Images
  • heel 1
    Sepasang kasut tinggi (Gambar hiasan)

Akibatnya kalau memakai kasut tumit tinggi atau high heels melebihi 40 jam...

BERITAmediacorp: Memang tak boleh dinafikan lagi tumit tinggi atau stiletto dapat merubah penampilan si pemakai. Ia dapat membuat si pemakai kelihatan lebih tinggi! Kaki pula tampil lebih panjang, seksi, berbentuk cantik dan tirus. Lantas, tak hairan lah jika jutaan wanita di seluruh dunia gemar menyarungkan tumit tinggi dan menjadikannya sebagai aksesori pelengkap diri.

Ada juga yang sanggup berbelanja besar membeli kasut berjenama walaupun harus menahan kesakitan pada kaki dengan senyuman. Tapi, jika kaki melecet, bolehkah anda melangkah dengan yakin dalam kesakitan?

Berjalan dengan tumit tinggi dapat mengubah mekanikal tubuh kerana ia harus mengimbangi diri daripada terjatuh. Walaupun ia memberikan figura seksi, terdapat pelbagai padah yang harus ditanggung atau menanti si pemakai. Ini termasuklah kesan pada struktur pinggul dan juga tulang belakang.

Menurut beberapa kajian, wanita muda yang sering bertumit tinggi melebihi 40 jam dalam seminggu akan menunjukkan cara atau gaya berjalan yang berbeza-beza jika dibandingkan dengan mereka yang langsung tidak memakai tumit tinggi. Tanpa mereka sedari, gaya berjalan tersebut akan kekal dalam diri mereka walaupun mereka tidak memakainya kerana dalam diam terdapat kecederaan yang mereka alami.


Ia juga boleh meninggalkan kesan yang kurang sihat atau negatif kepada kesihatan kaki mereka. Bukan saja bentuk kaki akan terjejas, ia juga boleh mengakibatkan rasa tidak selesa atau kesakitan yang berlarutan dalam jangka masa yang panjang.

Lebih memburukkan lagi jika keadaan menjadi tidak terkawal hingga perlu melalui pembedahan. Oleh itu, jika kaki anda sudah terasa sakit-sakit dan memberi isyarat awal, sebaik-baiknya anda elak atau kurangkan memakai kasut tinggi. Dengan demikian anda tidak akan terus dibelenggu rasa sakit atau tidak selesa!

6 MASALAH KAKI YANG LAZIM

  1. Bunion – Masalah kaki ini memang tidak asing lagi dan kerap menjejas ramai. Ia merupakan bonjol membengkak pada sendi ibu jari kaki. Gara-gara kehadiran bunion, kaki anda akan rasa sakit apabila memakai kasut akibat benjolan pada tulang di ibu jari kaki.

  2. Pump Bump – Sejenis pertumbuhan tulang pada tumit kaki kerana tekanan yang berterusan atau geseran di bahagian belakang kasut atau bahagian ikatan.
  3. Kematu (Corn) – Ia merupakan peningkatan kulit tebal dan kasar yang membuat anda rasa tidak selesa dan secara tidak langsung memberi tekanan pada jari kaki anda. Ia terjadi kerana terdapat geseran yang berentap berulang kali antara kulit dan kasut.
  4. Metatarsalgia – Sejenis inflamasi yang memberi tidak keselesaan dan menyakitkan tapak kaki kerana tekanan berpanjangan pada tulang metatarsal. Kalau nak tahu tulang ini terletak di antara jari kaki dan lengkungan kaki. Apabila kerap menggunakan tumit tinggi ia akan tingkatkan lagi risiko kecederaan buku lali kerana ia mempunyai kaitan dengan kesimbangan tubuh.

    Semakin tinggi tumit anda, semakin tinggi lagi risikonya. Ia akan membuat anda sukar berjalan lebih-lebih lagi jika anda seorang yang bertubuh kecil dan memiliki kaki yang pendek dan kecil. Akibatnya anda berisiko tinggi untuk jatuh dan mengalami patah buku lali.
  5. Jari kaki tukul (Hammer toe) – Memakai kasut tinggi potongan yang sempit di bahagian depan pastinya akan membuat kaki tampil lebih cantik. Awas! Jangan seksa kaki tak tentu pasal. Sebab jika anda paksa kaki untuk masuk ke dalam kasut yang tidak menepati bentuk kaki anda, ia akan menyeksa jari-jari kaki. Keadaan ini selalunya akan menjejas sendi jari kedua di sebelah ibu jari kaki. Apabila ia tertekan ia terpaksa membengkok ke bawah kerana kasut terlalu ketat atau sendat.
  6. Morton’s Neuroma – Pernah anda memakai kasut hingga tapak kaki melecet? Pasti terasa sakit dan tidak selesa bila berjalan, kan? Tapi, kerana hendak cantik anda sanggup pakai plaster untuk kurangkan rasa sakit. Bagaimanapun jika dibiarkan berlarutan, ia akan menyebabkan tisu di bawah kaki menjadi tebal hinggalah membuat anda rasa sakit atau kebas. Bila keadaan menjadi buruk anda mungkin perlu melalui pembedahan untuk menghapuskan tisu ini untuk mengurangkan simptom sakit.

IMPAK PADA PEHA DAN LUTUT

Selain dilanda masalah sakit kaki, mamakai tumit tinggi dengan kerap juga akan meninggalkan kesan pada paha dan lutut. Tanpa disedari, ia akan mengakibatkan masalah berjalan yang serius seperti berikut:

  • Tendon Achilles: Ia akan memendek secara signifikan apabila seseorang berkasut tinggi. Malah, banyak masalah lain akan muncul kerana tendon anda memerlukan ‘spring’ yang mencukupi untuk berjalan. Apabila tendon Achilles tidak lagi dapat menjalankan tugas ini, otot di bahagian bawah kaki akan menjadi tertekan dan mengambil tugas lalu menyebabkan kecederaan.

  • Otot betis: Seperti tendon Achilles, kasut tinggi boleh membuat otot-otot soleus dan gastrocnemius untuk memendek. Dalam jangka masa yang panjang, peha betis akan menjadi semakin tegang dan sakit walaupun anda tidak memakai kasut.
  • Lutut: Apabila kerap bertumit tinggi ia akan menambahkan beban pada lutut di bahagian dalam. Di bahagian inilah tempatnya di mana wanita sering diserang penyakit osteoartritis. Berdasarkan beberapa kajian, tekanan yang hadir pada sendi lutut boleh meningkatkan sehingga 26% jika anda memamakai kasut tinggi.


5 TIP CEGAH SAKIT KAKI

  • Cuba elakkan daripada memakai kasut tinggi setiap hari. Mungkin sebagai permulaan, hadkan pemakaian kepada 2–3 kali seminggu. Apabila sedang duduk di pejabat, tanggalkannya dan gunakan kasut leper atau selipar.
  • Bila sedang duduk, lenturkan otot betis anda dan putarkan buku lali agar dapat meregangkan otot. Jadikan senaman ringkas ini sebagai rutin.
  • Kalau tak boleh ‘hidup’ tanpa kasut bertumit, gantikan dengan gaya kasut baji sebagai alternatif. Kasut jenis ini dapat memberi lebih sokongan dan dapat mengelakkan daripada pergerakan lateral seperti stiletto atau tumit tinggi.
  • Jika ingin membeli kasut, beli pada waktu siang atau malam emasa kaki lebih besar sedikit berbanding dengan waktu pagi.
  • Sebaik-baiknya, pakai tumit tinggi pada majlis tertentu saja, pastikan rekaan yang dipilih dapat memberi keselesaan dan yang penting dapat menyokong tubuh anda.


Demikian pelbagai risiko memakai kasut-kasut tumit tinggi secara keterlaluan dan juga petua-petua untuk mencegahnya. Selamat mencuba!  

- BERITAmediacorp/AO/tq

Top