Images
  • barbie1
    Anak patung yang berselendang ini hasil kolaborasi dengan syarikat tudung terkenal dari Malaysia, jenama dUCK. (Gambar: Instagram/thedUCKgroup)

Anak patung Barbie kini boleh berselendang, berhijab hasil kolaborasi dengan dUCK

KUALA LUMPUR: Jika awal tahun ini jenama Barbie mereka bentuk anak patung bagi mengiktiraf 17 tokoh wanita cemerlang, kini wujud pula satu kolaborasi yang meraikan kerencaman agama.

Malah anak patung Barbie kini bukan sahaja boleh bergaya, tetapi ia juga boleh berhijab! Itulah hasil kolaborasi dengan syarikat tudung terkenal dari Malaysia, jenama dUCK.

The dUCK Group juga mengumumkan gabungan #BarbieXdUCK tersebut dengan rasa besar hati dalam catatan di Instagram pada Isnin (1 Okt).

Ia menulis, selendang mini dUCk akan diberikan secara percuma dengan sebarang pembelian produk Barbie bernilai RM100 ($33.20) ke atas.


Perincian lanjut tertera di laman www.barbiexduck.com.

"Bagi jenama besar seperti Barbie untuk mengiktiraf selendang/hijab bagi anak patungnya dan mendidik gadis di seluruh dunia bahawa adanya kerencaman di dunia ini, saya benar-benar tabik mereka," tulis The dUCK Group dalam catatan berkenaan.

Selendang mini dUCK yang boleh dikenakan dengan anak patung Barbie malah benar-benar dihasilkan dengan ciri-ciri selendang dUCK saiz biasa.


VIVY YUSOF: TERIMA KASIH BARBIE DIDIK KERENCAMAN

Sehubungan itu, pengasas bersama The dUCK Group, Vivy Yusof melahirkan rasa bangganya atas kolaborasi bersama jenama Barbie.


Dalam catatannya di laman Instagram, beliau antara lain menulis: "Terima kasih Barbie dan Mattel Group global kerana mengiktiraf kami, tetapi yang lebih penting lagi, mengiktiraf betapa besarnya kemenangan ini kepada industri sopan dan tentu sekali bagi Islam.

"Kanak-kanak perempuan bermain dengan Barbie di seluruh dunia dan bagi mereka untuk melihat selendang dUCK pada anak patung itu, Barbie secara tidak langsung mendidik mereka untuk menerima kerencaman pada usia muda. Untuk menerima orang lain yang mempunyai kepercayaan, penampilan dan budaya berbeza daripada mereka.

Yang pasti, anak patung jenama antarabangsa ini membuka lebih banyak peluang bagi kanak-kanak di serata dunia untuk lebih mendakapi penampilan dan agama yang berbeza.

- BERITAmediacorp/im

Top