Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ARCHEX 3.0 promosi lebih banyak produk fesyen dan kecantikan Indonesia di pasaran M'sia

Peningkatan permintaan terhadap pakaian Islam yang sopan dan tidak mencolok mata di seluruh dunia menyaksikan perkembangan pesat dalam industri fesyen Indonesia, yang menyimpan hasrat untuk tampil sebagai Bandar Fesyen Islam Dunia menjelang tahun 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
ARCHEX 3.0 promosi lebih banyak produk fesyen dan kecantikan Indonesia di pasaran M'sia

(Gambar: Facebook/Kedutaan Besar Repulik Indonesia - Kuala Lumpur, Malaysia)

Diterbitkan : 11 Dec 2018 02:06AM Dikemas Kini : 11 Dec 2018 02:10AM

KUALA LUMPUR: Peningkatan permintaan terhadap pakaian Islam yang sopan dan tidak mencolok mata di seluruh dunia menyaksikan perkembangan pesat dalam industri fesyen Indonesia, yang menyimpan hasrat untuk tampil sebagai Bandar Fesyen Islam Dunia menjelang tahun 2020.

Timbalan Ketua Misi Indonesia di Malaysia, Krishna K. U. Hannan, berkata pemerintah Indonesia memberi perhatian kepada perkembangan industri fesyen dan kecantikan di republik itu serta menggalakkan kedutaan negara tersebut menganjurkan Pameran Archipelago Indonesia (ARCHEX) yang ketiga, sebuah platform bagi mempromosi produk fesyen dan kecantikan tempatannya.

“ARCHEX 3.0, yang berlangsung hari ini dan esok (10 dan 11 Dis), menyasar untuk mempromosi lebih banyak produk fesyen dan kecantikan Indonesia dalam pasaran Malaysia.

 "Kami menjangkakan ARCHEX ketiga memberi peluang yang baik kepada para pereka dan pengeluar untuk mempromosi produk mereka di Malaysia,” kata beliau dalam ucapan alu-aluan sempena penganjuran ARCHEX 3.0 yang bertema "Gempita Warna Indonesia” di sini pada Isnin.

Pameran itu adalah program yang dimulakan Kedutaan Indonesia pada awal tahun ini bagi menyokong komitmen negara tersebut dalam mempromosi perdagangan, pelancongan dan pelaburan.

Dua acara ARCHEX sebelum ini berlangsung pada bulan April dan Ogos 2018.

Sejumlah 22 gerai diambil oleh beberapa jenama terkemuka dalam industri fesyen dan kecantikan Indonesia untuk mempromosi produk mereka termasuk Mustika Ratu, Harum Sari Nusantara, Glam, Rita Batik, Mutiara Lombok Waidah serta Elsalwa Hijab.

Produk yang diketengah termasuk barangan kemas, tekstil, pakaian, kasut dan beg tangan.

Menurut Cik Krishna, eksport produk fesyen dan pakaian Indonesia di seluruh dunia bernilai AS$951.8 juta (S$1,303 juta) pada tahun lepas, meningkat kira-kira 1.24 peratus berbanding AS$939.9 juta (S$1,288 juta) pada 2016.

Malaysia merupakan sebuah pasaran penting bagi negara itu yang menyumbang sebanyak AS$335.683 juta (S$459.80) kepada eksport produk fesyen dan kecantikan Indonesia pada 2017.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, eksport bagi produk itu bernilai AS$268.157 juta (S$391.98 juta).

“Bagi produk kecantikan, eksport Indonesia di seluruh dunia pada 2017 mencatat nilai sebanyak AS$129.1 juta (S$176.84 juta), merosot kira-kira 0.7 peratus berbanding 2016 iaitu AS$130.1 juta (S$178.20 juta),” katanya.

Pasaran eksport utama lain Indonesia bagi produk fesyen dan pakaiannya ialah Amerika Syarikat, Switzerland, Jepun, Jerman, Hong Kong, China, Belgium, Korea Selatan, England dan Singapura.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan