Images
  • duck burger
    (Gambar hiasan: The Ugly Duckling)

Arab Saudi No. 1 dalam membazir makanan

JEDDAH: Arab Saudi ternyata negara Nombor 1 dalam soal pembaziran makanan di dunia. Demikian menurut negara itu sendiri, menerusi satu laporan Kementerian Sekitaran, Air dan Pertanian.

Laporan itu mendedahkan bahawa sekitar 30 peratus makanan yang dihasilkan terbazir dan nilainya mencecah lebih 49 bilion Riyal (S$17 bilion) setiap tahun.

Purata 250 kilogram makanan dibazirkan seorang warga Saudi secara purata, berbanding purata dunia sebanyak 115 kilogram.

Sebahagian besar sisa makanan terbazir di acara-acara sambutan, perkahwinan, restoran dan bufet-bufet hotel.

Menurut Saudi Gazette, pengambilan makanan bijian paling tinggi dalam kalangan penduduk Arab Saudi di mana setiap rakyat memakan 158 kilogram makanan bijian setiap tahun berbanding purata global iaitu sebanyak 145 kilogram setiap seorang.

DENDA UNTUK YANG BAZIR MAKANAN

Lewat bulan ini, Majlis Shura Arab Saudi mengemukakan saranan untuk meminda undang-undang bagi menangani masalah pembaziran makanan.

Undang-undang berkenaan memperuntukkan denda ke atas para individu dan pertubuhan-pertubuhan yang membazir makanan, seperti menguatkuasakan denda ke atas pelanggan restoran yang meninggalkan sisa-sisa makanan.

Jawatankuasa Ehwal Sosial Majlis Shura juga menyarankan untuk menubuhkan pusat kebangsaan bagi mengehadkan pembaziran makanan dengan menawarkan untuk menganjur kempen-kempen bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Buat masa ini, tiada undang-undang seperti itu dikuatkuasakan di mana para individu didenda sekiranya mereka membazir makanan.

Antara sebab-sebab utama wujudnya pembaziran makanan adalah kurang kesedaran dalam masyarakat, kebiasaan tuan rumah untuk menghidangkan terlalu banyak makanan kepada para tetamu serta pengurusan kurang baik restoran dan hotel-hotel untuk membendung pembaziran makanan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Makanan Saudi "Etaam" di Makkah, Abdullah Al Darbah.

AGIH SEMULA 6,000,000 HIDANGAN MAKANAN

Disifatkan sebagai bank makanan pertama Saudi, ia menawarkan khidmat kepada para individu dan syarikat untuk mengumpul atau menghidangkan semula makanan yang terbazir dengan cara yang memenuhi piawai kebersihan. Klien pertubuhan itu perlu memaklumkannya sekurang-kurangnya dua hari sebelum ia dapat menawarkan khidmat tersebut.

Bank Makanan Saudi mengumumkan pada awal Ramadan tentang inisiatif terbarunya itu yang akan menyediakan 1,740,000 makanan kepada keluarga-keluarga memerlukan oleh 360 relawan, lapor Saudi Gazette.

Sepanjang tahun, 9,000 hidangan makanan 'diselamatkan' pertubuhan itu.

Sejauh ini, ia menyajikan 6,000,000 hidangan makanan. Makanan itu diagih-agihkan selepas ia dikumpul daripada hotel-hotel, gerai-gerai makanan, acara perkahwinan dan sambutan-sambutan lain.

TAHAP KESEDARAN RENDAH

Pada 2017, 49 tan sisa makanan bersamaan dengan 144,000 hidangan makanan dikumpulkan daripada restoran-restoran Red Sea Mall.

"Malang sekali ia seolah-olah menjadi budaya masyarakat untuk menghidangkan makanan secara berlebih-lebihan kepada para tetamunya," kata penulis Encik Eman Abdulfatah kepada Saudi Gazette.

"Faktor utamanya adalah tahap kesedaran yang rendah, meskipun perkara ini sudahpun diterapkan dalam nilai-nilai keagamaan," tambah beliau. "Ramai individu tidak terbiasa untuk mengisi pinggan mereka dengan jumlah makanan yang memadai."

Dalam pada itu, masalah kesihatan terus berleluasa dalam kalangan penduduk negara itu di mana 59.4 peratus mengalami masalah berat badan berlebihan dan 23.9 peratus berdepan dengan penyakit kencing manis. 40.5 peratus pula menghidapi hipertensi.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top