Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Abang-abang barber' kini bukan gunting rambut saja, tapi sumbang kembali kepada masyarakat

Kedai gunting rambut moden atau yang dikatakan 'hipster' semakin popular di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kedai gunting rambut moden atau yang dikatakan 'hipster' semakin popular di negara ini.

Malah bukan setakat 'popular' yang 'abang-abang barber' itu kejar, tetapi kedai mereka kini juga gigih dijadikan sebagai ruang masyarakat yang positif sedang mereka juga aktif mahu menyumbang semula kepada masyarakat.

BERITAMediacorp menemui tiga 'abang barber' yang menjayakan usaha murni mereka dengan cara tersendiri.

GUNTING RAMBUT PERCUMA UNTUK ANAK-ANAK MEMERLUKAN

Siapa kata tugas tukang gunting rambut atau 'barber' sekadar menggunting rambut?

Dengan lebih ramai anak muda kini mengendalikan kedai gunting yang moden sendiri, mereka juga gigih ingin mengubah pemikiran stereotaip itu.

Sebagai contoh, kedai PlusSixFive Barbers Pte Ltd ini.

Pemiliknya, Encik Ilkhamdani Juma'at baru-baru ini secara proaktif menghubungi MENDAKI untuk menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma kepada kanak-kanak dari keluarga memerlukan sempena pembukaan tahun sekolah yang baru.

"Harga-harga di kedai gunting rambut moden agak tinggi. Jadi untuk ringankan beban sesetengah keluarga, saya ingin sumbangkan khidmat ini secara percuma.

"Saya harap yang lain juga dapat membantu masyarakat. Tidak semestinya dengan duit tetapi dengan kemahiran yang kita ada. Kita pun dapat membantu mereka," kata Encik Ilkhamdani Juma'at, pemilik PlusSixFive Barbers.

'BARBER' AKTIF SOKONG KEMPEN 'DADAH ITU HARAM'

Pengalaman unik sebegitu dan hubungan dua hala lebih erat juga dilihat di kedai DeepCuts Barber's.

Ini semua selepas pelibatan kedai itu dengan kempen 'Dadah Itu Haram'. Kempen antidadah itu menerima sokongan hampir 50 kedai gunting pada awal Disember tahun lalu (2017).

Pemilik DeepCuts Barber's, Encik Nor Muhammad Faiz Ismail, berkata selepas menyokong kempen itu ramai pelanggannya mula berkongsi kisah peribadi mereka.

"Pada saya tukang gunting rambut macam pakar psikologi. Bila kita dengar masalah pelanggan kita yang duduk di kerusi itu. Kisah daripada pelanggan lain menjadi teladan untuk orang lain, boleh jadi nasihat untuk pelanggan lain," kongsi Encik Nor Muhammad Faiz Ismail, pemilik DeepCuts Barber's.

HOMBRE BARBERBLADE SERTAI KEGIATAN AMAL

Menyumbang kepada masyarakat melalui kemahiran, tenaga dan masa juga bukan perkara yang asing buat Encik Khairul Aizat Salleh.

Tukang gunting rambut dan Pemilik kedai Hombre BarberBlade itu pernah menyertai acara-acara amal dengan Rumah Kebajikan Muhammadiyah dan Persatuan Barah Kanak-Kanak bagi kempen 'Hair For Hope'.

Bagi acara 'Hair For Hope' para peserta menggondolkan rambut mereka sebagai menyokong kempen kesedaran mengenai nasib para pesakit barah dan sekaligus menjana pungutan dana bagi pesakit barah.

"Saya nampak budak-budak lelaki yang potong botak. Lebih mengejutkan budak-budak perempuan rambut panjang pun gunting. Jadi itu menambahkan semangat kami untuk berjuang dengan orang-orang yang sakit barah," ujar Encik Khairul.

Bagi acara Hair For Hope, pasukan Encik Khairul perlu menutup kedai dan memberikan khidmat kepada hampir 40 orang secara percuma.

Seperti beliau, 'abang-abang barber' lain yang menawarkan khidmat percuma juga menampung kos kerugian perniagaan kerana kehilangan pendapatan.

Namun, mereka akur rasa puas yang diperolehi, hadiah yang tak ternilai harganya.

Sudah tiba masa untuk kita mendidik mereka bahawa ia bukan setakat gunting rambut tetapi kami di sini juga boleh menyumbang balik kepada masyarakat.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan