Images
  • pesta msia durian
    (Gambar: Nurul Amirah Mohd Isa/BERITAMediacorp)

8,000 kg durian 'lebih murah' antara tarikan utama Pesta Malaysia di Singapore Expo

SINGAPURA: Sebanyak 8,000 kilogram durian termasuk jenis Musang King atau Mao Shan Wang, akan dijual di Pesta Malaysia 2018 - iaitu empat kali ganda lebih banyak berbanding jumlah durian yang dijual di acara tahun lalu.

Bagi para penggemar durian, ini tentunya satu berita yang baik. Malah, lebih menarik lagi 'raja buah' itu akan dijual pada harga yang jauh lebih rendah.

Jika di acara tahun lalu, buah durian semasa pesta tersebut dijual pada harga RM90 (S$30.00) sekilogram, kali ini orang ramai mungkin dapat membelinya pada harga sekitar RM40 sekilo (S$13.00) sahaja.

Ini diumumkan oleh Pengarah Kanan Pasaran Antarabangsa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Malaysia, Cik Nazipah Jamaludin, di sidang media Pesta Malaysia 2018 yang diadakan di Agrobazaar Malaysia pada Rabu (25 Jul).

KESEMUANYA 15,000 KG BUAH-BUAHAN AKAN DIJUAL

Buah-buahan tempatan dan bermusim serta tanaman dan sayur-sayuran khas dari ladang-ladang dari seluruh wilayah Malaysia adalah antara tarikan utama dalam edisi ketiga Pesta Malaysia.

Ini kerana acara tahun ini diadakan serentak dengan musim buah-buahan di Malaysia, kata Cik Nazipah, sekaligus memberikan para pengunjung peluang untuk menikmati buah-buahan yang jarang didapati di luar musim ini.


"Kami juga akan memberikan potongan harga yang istimewa kepada para pengunjung sempena musim buah-buahan dan sambutan ulang tahun Singapura," tambah beliau.

Secara keseluruhannya, sebanyak 15,000 kilogram buah-buahan bermusim akan dijual. Ini termasuk durian musang king, durian klon dan durian kampung dari Perak dan Johor, serta buah manggis, pulasan, cempedak, rambutan dan jambu batu.

PERKENALKAN KONSEP TRAK MAKANAN DI S'PURA

Jika anda sering ke seberang tambak kerana mengidam makanan-makanan popular dan tradisional Malaysia, anda dapat menikmati hidangan makanan kegemaran anda melalui trak-trak makanan yang disediakan.

Konsep trak-trak makanan seperti itu akan diperkenalkan di Singapura semasa Pesta Malaysia. Buat julung-julung kalinya, 11 buah trak makanan akan ditampilkan oleh penganjur. Ini juga merupakan pelibatan terbesar trak makanan bagi sesebuah acara di Singapura sejauh ini.

Apakah antara hidangan-hidangan lazat yang dapat anda nikmati?

Sotong Raja, Asam Pedas Melaka, Laksa Kedah, Lemak Ayam Negeri Sembilan, Nasi Ayam Johor serta Nasi Kerabu Terengganu - itulah makanan yang menanti anda.

MAKANAN, FESYEN, KECANTIKAN & PELANCONGAN BAWAH 1 BUMBUNG

Pesta Malaysia ini juga akan menampilkan produk fesyen, kecantikan, gaya hidup dan pelancongan di bawah satu bumbung. Ini termasuk kraftangan dan aksesori dari Sarawak yang tidak mudah didapati di sini.

Selain melibatkan 28 artis Malaysia yang akan mempromosikan produk-produk mereka, acara tahun ini juga mendapat penyertaan daripada para usahawan muda yang ingin menembusi pasaran Singapura.


"Objektif kami adalah untuk memperkenalkan usahawan-usahawan Malaysia yang belum pernah masuk di Singapura supaya menjadikan satu platform untuk mereka berniaga di Singapura, dan mencari jaringan network pada semua peringkat," kongsi Pengarah Urusan MegaXpress International, Hamzah Abdullah.

MegaXpress International adalah penganjur Pesta Malaysia 2018 dengan sokongan FAMA.

Encik Hamzah memberi jaminan bahawa acara tersebut juga akan lebih gah berbanding tahun lalu kerana melibatkan sebanyak 250 gerai dan disertai oleh para usahawan dari seluruh Malaysia.

Pesta Malaysia akan berlangsung dari 9 hingga 12 Ogos, 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Hall 6A, Singapore Expo. 

- BERITAMediacorp/tq

Top