Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Apa patut anda lakukan apabila anak nakal di sekolah?

Gunakan fakta untuk mendapat penjelasan daripada anak anda dan guru tersebut, supaya anda boleh membuat keputusan yang tepat untuk menangani masalah itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Apa patut anda lakukan apabila anak nakal di sekolah?

Gambar hiasan. (Gambar: Muzium Negara Singapura)

Diterbitkan : 14 Aug 2017 10:24PM Dikemas Kini : 14 Aug 2017 11:00PM

SINGAPURA: Sebagai ibu bapa, pastinya amat menggerunkan, memalukan dan menggeramkan apabila anda menerima panggilan telefon dari sekolah anak anda, memberitahu bahawa anak kesayangan anda berkelakuan buruk.

Cik C Tan, ibu kepada Daphne, 8 tahun, sering menerima beberapa panggilan daripada guru anak perempuannya sejak dia mula tingkatan Darjah 1 tahun lalu.

Panggilan pertama daripada guru anaknya diterima sekitar Jun lalu, setelah Daphne mencakar rakan sekelasnya di sekolah. "Ia hanya satu pertengkaran kecil antara kedua-dua pelajar itu, tetapi menurut guru sekolah, beliau mesti melaporkan insiden itu kepada ibu bapa pelajar yang dicakar itu," cerita Cik Tan.

Hal tersebut diselesaikan dengan baik, tetapi Daphne turut menunjukkan tanda-tanda kegelisahan di sekolah. Dia sering ditangkap berkhayal dan "mengacau kawan-kawannya" semasa waktu belajar. Menurut Cik Tan, perkara ini amat perit untuk diterima kerana Daphne selalunya berkelakuan baik di rumah dan semasa dia di sekolah tadika dahulu.

"Saya rasa dia berasa sedikit bosan di sekolah kerana sudah tahu beberapa perkara yang diajar. Sebagai ibu, saya perlu membantunya menangani perasaannya dan mengawal diri serta mengingatkannya tentang peraturan-peraturan sekolah, supaya mencegahnya daripada menggangu orang lain semasa di dalam kelas.

"Sekolah sudah membantu dalam memberikan saranan mengenai perkara-perkara yang kami boleh lakukan," kata Cik Tan.

Tidak kira usia anak anda, anda boleh mengambil beberapa langkah untuk bertindak dengan positif kepada kelakuan buruk anak anda. Berikut ini ada tujuh tip yang boleh anda dijadikan panduan:

TENANGKAN DIRI

Mudah untuk marah dan berleter terhadap anak anda apabila dia pulang ke rumah. Tetapi, cara yang terbaik adalah untuk menenangkan diri dan ambil nafas dalam-dalam. "Ambil masa untuk teliti maklumat yang diterima dan catatkannya supaya dapat lebih memahaminya," nasihat Encik Daniel Koh, pakar psikologi di Insights Mind Centre.

BERBUAL DENGAN IBU BAPA LAIN

Suami anda, adik-beradik, atau kawan-kawan anda yang juga seorang ibu, mungkin boleh meletakkan perkara-perkara dalam perspektifnya dan membantu anda bersikap rasional dan objektif, bukan bertindak secara mendadak atau mengikutkan perasaan.

Encik Koh berkata: "Berbual dengan seseorang yang rasional, tidak menyebelahi mana-mana pihak boleh membantu anda melihat apa yang anda terlepas pandang. Sediakan seseorang untuk menemani anda ke sekolah, supaya mereka dapat menyokong anda dan juga meredakan tekanan emosi anda."

BINCANG DENGAN ANAK ANDA

Gambar hiasan  (Gambar: AFP)

(Gambar: AFP)

Anak anda tidak boleh disalahkan kerana mempunyai perasaan negatif. Dia mungkin kesunyian, bosan, atau marah disebabkan tingkah laku kanak-kanak yang lain. Daripada menghukumnya, cubalah berbincang dengannya secara lembut. Anak anda perlu meluahkan perasaannya yang terpendam. Walau apapun, bantu dia untuk mengetahui masalah sebenarnya yang menyebabkannya berasa takut atau kecewa.

Jika anak anda enggan meluahkan perasaannya, pastikan keadaan sekitarannya sesuai. Kanak-kanak bersikap terbuka untuk berbual dengan orang-orang dewasa apabila mereka berasa selamat, disayangi dan tidak dihakimi. Ibu bapa juga perlu mengelak daripada menggunakan kekerasan - seperti merotan ataupun mengherdik - kerana ini menggalak tingkah laku yang serupa di kalangan kanak-kanak. "Jangan merendah-rendahkan, atau melabel anak itu," tambah Encik Koh.

PERIKSA CERITA DI KEDUA-DUA PIHAK

Gunakan fakta untuk mendapat penjelasan daripada anak anda dan guru tersebut, supaya anda boleh membuat keputusan yang tepat untuk menangani masalah itu. "Duduk bersama-sama boleh membantu anda lebih memahami keadaan sebenar dan perhatikan respons-respons anak anda," menurut Encik Koh.

LIHAT GAMBARAN LEBIH LUAS

Kadang-kala lebih baik untuk melihat lebih daripada soal persekolahan dan menyelidik dengan lebih mendalam tentang apa yang sedang berlaku dalam kehidupan anak anda. Adakah dia sedang kehilangan seorang ahli keluarganya atau haiwan peliharaannya baru-baru ini? Adakah dia tertekan kerana perlu menjaga adik-beradiknya yang lain?

Satu insiden besar boleh mengakibatkan perasaan seorang kanak-kanak itu bergelora. Oleh itu, cari punca yang menyebabkannya berasa sebegitu.

KERJASAMA DENGAN PARA GURU

Seorang guru berinteraksi dengan para murid Sunshine Kids Educare. (Gambar: TODAY/Ooi Boon Keong)

(Gambar: TODAY/Ooi Boon Keong)

Guru anak anda boleh membantu. Oleh itu bekerjasama dengan mereka untuk menggalak tingkah laku yang lebih baik. "Bersikap terbuka, jujur dan fleksibel, supaya anda dapat bekerja sebagai satu kumpulan," saran Encik Koh. Berhubung rapat dan sering berkongsi maklumat antara satu sama lain, supaya anda dapat mengenal pasti punca anak anda berkelakuan buruk.

Insiden-insiden di mana kanak-kanak lain terbabit - seperti pergaduhan dan perbuatan membuli - boleh mengakibatkan emosi terganggu, kerana setiap ibu bapa akan mahu melindungi anak-anak mereka. "Bercakap dengan ibu bapa anak itu di sekolah, supaya terdapat seorang yang lain yang dapat meredakan perbincangan dan keadaan tidak begitu kelihatan terancam," kata Encik Koh.

AJAR ANAK ANDA CARA-CARA ATASI MASALAH

Pertama letakkan beberapa jangkaan dan peraturan, supaya anak anda tahu tingkah laku yang dikehendaki daripadanya. Berbual tentang perasaan yang dirasainya dan berbincang cara-cara dia boleh mengatasi emosi-emosi negatifnya.

Sebagai contoh, jika dia berkongsi yang dia berasa marah apabila guru menyuruhnya memberi perhatian di dalam kelas, tanya mengapa dia berasa begitu. Adakah dia berasa malu?

Ajar anak anda cara-cara mengawal kemarahannya. Misalnya, melakukan latihan mengambil nafas yang dalam-dalam, atau mencatat perasaannya dalam buku jurnal.

BINA HUBUNGAN YANG BAIK DENGAN ANAK ANDA

Amat mustahak untuk terus berkomunikasi dengan anak anda. Oleh itu, jika anda perasan yang anak anda keberatan untuk ke sekolah, bangun awal sedikit, luangkan sedikit masa untuk berbual bersama ketika bersarapan.

Walaupun anda berasa tertekan, terus bermain bersamanya dan berikan perhatian penuh kepadanya, terutama sekali jika beliau mempunyai adik-beradik yang lain. Ini mungkin memberikan perhatian yang dia idam-idamkan dan anda akan dapat lebih memahami apa yang dilaluinya.

Terus memberi dakapan kepadanya dan jika anda berjanji untuk membawanya berseronok ke taman haiwan pada hujung minggu, jangan berasa yang anda patut membatalkannya jika beliau bersikap nakal di sekolah. Pada dasarnya, anda mahu memberitahunya bahawa tingkah laku yang buruk tidak semestinya bermakna yang dia seorang yang jahat dan anda akan sentiasa berada di sisinya.
 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan