Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anak S’pura Saifudin Abu bina masjid, tubuh restoran Melayu di New Zealand, kini mahu beli motel

Encik Saifudin Abu bijak merebut peluang untuk memenuhi keperluan umat Islam baik penduduk tempatan mahupun pelancong.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak S’pura Saifudin Abu bina masjid, tubuh restoran Melayu di New Zealand, kini mahu beli motel

Encik Saifudin bersama isteri dan 4 anaknya. (Gambar: Saifudin Abu)

BERITAMediacorp: Beliau sekeluarga sudah berhijrah ke New Zealand sejak tahun 2010. Dalam tempoh lapan tahun menetap di sana, Encik Saifudin Abu bijak merebut peluang untuk memenuhi keperluan umat Islam baik penduduk tempatan mahupun pelancong.

Sejauh ini, anak Singapura itu sudah membangunkan sebuah masjid, sebuah restoran makanan Melayu dan memulakan khidmat pemandu upahan untuk pelancong, yang dipanggil Pengiring Travel.

BERITAmediacorp terbang ke New Zealand untuk bertemu beliau dan menyaksikan sendiri usaha-usaha beliau itu. Dalam wawancara bersama kami, Encik Saifudin yang berusia 42 tahun, berkongsi tentang cabaran yang diharunginya serta impian besar beliau pada masa akan datang.

Encik Saifudin bersama isteri dan 4 anaknya. (Gambar: Saifudin Abu)

Encik Saifudin bersama isteri dan anak-anaknya. (Gambar: Saifudin Abu)

PELUANG PENUHI KEPERLUAN UMAT ISLAM

Semasa masih tinggal di Punggol di Singapura, Encik Saifudin bekerja sebagai seorang pegawai polis. Ketika berhijrah ke New Zealand, itu jugalah pekerjaan pertama beliau di sana.

Encik Saifudin dan isterinya Siti Halijah Mohamed, 41 tahun, merupakan keluarga Melayu/Islam pertama yang bermastautin di kawasan Taihape di New Zealand, iaitu sebuah pekan kecil dengan hanya 1,000 penduduk.

Pekan kecil yang didiaminya itu terletak di laluan utama Lebuh Raya 1 (SH1) yang menghubungkan Auckland dengan Wellington di pulau utara New Zealand. Jumlah kenderaan yang melalui SH1 dianggarkan sekitar 1.5 juta setiap tahun.

Lantaran itu, Taihape menjadi tempat persinggahan bagi sesiapa sahaja yang mengikuti laluan tersebut.

Pada bulan Disember 2014, Encik Saifudin membulatkan tekad. Beliau mahu membangunkan Masjid Ad-Deen, dengan niat untuk mewujudkan tempat solat dan rehat bagi para musafir. Maka akhirnya terdirilah sebuah masjid comel yang dibina warga Singapura itu.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Masjid Ad-Deen, Taihape. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

CEDUK INSPIRASI DARI MASJID S’PURA

Masjid itu dilengkapi bilik mandi, dapur serta pam udara panas untuk kemudahan jemaah pada musim sejuk, menurut Encik Saifudin yang peramah. Yang menariknya, sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam masjid tersebut, mata akan tertumpu kepada beberapa persamaan dengan masjid-masjid di Singapura.

Berbeza dengan masjid-masjid lain di New Zealand, Encik Saifudin mencedok inspirasi daripada masjid di Singapura dari segi poster-poster panduan dan maklumat serta tempat berwuduk bagi jemaah lelaki.

Sejauh ini, Masjid Ad-Deen sudah dimanfaatkan oleh jemaah dari pelbagai pelusuk dunia. Ini termasuk Malaysia, Singapura, Fiji, Indonesia, Australia. Malah ada yang datang sejauh Amerika Syarikat dan Rusia.

MAHU BESARKAN LAGI MASJID HAMPIR 3 KALI GANDA

Apabila ditanya apakah perancangan beliau seterusnya pada masa akan datang, bapa empat orang anak yang berusia antara 2 hingga 11 tahun itu berkata, tahun ini beliau menyasarkan untuk meluaskan lagi ruang Masjid Ad-Deen.

“Buat waktu ini kami punyai perancangan untuk membesarkan masjid, menyediakan tempat sembahyang (khas) untuk (jemaah) wanita, mendirikan sebuah madrasah serta membesarkan dewan solat utama,” katanya.

Projek tersebut bermakna, bangunan Masjid Ad-Deen sahaja akan meliputi ruang seluas 200 meter persegi berbanding 66 meter persegi sekarang. Keseluruhan tanah bagi masjid itu pula bakal meliputi kawasan seluas 400 meter persegi.

“Kami akan mengumpulkan dana. Keseluruhan kos yang kita perlukan untuk pembesaran masjid ini adalah NZ$175,000 (S$170,000),” beliau memberitahu BERITAmediacorp.

(Gambar: Ad-Deen Mosque/Facebook)

(Gambar: Ad-Deen Mosque/Facebook)

‘TEKAK MAT SALEH’ & PARU BELADO, GADO-GADO, AYAM MASAK MERAH

Tidak lama selepas pembukaan Masjid Ad-deen, Encik Saifudin dan isteri mula menerima pula banyak permintaan lain, iaitu supaya mereka mengadakan makanan halal di Taihape.

Meskipun tiada pengalaman dalam dunia perniagaan, pasangan suami isteri itu menimbangkannya dan akhirnya mengambil langkah berani untuk membuka sebuah restoran makanan Melayu, yang diberi nama Straits Kitchen, pada tahun 2016. Memang, nama Straits Kitchen itu diambil sempena nama restoran bufet terkenal Singapura di hotel Grand Hyatt dekat Orchard Road.

(Gambar: Straits Kitchen Taihape/Facebook)

Restoran Straits Kitchen di Taihape menawarkan makanan asli Melayu. (Gambar: Straits Kitchen, Taihape/Facebook)

Dengan munculnya Straits Kitchen versi New Zealand itu, ini bermakna para pelancong yang singgah di Taihape, boleh menjangkakan hidangan-hidangan asli Melayu seperti nasi goreng Temasek, sambal paru belado, rendang, gado-gado dan ayam masak merah.

Jika anda berada di situ, akan terasa keunikannya. Ini kerana rekaan dalamannya berkonsepkan koboi tetapi suasana kemelayuannya tetap tebal dirasakan melalui alunan muzik Melayu yang dimainkan sepanjang hari. Tapi bagaimana rasa makanannya? Wartawan BERITAmediacorp ini merasa sendiri masakan Nasi Goreng Kampung dan Nasi Paru Belado di restoran itu, dan rasanya memang sedap.

Encik Saifudin menambah hidangan-hidangan Melayu yang ditawarkan juga sudah semakin diterima oleh ‘tekak Mat Saleh’. Pendeknya, tidak keterlaluan untuk menganggap anak jati Singapura itu dan restorannya, sebagai ‘Duta Melayu’ di New Zealand!

(Gambar: Straits Kitchen Taihape/Facebook)

Nasi Goreng Temasek di restoran Straits Kitchen. (Gambar: Straits Kitchen, Taihape/Facebook)

Yang pasti, daya usaha Encik Saifudin itu membawa ‘angin baru’, budaya baru dan perniagaan baru di tempat beliau bermukim. Suguhan beliau itu juga diberi sokongan oleh warga tempatan.

“Mungkin juga sebab mereka kenal saya sebelum ini. (Jadi) fikiran mereka adalah ‘mari kita datang kita berikan dia sokongan kerana dia baru buka perniagaan’. Mereka pun tak menjangkakan makanan yang mereka makan itu sedap,” ujar Encik Saifudin sambil tertawa.

DALAM KEDUDUKAN 10 TERATAS - MENURUT TRIP ADVISOR

Sungguhpun demikian, bukanlah mudah perjalanan Encik Saifudin setelah menceburi perniagaan makanan halal di sana. Ini kerana selain faktor kewangan, penduduk tempatan lazimnya mahu hidangan mereka dilengkapi alkohol.

“Restoran kami dijamin halal oleh badan tertentu. Kita perlu jelaskan kepada mereka sebab kita tak boleh adakan alkohol kerana kita orang Islam dan restoran ini khas untuk makanan halal. Kalau boleh saya tak mahu perniagaan saya terbabit dengan alkohol.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

“Mula-mula memang ada pelanggan yang marah, tak puas hati, malah ada yang kata kalau saya tak benarkan alkohol dalam restoran saya, saya akan gagal,” cerita Encik Saifudin kepada BERITAmediacorp.

Ternyata, kecekalannya meneruskan perniagaan halal itu kini berbaloi. Straits Kitchen mengungguli senarai teratas restoran pilihan di Taihape dan berada di kedudukan 10 teratas bagi restoran di daerah Manawatu Wanganui, yang mempunyai lebih 400 restoran, menurut laman Trip Advisor.

SETELAH PENGIRING TRAVEL, MAHU BUKA MOTEL PULA

Selepas baru setahun menjalankan perniagaan makanan, Encik Saifudin meluaskan lagi usaha niaganya. Pada hujung tahun 2017, beliau memulakan khidmat pemandu upahan profesional. Syarikat itu diberi nama Pengiring Travel. Jelas, masih menggunakan nama Melayu!

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Menurut beliau, perniagaan keduanya itu sudahpun mula mendapat perhatian dari pelanggan luar negara terutama umat Islam. Khidmat yang ditawarkannya bukan setakat membawa pelancong bersiar-siar, malah pelanggan beliau termasuk ahli korporat atau VIP dari Malaysia atau Brunei.

Jika anda mahu tahu, beliau semasa di Singapura adalah salah seorang jurulatih atau guru bagi Perguruan Silat Sekilas. Maka tidak hairanlah jika kepakaran Encik Saifudin dalam bidang keselamatan dan kepolisian sebelum ini, menjadi daya tambahan bagi mengambil khidmat beliau.

Encik Saifudin Abu. (Gambar: Saifudin Abu)

Encik Saifudin semasa masih bertugas sebagai pegawai polis. (Gambar: Saifudin Abu)

Bekas pelajar Sekolah Menengah Ping Yi dan Politeknik Singapura itu menambah, salah satu tujuan khidmat Pengiring Travel itu adalah sebagai alternatif kepada para pelancong yang tidak mahu memandu sendiri apabila ke New Zealand.

“Kami bukan buat niaga semata-mata untuk menawarkan khidmat pemandu pelancong. Tetapi kerana kita kenal pasti ada jurang atau kekosongan yang boleh kita penuhi. Jurang yang boleh kita bantu,” jelas Encik Saifudin.

Hakikatnya, impian Encik Saifudin bukan setakat itu sahaja. Anak Singapura yang berwawasan tinggi ini turut menyimpan hasrat untuk membuka sebuah motel di Taihape. Ya sebuah motel! Ini supaya beliau mampu menawarkan khidmat yang lebih menyeluruh - khususnya buat umat Islam - pada suatu hari nanti.

“Memang objektif masa depan ialah mendapatkan motel. Insya Allah, apabila ada rezeki daripada kedua-dua perniagaan saya (restoran dan pemandu upahan) akan saya mendapatkannya,” dedah beliau penuh harapan kepada BERITAmediacorp. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan