelbagai pengaruh dan pada masa yang sama, ini adalah peluang yang menarik untuk saya (menyumbang kembali kepada pembentukan dan) mempengaruhi pula persepsi-persepsi mereka yang lain,” kata Cik Atiqah, yang sudah bertugas di sana sejak 2016.

(Gambar: Claudia Matthias)

Setelah sekitar lima tahun menetap dan bekerja di Jerman dan kini berpangkalan di Dresden, Cik Atiqah merumuskan bahawa seseorang itu harus sentiasa bersedia dengan “keterbukaan (minda) kepada pengalaman, kepada kritikan” selain berani berdepan dengan pelbagai cabaran.

HARYATI: PELAJARI BAHASA TEMPATAN

Namun, tidak dapat dielakkan, timbul juga kebimbangan apabila memikirkan tentang peralihan kehidupan ke luar negara disebabkan kerjaya. Khususnya, keterbukaan pihak majikan menawarkan peluang-peluang kerja dalam suasana “ekonomi bebas hari ini, (di mana) batasan geografi semakin kabur”. Ini, sekaligus menyengitkan lagi persaingan.

Menurut Cik Haryati Afendy, 29 tahun, beliau kerapkali dilemparkan dengan soalan-soalan sedemikian. Beliau adalah Ketua Kerjasama di Splyt Technologies, iaitu sebuah syarikat pemula teknologi dalam sektor pengangkutan.

(Gambar: Haryati Afendy)

“Soalan yang selalu saya terima, kebanyakan mengenai pertimbangan keperluan visa. Nasihat saya, jangan biarkan kebimbangan ini membataskan anda. Dalam dunia satu klik ini, kalau anda menonjol, majikan tentu akan menaja anda,” kongsi Cik Haryati, yang berpangkalan di London. Sebelum ini beliau pernah bertugas sebagai Ketua Serantau di Trivago bagi pasaran Asia, selama lima tahun, di Jerman.

Sekalipun demikian, Cik Yati akur bahawa bekerja di luar negara turut membawa cabaran-cabarannya yang tersendiri apabila melakukan rutin-rutin harian. “Rutin seharian boleh menjadi mencabar kerana bahasa asing, tetapi jika anda boleh menyesuaikan diri dan boleh (mempelajari dan bersedia diajar), ini boleh membantu. Cuba pelajari bahasa tempatan ataupun sertai kumpulan yang anda giat dan suka lakukan, (semasa berada) di Singapura.”

LINDA: AKTIF KERJA-KERJA KEMANUSIAAN

Bagi Linda Steinbock, 30 tahun, peranan dan sokongan keluarga dan rakan-rakan penting untuk beliau berjaya menyumbang tenaga dan membantu orang-orang yang memerlukan.

“Saya beruntung dikelilingi keluarga dan rakan-rakan yang benar-benar menyokong kerjaya saya dan kesejahteraan saya," kata Cik Linda yang bertugas sebagai Penasihat Kanan MEAL Serantau (Pemantauan, Penilaian, Kebertanggungjawaban dan Pendidikan).

Beliau juga menyertai Program Pembangunan dan Mutu (PDQ) Asia dan Serantau yang memberikan sokongan kepada pertubuhan Rohingya Response, Save the Children.
Sepanjang tujuh tahun bertugas di Save the Children, sebuah badan yang bukan mencari untung, Cik Linda terdedah kepada pelbagai tugasan yang tertumpu kepada respons sokongan kemanusiaaan. Ini termasuk memberikan sokongan selepas berlaku gempa bumi di Nepal, taufan yang membadai Filipina, kemarau yang berlaku di beberapa kawasan di Indonesia, krisis Syria dan yang terbaru, krisis pelarian Rohingya, di rantau ini.

Beliau turut bertanggungjawab memantau dan menilai projek-projek bagi golongan kanak-kanak mencakupi bidang pendidikan, perlindungan, kesihatan dan lain-lain. “Secara purata, saya meluangkan masa di serata rantau ini sekitar dua minggu sebulan bagi menyokong program-program jangka panjang selain program-program bantuan kemanusiaan kami,” jelas Linda, anak kacukan Sweden Melayu.

Cik Linda mula berjinak-jinak dalam bidang bantuan kemanusiaan dengan menjalani latihan amali di Save the Children dan tertarik dengan peluang untuk membentuk pemahaman terhadap keadaan pelbagai masyarakat berbeza serta meninjau cara-cara untuk membantu golongan memerlukan.

PELARIAN TETAP PUNYA HARAPAN


(Gambar: Linda Steinbock/Save the Children)

Antara detik penuh bermakna yang begitu meninggalkan kesan adalah ketika beliau bertemu dengan seorang lelaki berusia 23 tahun, yang dilahirkan dan dibesarkan di sebuah kem pelarian Rohingya, Bangladesh. Lelaki itu mendidik dirinya sendiri dan juga kanak-kanak di sana.

“Beliau tidak pernah melangkah keluar dari kem itu, maka tidak mempunyai sebarang idea tentang dunia luar. Namun, beliau masih berharapan besar dan berusaha mencipta peluang-peluang bagi masa depannya dengan mempelajari bahasa Inggeris supaya boleh mendapatkan pekerjaan sekiranya beliau berpeluang meninggalkan kem tersebut.

"Saya berpendapat bahawa ramai yang bertanggapan bahawa golongan yang memerlukan tidak mempunyai sebarang harapan. Tetapi, seringkali, saya mendapati bahawa mereka mempunyai harapan serta motivasi yang tinggi dalam kehidupan; lebih daripada apa yang kita bayangkan," ujar Cik Linda.

Pengalaman sedemikian menebalkan azam Cik Linda untuk meneruskan usahanya membantu mempertingkat kehidupan golongan sedemikian.


RUMAH BUKAN ‘TEMPAT’ TAPI ‘PERASAAN’

Bagi Cik Yati, sifat berdikari dan semangat kental dalam dirinya banyak membantu sepanjang berada di luar Singapura. Ini memandangkan antara skop tugasannya adalah mengenal pasti peluang-peluang kerjasama di peringkat global di mana beliau perlu berkomunikasi dengan rakan-rakan syarikat dari merata dunia, yang zon masanya berbeza-beza.


(Gambar: Haryati Afendy)

Selain itu, beliau juga perlu memastikan komunikasi dan interaksi yang berkesan di pejabat yang terdiri daripada karyawan pelbagai latar belakang. “Saya pernah menguruskan pekerja-pekerja dari 10 negara. Jadi, bayangkan cabaran menyesuaikan keadaan dan merangsang mereka. Satu-satu sangat berlainan walaupun ramai daripada kami berasal dari Asia. Setiap keputusan perniagaan yang saya buat mempunyai ribuan pertimbangan,” jelas Yati, yang fasih dalam enam bahasa, termasuk bahasa Jerman, Perancis dan Sepanyol.

Adat bertugas di luar negara, sekali sekala rindukan tanah air. Namun tugasnya sekarang membataskan masa untuk beliau pulang ke Singapura lebih kerap.

Ini bagaimanapun memberikan pengajaran yang bernilai buat dirinya yang membentuk satu falsafah hidup: “Semakin saya mengembara untuk kerja dan dalam masa lapang, semakin saya rasa rumah itu bukanlah sesuatu tempat, tetapi rumah bagi saya sekarang adalah satu perasaan.”

Yang pasti, Cik Haryati, Cik Atiqah dan Cik Linda membuktikan bahawa pengalaman luas bukan saja mewarnai kehidupan, tetapi juga mematangkan lagi minda dan pemikiran mereka.

- BERITAMediacorp/HS/hs

Komen Anda?

Top