Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Apakah sukan terbaik untuk hidup lebih lama? Cuba tenis

Bermain tenis dan sukan-sukan lain yang bersifat sosial mungkin memanjangkan jangka hayat anda, menurut kajian epidemiologi baru bagi kaum lelaki dan wanita warga Denmark.

Anggaran Waktu Membaca:
Apakah sukan terbaik untuk hidup lebih lama? Cuba tenis

Gambar hiasan. (Gambar: Julian Finney/AFP)

Diterbitkan : 08 Sep 2018 10:23PM Dikemas Kini : 08 Sep 2018 10:34PM

NEW YORK: Bermain tenis dan sukan-sukan lain yang bersifat sosial mungkin memanjangkan jangka hayat anda, menurut kajian epidemiologi baru bagi kaum lelaki dan wanita warga Denmark.

Kajian tersebut mendapati bahawa orang dewasa yang mengatakan mereka sering bermain tenis atau sukan raket dan berpasukan lain hidup lebih lama berbanding mereka yang tidak aktif. Malah, mereka juga hidup lebih lama berbanding individu yang mengambil bahagian dalam aktiviti sihat tetapi dilakukan secara perseorangan seperti berlari-lari anak, berenang dan berbasikal.

Hasil kajian tersebut menimbulkan persoalan menarik mengenai peranan yang dimainkan oleh interaksi sosial dalam meningkatkan manfaat senaman.

Pada ketika ini, tiada sesiapa yang meragui bergiat aktif secara fizikal meningkatkan kesihatan kita dan dapat memanjangkan umur kita. Pelbagai kajian epidemiologi baru-baru ini sudah menunjukkan kaitan antara latihan tetap dengan jangka hayat lebih panjang bagi kaum lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, sama ada sesetengah aktiviti mungkin lebih baik daripada yang lain dalam memanjangkan umur masih dipertikaikan. Satu kajian 2017 ke atas lebih 80,000 lelaki dan wanita Britain mendapati bahawa mereka yang bermain sukan raket hidup lebih lama berbanding mereka yang berlari-lari anak.

Mengapa dan bagaimana sesetengah sukan boleh memanjangkan umur berbanding sukan lain adalah mustahil untuk diketahui dari kajian pemerhatian seperti ini, kata pengarah kardiologi pencegahan, Dr James O'Keefe, dari Pusat Kesihatan Saint Luke di Kansas City.

Menurutnya lagi, keperluan fizikal yang berbeza bagi sesetengah sukan boleh memainkan peranan, meskipun sebahagian kecil senaman dalam kajian itu merupakan senaman berat.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan