Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Awas! Risiko asap rokok kepada kanak-kanak

Orang dewasa yang tidak merokok mempunyai risiko lebih tinggi mati akibat penyakit paru-paru yang serius, sekiranya mereka membesar dengan ibu bapa yang merokok, menurut satu kajian di Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Risiko asap rokok kepada kanak-kanak

Gambar hiasan. (Gambar: Aly Song/Reuters)

Diterbitkan : 07 Sep 2018 11:14PM Dikemas Kini : 07 Sep 2018 11:21PM

AMERIKA SYARIKAT: Orang dewasa yang tidak merokok mempunyai risiko lebih tinggi mati akibat penyakit paru-paru yang serius, sekiranya mereka membesar dengan ibu bapa yang merokok, menurut satu kajian di Amerika Syarikat.

Para penyelidik berkata kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok "mungkin menambah tujuh lagi kematian bagi setiap 100,000 bukan perokok yang mati setiap tahun".

Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Barah Amerika itu melibatkan 70,900 lelaki dan wanita yang bukan perokok, lapor agensi berita CNN.

Para pakar berkata, cara terbaik untuk melindungi kanak-kanak adalah dengan ahli keluarga berhenti merokok.

Kajian itu mendapati bahawa jika para peserta tinggal dengan seorang perokok ketika usia dewasa, mereka mungkin berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan yang lain.

Menurut laporan CNN, pendedahan kepada asap rokok selama 10 jam atau lebih setiap minggu boleh meningkatkan risiko kematian akibat penyakit jantung iskemik sebanyak 27 peratus, 23 peratus bagi penyakit angin ahmar serta 42 peratus bagi penyakit paru-paru, berbanding mereka yang tinggal dengan bukan perokok.

Wakil kumpulan kempen Bertindak terhadap Merokok dan Kesihatan, Hazel Cheeseman berkata: "Kajian terbaru ini menekankan lagi pentingnya untuk tidak merokok depan kanak-kanak bagi melindungi mereka.

"Cara terbaik adalah bagi ibu bapa berhenti merokok."

Penasihat perubatan Yayasan Paru-Paru Britain, Dr Nick Hopkinson, yang bersetuju dengan pandangan itu berkata: "Menghidu asap rokok mempunyai kesan yang berlarutan menjangkaui zaman kanak-kanak."

CNN juga menukil beliau sebagai berkata: "Malangnya, pembiayaan bagi khidmat berhenti merokok di Britain dipotong. Kita harus memastikan semua orang, terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak kecil serta wanita hamil yang merokok, diberi bantuan bagi berhenti merokok."

Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok dari ibu bapa mereka lebih berisiko menghidap penyakit semput dan pembangunan paru yang kurang baik.

Meskipun laporan itu memberi tumpuan pada risiko kematian, para penyelidik juga menekankan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada pencemaran asap rokok berdepan risiko menghidap penyakit kronik.

Salah seorang penyelidik, Dr Ryan Diver, berkata: "Kajian ini yang pertama mengenal pasti kaitan antara pendedahan kepada asap rokok semasa usia kanak-kanak dengan kematian akibat penyakit paru-paru kronik pada usia dewasa.

"Hasil kajian kami turut memberi lebih banyak bukti tentang pentingnya untuk mengurangkan pendedahan pada asap rokok sepanjang hidup seseorang," tambah beliau. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan