Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Awas! Ubat pelangsing badan ini ada bahan bahaya: HSA

Sejenis produk yang mendakwa boleh mengurangkan selera makan dan mengurangkan berat badan didapati mengandungi dua bahan kimia terlarang yang boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius bagi individu yang menghidap penyakit jantung, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (13 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Ubat pelangsing badan ini ada bahan bahaya: HSA

Bungkusan produk melangsingkan badan 'Ke Le' (Gambar: HSA)

Diterbitkan : 13 Sep 2018 05:02PM Dikemas Kini : 13 Sep 2018 05:07PM

SINGAPURA: Sejenis produk yang mendakwa boleh mengurangkan selera makan dan mengurangkan berat badan didapati mengandungi dua bahan kimia terlarang yang boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius bagi individu yang menghidap penyakit jantung, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (13 Sep).

Dalam kenyataannya HSA memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli atau makan produk 'Ke Le' yang dibungkus dengan label dalam bahasa Korea.

Ujian yang dijalankan HSA mendapati produk tersebut mengandungi efedrina(ephedrine) dan pseudoefedrina (pseudoephedrine) yang lazimnya digunakan untuk merawat selesema, demam dan alahan dengan melegakan tanda-tanda seperti batuk dan hidung tersumbat.

Seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 30-an tahun mengiklankan dan menjual produk tersebut melalui laman Facebook dengan nama S.C.L.T.W.

Wanita tersebut memuat naik testimoni pelanggan dan gambar-gambar menunjukkan beliau susut 11 kilogram selepas mengambil produk Ke Le.

Menurut HSA, berdasarkan jumlah efedrina yang disarankan wanita itu adalah lebih empat kali ganda had bagi rawatan selesema, demam biasa dan alahan.

"Tahap tinggi efedrina boleh menyebabkan kesan sampingan serius dan membahayakan nyawa, terutamanya bagi pengguna yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada (seperti tekanan darah tinggi, masalah jantung, penyakit tiroid) dan apabila dimakan bersama dengan produk yang mengandungi kafein," menurut HSA.

Antara kesan sampingannya termasuk meningkatkan degupan jantung, rasa resah, tidak boleh tidur malam, tekanan darah tinggi, serangan angin ahmar, sawan dan kematian.

Menurut HSA lagi, apabila para pegawainya menyerbu rumah penjual itu, mereka menemui bungkusan Ke Le disembunyikan di dalam peti sejuk.

Pihak berkuasa merampas produk-produk itu dan mengarahkan penjual berkenaan agar menurunkan senarai produk itu dari laman Facebooknya dan menghentikan jualan dengan serta merta. HSA menyatakan penjual itu sedang membantu siasatan.

"TIADA JALAN PINTAS, MUDAH UNTUK TURUNKAN BERAT BADAN"

Dalam kenyatannya HSA menasihati para pengguna supaya berhenti makan Ke Le dengan serta-merta dan berjumpa doktor jika tidak sedap badan.

Para pengguna juga dinasihatkan supaya berwaspada terhadap produk kesihatan, termasuk minuman, yang menjanjikan dapat mengurangkan berat badan dengan segera.

HSA menasihati para pengguna agar tidak mudah percaya pada ulasan online produk kerana ia tidak boleh disahkan. Mereka juga perlu berhati-hati apabila membeli produk kesihatan secara online daripada pembekal yang tidak dikenali.

HSA menegaskan semua pembekal dan penjual mesti berhenti menjual Ke Le kerana produk itu diharamkan.

Sesiapa yang didapati bersalah membekalkan produk-produk kesihatan yang dilarang boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan didenda sehingga S$100,000.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan