Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Aduh, panasnya cuaca! Ini 15 cara kurangkan/atasi kepanasan...

Bagi kita di Singapura atau Malaysia, kadang-kadang baru saja mandi dan tukar pakaian tapi badan dah berpeluh lagi. Tekak pula asyik rasa haus saja walaupun dah minum air bergelas-gelas.

Anggaran Waktu Membaca:
Aduh, panasnya cuaca! Ini 15 cara kurangkan/atasi kepanasan...

Gambar hiasan. (Gambar-gambar: pixabay/ pexels)

Diterbitkan : 24 Jul 2018 10:26PM Dikemas Kini : 25 Jul 2018 06:29PM

BERITAMediacorp: “Aduh, panasnya cuaca…,” keluh anda. Maklumlah, cuaca sekarang sedang membahang dan boleh mencecah sehingga 34 atau 35 darjah selsius, menurut Jabatan Kaji Cuaca tempatan. Negara luar seperti Jepun juga sedang mengalami cuaca panas luar biasa melebihi 40 darjah selsius, dan di Arab Saudi semasa musim haji ini, suku dijangka mencecah sehingga 50 darjah selsius.

Bagi kita di Singapura atau Malaysia, kadang-kadang baru saja mandi dan tukar pakaian tapi badan dah berpeluh lagi. Tekak pula asyik rasa haus saja walaupun dah minum air bergelas-gelas.

Cuaca panas juga boleh menjejas kesihatan seharian jika anda tidak memberi perhatian dan menjaga tubuh anda dengan betul. Mutu kesihatan akan merosot apabila anda tidak mengamalkan pengambilan air yang mencukupi setiap hari. Jika tubuh kurang air, anda boleh dilanda demam, sakit tekak, pening, mabuk, letih, lesu, kulit kusam dan kering.

Anda maklum bahawa tubuh manusia terdiri dari 75 peratus air dan 25 peratus bahan pepejal. Sama juga dengan otak kita, ia mengandungi 75 peratus air di mana kehilangan cecair boleh menjadi punca pening dan sakit kepala. Masih terdapat ramai di antara kita yang masih tidak menyedari peri pentingnya memastikan kelembapan tubuh, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai gaya kehidupan yang aktif.

Oleh itu, penting untuk tahu langkah-langkah yang boleh membantu menangani cuaca panas agar tubuh kita dapat kekal sihat dan dihindari dari sebarang masalah yang tidak diingini. Jadi di sini BERITAMediacorp berkongsi dengan anda 15 cara mudah memastikan tubuh anda tidak kekeringan dan dapat menjalani kehidupan seharian dengan lancar dalam cuaca panas:

1. SEMUDAH MINUM AIR

· Minum air putih - Cuba minum air putih seberapa kerap yang boleh. Tidak perlu tunggu hingga tekak kering. Elakkan minuman bergula termasuk teh dan kopi.

· Isotonik - Minum minuman isotonik untuk gantikan garam yang hilang air akibat berpeluh.

· Periksa air kencing - Jika warna air kencing jernih maknanya tubuh anda mempunyai air yang mencukupi. Jika ia sebaliknya, ini bermakna anda perlu tingkatkan lagi pengambilan air jarang. Jika doktor mengehadkan pengambilan air dalam tubuh anda atas sebab-sebab penyakit lain, periksa dulu dengan doktor berapa banyak air anda boleh minum seharian.

· Bawa air botol - Bawa bersama botol air di dalam beg apabila keluar rumah.

(Gambar: pixabay/ pexels)

2. DINGINKAN TUBUH

· Snek buah - Selain minum air putih, jadikan salada dan buah-buahan segar sebagai snek seharian.

· Soal pakaian - Pakai pakaian yang selesa, ringan dan longgar seperti fabrik kapas selain pilihlah warna yang terang demi memantul cahaya.

· 12.00 - 3.00 - Hadkan aktiviti di luar, lebihkan masa di dalam rumah atau pejabat. Elakkan daripada melakukan aktiviti lasak atau berada di bawah matahari yang terik pada waktu puncak antara jam 12.00 tengah hari dengan 3.00 petang. Sebaliknya lakukan pada awal pagi atau lewat petang. Pakai topi atau payung untuk melindungi tubuh dan kulit daripada pancaran haba.

· Pakai krim - Sebelum keluar rumah, sapukan krim pelindung matahari di muka dan tangan. Ia dapat membantu mengekalkan kelembapan kulit.

(Gambar: pixabay/ pexels)

· Rendam - Sering lap tangan dengan tuala sejuk atau rendam kaki di dalam air sejuk.

· Air sejuk - Mandi dengan menggunakan air sejuk dan elakkan guna alat pemanas air.

3. DINGINKAN RUMAH ANDA

· Guna langsir - Turunkan bidai dan langsir dan buka tingkap pada sebelah malam agar udara sejuk dapat masuk. Menurut kajian, dengan menurunkan bidai dan langsir, sebanyak 7 peratus haba dapat dikurangkan dan rumah boleh jadi sejuk sedikit.

· Ais & kipas - Letakkan ketulan ais di depan kipas angin kerana ia dapat membantu membuat udara lebih sejuk. Cara ini sesuai bagi yang tidak mempunyai alat hawa dingin atau mereka yang ingin menjimatkan bil elektrik.

(Gambar: pixabay/ pexels)

· Air dalam besen - Pernah tak anda dengar petua ini? Kata orang-orang dulu, bila letakkan besen yang diisi air di dalam bilik, bahang di rumah akan berkurangan. Kehadiran air dalam besen ini dikatakan dapat serap haba panas. Cubalah! Tapi, pastikan untuk gunakan besen yang mempunyai permukaan yang luas. Jangan pula letakkan air dalam mangkuk atau periuk yang kecil.

4. KURANGKAN PELUH SEMASA TIDUR

· Cadar kapas - Apabila cuaca panas, tubuh pasti akan berpeluh bila anda tidur. Cadar pula akan mudah berbau. Apabila anda ingin menukar cadar dan sarung bantal, pilihlah fabrik jenis kapas kerana ia lebih lembut dan dapat serap haba, lalu dapat mengurangkan peluh.

(Gambar: pixabay/ pexels)

5. TUKAR BAL LAMPU

· Jenis lampu - Pernah tak anda terasa bahang gara-gara lampu di rumah? Benar, lampu mampu menghasilkan haba. Oleh itu, sebelum membeli lampu, pastikan anda tahu perbezaannya dan dapatkan jenis seperti lampu fluorescent atau LED yang dapat mengurangkan haba dan kuasa elektrik. Sekali gus ia membantu mengurangkan bahang dan wang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AO/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan