Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Akhirnya! Pelancong boleh bawa pulang sate S'pura; Jumain Satay menang 2 anugerah inovasi

Cuba anda namakan snek asli Singapura yang sering dibawa pulang para pelancong? Nampaknya tidak banyak.

Anggaran Waktu Membaca:
Akhirnya! Pelancong boleh bawa pulang sate S'pura; Jumain Satay menang 2 anugerah inovasi

(Gambar: Singapore Food Manufacturers' Association - SFMA/ Facebook)

SINGAPURA: Cuba anda namakan snek asli Singapura yang sering dibawa pulang para pelancong? Nampaknya tidak banyak.

Namun tidak lama lagi, salah satu hidangan makanan yang ‘harus dicuba' di Singapura boleh dibawa pulang oleh para pelancong - iaitu sate.

Bagi menjadikan ini satu kenyataan, syarikat Jumain Sataysfaction menggabungkan resipi snek ala makanan Itali, roti Grissini, dengan resipi sate turun-temurunnya untuk menghasilkan Satay Bitez.

Satay Bitez adalah snek roti berperisa sate yang rangup dan dicecah dengan kuah sate. Prototaip ini, yang dihasilkan syarikat Jumain Sataysfaction dengan sekumpulan pelajar Politeknik Singapura, menang dua Anugerah Inovasi Produk Makanan 2018 (FIPA) semalam (19 Apr).

Peraduan inisiatif inovasi makanan itu dianjurkan Persatuan Pengilang Makanan Singapura (SFMA), sebagai usaha di bawah Perubahan Perancangan Industri dalam sektor itu.

Syarikat Jumain Sataysfaction hasilkan Satay Bitez bersama pelajar-pelajar Politeknik S'pura. (Gambar: Samsiah Suliman)

Prototaip sate inovatif itu begitu popular sehingga dalam tempoh mengundi selama sekitar sejam, 'Satay Bitez' mengalahkan 22 kumpulan peserta lain dan muncul sebagai Makanan Pilihan Pengundi.

Syarikat Jumain Sataysfaction turut merangkul Anugerah Potensi Pemasaran Terbaik selepas para peserta dinilai berdasarkan inovasi dan kebolehlaksanaan memasarkan prototaip mereka. Sekali gus, syarikat Melayu itu menjadi satu-satunya syarikat yang menang dua anugerah yang disampaikan Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan, Sim Ann. Tujuh syarikat lain masing-masing menang satu anugerah.

IDEA DI SEBALIK SATAY BITEZ

"Ketika kita memikirkan produk baru yang ingin dihasilkan, kita menimbangkan dua perkara. Pertama, produk itu haruslah mudah dieksport ke luar negara. Kedua, hidangan perlu diubah suai kepada bentuk lain yang mudah dibawa dan disimpan pelanggan termasuk para pelancong," kata Cik Samsiah Suliman, Pengarah Urusan Jumain Sataysfaction.

Syarikat tersebut merupakan sebuah kilang yang membekalkan hidangan sate kepada syarikat-syarikat lain termasuk hotel dan pasar raya. Di bawah syarikat ini juga ada dua gerai sate - satu di Lau Pa Sat dan satu lagi di Asli Village di Downtown East.

Sepanjang program sembilan bulan itu, Jumain Sataysfaction dan 22 kumpulan peserta lain yang terdiri daripada pengilang makanan dan pelajar, diberi pendedahan bagi mengasah keupayaan mereka dalam perniagaan dan inovasi. Para peserta juga mendapat akses untuk bekerjasama dengan rakan-rakan inovasi lain seperti Nielsen, Institut Teknologi Singapura dan Pusat Sumber Inovasi Makanan.

PILIHAN LEBIH SIHAT

Cik Samsiah memberitahu BERITAMediacorp bahawa prototaip yang dihasilkan syarikatnya juga pilihan makanan yang sihat.

Jumain Sataysfaction rangkul dua anugerah bagi 'Satay Bitez'. (Gambar: Samsiah Suliman)

Ini kerana, gula yang digunakan dalam 'Satay Bitez' dikurangkan dan ia tidak menggunakan MSG. Snek itu juga tidak digoreng tetapi dibakar.

"Memandangkan ia roti, ia juga boleh dimakan dengan salad," jelas Cik Samsiah tentang inovasi terhadap makanan tradisional itu.

'Satay Bitez' akan disediakan dalam pembungkusan dan ia boleh bertahan sehingga setahun. Namun, syarikat tersebut masih dalam proses kajian dan pengembangan untuk memantapkan lagi produk mereka. Syarikat itu juga sedang meninjau variasi bagi snek tersebut.

Ia dijangka mula dijual secara runcit dan borong menjelang enam bulan akan datang.

KERJASAMA DENGAN PELAJAR POLI SUATU PENGALAMAN BARU

Cik Samsiah turut berkongsi tentang pengalaman tiga wakil syarikatnya (termasuk dirinya) yang digandingkan dengan empat pelajar politeknik Singapura.

(Gambar: Singapore Food Manufacturers' Association - SFMA/ Facebook)

"Sebagai seorang yang dewasa, kadangkala kita takut untuk mencuba perkara baru. Tetapi ini tidak sama bagi generasi muda. Setiap kali kami 'cabar' mereka, mereka akan teroka cara-cara lain," cerita Cik Samsiah kepada BERITAMediacorp.

Pengalaman pelajar yang masih 'mentah' juga tidak menjadi halangan untuk pasukan itu bekerjasama. Ini lebih-lebih lagi selepas Cik Samsiah memutuskan untuk membawa para pelajar ke kilang supaya dapat lebih memahami syarikat Jumain Sataysfaction.

"Kami bincang tentang banyak perkara, dari tentang kerangupan snek hinggalah sukatan rempah ratus yang digunakan bagi mengekalkan elemen makanan tradisional snek ini," tambah Cik Samsiah.

Malah, para pelajar itu mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak supaya snek yang dihasilkan tidak terlalu pedas dan sesuai dengan selera penduduk mahupun pelancong.

LEBIH BANYAK SOKONGAN BAGI SEKTOR PENGILANGAN MAKANAN

Para peserta FIPA. (Gambar: Singapore Food Manufacturers' Association - SFMA/ Facebook)

Jumain Sataysfaction dan empat pengilang makanan lain yang memenangi pertandingan itu menerima sokongan geran sehingga S$129,000 untuk memasarkan produk mereka.

Ini disokong oleh Enterprise Singapore yang akan membantu mereka dalam kos menghasilkan produk, menjalankan ujian pemasaran dan strategi-strategi lain untuk menembusi pasaran tempatan dan luar negara.

Setiap syarikat dan kumpulan pelajar juga masing-masing menerima wang tunai S$1,500 dan S$500.

"SFMA akan bekerjasama dengan rakan-rakan lain seperti Enterprise Singapore dan NTUC Fairprice untuk memasarkan produk-produk ini," kata Presiden SFMA Encik Thomas Pek.

"Di luar FIPA, SFMA akan terus memberi sokongan bagi pertumbuhan dalam sektor ini dan bagi mengukuhkan jenama tempatan untuk menempa nama dalam pelbagai pasaran luar negara," tambah beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan