Images
  • health matters
    Barah ovari kekal sebagai punca utama kematian disebabkan oleh barah ginekologi. (Gambar fail: Reuters)

Apa yang mesti anda tahu tentang barah ginekologi

SINGAPURA: Sebarang jenis barah yang dikesan pada organ kehamilan wanita boleh disifatkan sebagai barah ginekologi.

Sebahagian besar barah ginekologi - yang menjejas bahagian rahim, ovari, pangkal rahim, vulva dan kelamin wanita - tidak menunjukkan sebarang simptom semasa peringkat awal.

Menurut Pendaftar Barah Singapura, barah ginekologi adalah antara 10 jenis barah yang menjejas kaum wanita di Singapura, dengan barah rahim, ovari dan pangkal rahim antara yang biasa dihidapi wanita.

Konsultan Kanan Onkologi Perubatan di Pusat Barah Parkway, Dr See Hui Ti, berkata barah pangkal rahim adalah sejenis barah yang boleh dicegah.

Ia boleh dirawat sepenuhnya menerusi pembedahan jika ia dilakukan pada peringkat sebelum sel-sel menjadi kanser. Kemoterapi atau radiasi menjadi pilihan untuk merawatnya pada peringkat selanjutnya.


Dr See menambah bahawa bagi beberapa jenis barah pangkal rahim, imunoterapi di mana sel-sel putih pesakit digunakan untuk memerangi barah juga merupakan satu pilihan.

Para pesakit barah pangkal rahim biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom.

Bagaimanapun, para wanita yang mengalami kesakitan pada bahagian perut, sembelit atau pendarahan luar biasa setelah mengadakan hubungan seks ataupun pada luar tempoh haid dinasihati supaya berjumpa doktor.

Pendarahan luar biasa, termasuk pendarahan selepas putus haid juga mungkin menandakan barah rahim, iaitu salah satu barah ginekologi paling biasa dihidapi wanita rakyat Singapura.


Menurut Dr See, pembedahan biasanya adalah pilihan utama bagi menangani barah rahim, dengan mengeluarkan bahagian organ yang terjejas. Bagi peringkat lewat pula, kemoterapi dan radiasi merupakan pilihan terbaik.

Punca utama kematian disebabkan oleh barah ginekologi adalah barah ovari. Ia juga dikenali sebagai "Pembunuh Senyap" kerana para pesakit biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal. Apabila dikesan, para pesakit seringkali didapati menghidap barah ovari peringkat tiga atau empat.

Bagaimanapun, Dr See menarik perhatian bahawa oleh kerana badan para wanita di Singapura dan Asia secara amnya lebih langsing, lebih mudah untuk mengesan perut yang kembung. Ini bermakna lebih ramai wanita didiagnosis dengan barah ovari peringkat satu dan dua.

Selain rasa sakit dan kembung perut, tanda-tanda amaran lain termasuk sembelit dan kurang selera makan.

Apabila usia meningkat, mereka terdedah kepada barah. Oleh itu, Dr See menekankan bahawa pengesanan awal amat penting.

"Dapatkan bantuan dengan secepat mungkin kerana jika kita dapat mengesannya lebih awal, kadar kemungkinan ia dapat dirawat juga bertambah baik," kata beliau. 

- CNA/AI/ai

Top