Images
  • pop malaya
    Ais krim jenama Pop Malaya (Gambar petikan laman Pop Malaya)

Aiskrim 'Pop Malaya' dijangka dijual di S'pura, Brunei jelang hujung 2018

KUALA LUMPUR: Pengeluar aiskrim, Doluvo Sdn Bhd, menyasar untuk melebarkan sayapnya ke Brunei dan Singapura menjelang hujung tahun sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat berkenaan mengembangkan jenama ‘Pops Malaya’ ke seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yasmin Karim, berkata syarikat berkenaan menembusi pasaran Hong Kong awal bulan ini melalui pengedar yang mempunyai rantaian runcitnya sendiri yang meliputi bukan sahaja Hong Kong tetapi juga Macau.

“Dengan sokongan banyak agensi seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Selangor Youth Community dan Invest Selangor, kami amat positif dalam mengeksport produk kami ke negara lain.

“Sasaran kami adalah negara ASEAN. Kami akan fokus kepada Brunei, Singapura, Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam dan Filipina,” katanya kepada Bernama.

Pops Malaya adalah minuman ais serbuk yang diperbuat daripada buah-buahan dan kandungan semula jadi.

Cik Yasmin berkata, syarikat berkenaan sedang dalam perbincangan dengan pengedar berpotensi yang berpangkalan di Filipina untuk mengedarkan Pops Malaya di Maldives, Qatar dan Thailand.

Melalui langkah pengeksportan itu katanya, syarikat berkenaan berharap menyumbang sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jumlah perolehan.

“Menjelang 2020, kami berharap segmen eksport akan memberikan 50 peratus daripada jumlah perolehan kami,” katanya dan menambah Doluvo juga merancang meningkatkan rangkaian produknya melalui pengenalan perisa baharu dan meningkatkan portfolionya kepada kudapan sihat.

Dari segi pengeluaran katanya, syarikat berkenaan mampu untuk menampung permintaan yang besar kerana kilangnya di Ara Damansara masih belum berjalan dalam kapasiti penuh.

“Kami mengeluarkan kira-kira 3,000 batang sehari tetap maksimum pengeluaran harian kami adalah 6,000 batang.

“Jika permintaan meningkat, kami boleh memenuhi tempahan dengan kapasiti sedia ada yang kami miliki di kilang. Kami cuma perlu meningkatkan bilangan giliran pekerja,” jelasnya.

- BERNAMA/TQ/tq

Top