Images
  • Lifestyle

Anda jenis ‘burung hantu’ atau tidur lewat malam? Anda lebih berisiko meninggal dunia muda

BRITAIN: Mereka yang tidur lambat dan memaksa diri untuk bangun awal keesokan harinya berkemungkinan meninggal dunia lebih muda.

Ini berbanding mereka yang tidur apabila matahari terbenam dan bangun apabila matahari terbit, menurut para pengkaji.

Satu tinjauan yang dijalankan ke atas lebih 430,000 orang di Britain mendapati golongan ‘burung hantu’ berisiko 10 peratus lebih tinggi untuk meninggal dunia berbanding mereka yang bangun sebaik fajar menyingsing.

“Ini adalah isu kesihatan yang tidak boleh dipandang ringan,” tegas penulis bersama kajian itu, Malcolm van Schantz dari Universiti Surrey, sambil menyatakan “orang yang tidur lambat” mesti dibenarkan memulakan dan menghabiskan tugas mereka lebih lewat.

“Mereka yang tidur lambat namun cuba bangun awal pagi mungkin (mengalami) kesan kesihatan,” kata rakan penulis, Kristen Knutson dari Universiti Northwestern Chicago.

Kedua-dua penulis itu mengumpulkan maklumat berkaitan hampir separuh juta orang dalam lingkungan usia 38 hingga 73 daripada pangkalan data awam.

Para peserta menyifatkan diri mereka sebagai “orang yang memang bangun awal pagi” (27 peratus), “lebih kerap bangun pagi daripada tidur lewat” (35 peratus), “lebih kerap tidur lewat daripada bangun pagi” (35 peratus) atau “orang yang memang tidur lewat” (9 peratus).

Mereka juga menyenaraikan berat badan, tabiat merokok dan status sosio ekonomi. Kadar kematian dalam kumpulan tersebut - melebihi 10,500 secara keseluruhannya, dicatat dalam tempoh enam tahun setengah.

Bagi kumpulan yang kerap tidur lewat, pasukan pengkaji mendapati, terdapat risiko 10 peratus lebih tinggi untuk meninggal dunia. Ini berbanding kumpulan yang biasa bangun awal pagi.

Kumpulan yang biasa tidur lewat malam juga lebih berkemungkinan mengalami gangguan psikologi, penyakit kencing manis dan masalah perut dan pernafasan serta tidak cukup tidur.

Mereka juga berkemungkinan merokok, meminum alkohol dan kopi serta menggunakan dadah secara haram.

Risiko lebih tinggi itu juga mungkin kerana perjalanan fungsi tubuh seseorang yang tidur lewat tidak mengikuti sekitaran luarannya, kata Cik Knutson.

“Mungkin juga disebabkan tekanan psikologi, makan para waktu yang tidak betul, tidak cukup bersenam dan tidur serta tidur pada lewat malam, mungkin juga disebabkan penggunaan dadah atau alkohol.”

Kedua-dua pengkaji itu juga menyarankan rawatan khas bagi mereka yang kerap tidur lewat.

“Jika anda dapat mengenal pasti ciri-ciri seperti itu, sebahagiannya, sudah ditetapkan secara genetik dan bukan setakat kesilapan perwatakan diri, pekerjaan dan (mungkin) waktu kerja pula boleh lebih fleksibel,” kata Cik Knutson.

“Mereka tidak seharusnya dipaksa bangun untuk bertugas syif pukul 8.00 pagi.” 

- AFP/NK/

Komen Anda?

Top