Images
  • Cef Amri
    Cef Amri Abdul Azim. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Angin ahmar, barah tiroid tahap 4 tak halang Cef Amri bangkit buka restoran baru - Steak Me

BERITAmediacorp: Beliau pernah diserang angin ahmar. Ketika itu usianya 40 tahun. Sebulan lamanya beliau terpaksa dirawat di hospital.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, beliau disahkan pula menghidap penyakit barah tiroid tahap empat. Ini sedang beliau menjalani rawatan dan imbasan MRI bagi penyakit angin ahmar.

Meskipun sukar, Cef Amri Abdul Azim tidak menjadikan penyakit yang menimpa dirinya itu sebagai halangan untuk beliau bangkit dan kembali berdiri di atas kaki sendiri.

Kini, sekitar setahun selepas diserang angin ahmar dan disahkan menghidap barah tiroid, Cef Amri sudahpun membuka sebuah restoran baru - Steak Me.


"SAYA TERIMA. SAYA REDA" - CEF AMRI

Restoran itu menjadi simbol kecekalan hati beliau untuk terus menangani penyakitnya.

Sebelum ini, Cef Amri memiliki tiga buah restoran Le Steak - dua di Singapura dan satu di Indonesia. Namun ia terpaksa ditutup disebabkan cabaran-cabaran perniagaan serta kesihatan yang terjejas secara mendadak.

Semasa ditemui BERITAmediacorp baru-baru ini, Cef Amri mendedahkan bahawa beliau sudah menjalani pembedahan bagi barah tiroid dan sedang menanti laporan doktor untuk mengetahui sama ada sel-sel barah itu sudahpun berjaya dihapuskan sepenuhnya.

Sebelum itu, pada tahun 2016, Cef Amri juga pernah diserang penyakit Bell's Palsy.

Ia menjejas saraf pada sebahagian wajah, menyebabkan otot menjadi lemah dan mukanya nampak senget sebelah.


Namun, jika dipandang cef yang dikenali dengan hidangan-hidangan stik bermutu tinggi itu, anda tidak akan menyangka beliau sedang berdepan ujian hebat sedemikian.

"Saya terima. Saya reda ini sebahagian daripada kehidupan. Kita perlu mengharungi ujian untuk menempuhi kehidupan. Pada masa yang sama Allah berikan kita pengajaran untuk kita berfikir. Saya seorang yang positif," Cef Amri memberitahu BERITA.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang 'gila kerja', Cef Amri berkata tekanan yang dihadapi semasa mengendalikan dua buah restoran, sebelum beliau jatuh sakit, terlampau berat.

Bila diserang angin ahmar, restoran Le Steak miliknya juga terpaksa gulung tikar.


DULU PENTINGKAN BISNES, SEKARANG ADA KESEIMBANGAN

Enggan membiarkan penyakitnya terus membuat diri beliau lemah, Cef Amri bertekad mengubah gaya hidup supaya dapat kembali beraksi sebagai seorang cef.

"Sebelum ini saya tak pentingkan tentang kehidupan. Saya lebih pentingkan bisnes. Macam mana nak majukan bisnes, macam mana nak teruskan perniagaan ini.

"Sekarang saya lebih kepada tidak endahkan ini semualah. (Saya) lebih berjaga-jaga. Paling penting. Kita perlu ada keseimbangan dalam kehidupan. Bersenam, jaga diet, pastikan saya tidak makan semuanya dan makan dalam jumlah yang sederhana," ujar Chef Amri, 41 tahun.

Sokongan padu anggota keluarga, terutama ibunya, Sutinah Amat, dikatakan menjadi pembakar semangat Cef Amri untuk lebih kuat dan sembuh dari penyakitnya.

"Dorongan keluarga penting sekali. Emak, bapa kita amat penting. Kalau untuk saya, ibu saya. Saya lebih pentingkan dorongan keluarga kerana tiada orang luar yang tahu tentang apa yang berlaku. Jadi dalam kalangan keluarga mesti beri sokongan terbaik," tambah beliau.


BUKA RESTORAN BERI PELUANG KONGSI KEMAHIRAN DENGAN ANAK MUDA

Cef Amri memberitahu BERITAmediacorp, beliau sudah 90 peratus sembuh daripada penyakit angin ahmar. Hanya pertuturannya memerlukan sedikit masa lagi untuk sembuh sepenuhnya.

Restoran Steak Me yang baru dibuka tiga bulan lalu, terletak di Jalan Kayu di lokasi yang sama dengan restoran Le Steak sebelum ini. Ia diharap bukan setakat menjadi tempat para pelanggan menjamu selera.

Malah beliau juga mahu menjadikan restoran itu sebagai tempat untuk menggajikan dan melatih anak-anak muda dalam bidang masakan dan perniagaan.

Cef Amri juga kini memiliki restoran Savoury yang terletak bersebelahan dengan restoran Steak Me. Savoury menawarkan pelbagai manisan pencuci mulut selain hidangan seperti pasta, fish and chips serta stik.


Apabila ditanya sama ada beliau mengambil menimbangkan penyakit-penyakit yang dihidapinya semasa memikirkan tentang menu hidangan bagi restorannya, Cef Amri berseloroh: "Makanan mana yang sihat. Semua memang tak sihat."

Sempena Hari Angin Ahmar Sedunia hari ini (29 Okt), ini nasihat Cef Amri kepada masyarakat:

"Sakit ni kadang-kadang kita tak boleh elakkan. Tapi apa yang kita boleh buat, keseimbangan hidup. Kerja, hidup, mesti seimbang dan kalau ada sakit makan ubat." 

- BERITAmediacorp/nk

Top