Images
  • selfie
    Gambar: TED ALJIBE/AFP

6 tips 'selfie' lebih cantik Aidilfitri ini!

ASTRO AWANI: Ada masanya ‘selfie’ anda cantik tetapi pada kebanyakan waktu, ‘selfie’ anda hanya memperlihatkan wajah anda yang kelam, pipi anda yang tembam dan paras yang suram!

Mengapa ini berlaku? Apatah lagi Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang.

Dengan solekan, helaian hijab dan salinan baju raya serba baru, kami yakin anda tentu mahu kelihatan cantik, tidak kiralah untuk ‘selfie’ mahupun ‘wefie’.

Ayuh ikuti panduan penting ini. Pasti ada sesuatu yang boleh anda pelajari. Selamat mencuba!

Tips 1: Gunakan pencahayan semula jadi dekat tingkap

Peraturan pertama dalam seni ‘selfie’ adalah memberikan perhatian yang paling utama kepada aspek pencahayaan.

Ya, untuk memperolehi ‘selfie’ yang cantik, anda perlukan pencahayaan yang baik dan yang terbaik datang daripada cahaya semula jadi, iaitu cahaya matahari.

Ini boleh dianggap sebagai satu formula yang paling penting kerana ramai blogger bersetuju bahawa cahaya matahari adalah 'produk kecantikan' yang terbaik. Malah, ia percuma dan anda tidak perlu berbelanja apa-apa untuk mendapatkannya.

Maka untuk memperolehi sumber cahaya asli, anda disarankan agar mengambil gambar dekat dengan tingkap, dengan sinaran matahari.

Tips 2: Bercanda dengan cahaya matahari di luar rumah

Satu lagi cara lain, anda boleh keluar dari rumah dan berdiri di bawah pancaran matahari. Tapi awas! Bukan matahari yang panas terik!

Cahaya matahari sebelum jam 8.00 pagi boleh memberikan efek cahaya keemasan yang amat lembut dan cantik untuk ‘selfie’ hari raya anda. Sinarnya juga tidak terlalu kuat.

Dalam pada itu, jika cahaya matahari pagi memancar ke kulit wajah anda, ia akan membiaskan cahaya yang keemasan, menjadikan kulit anda berkilau-kilau keemasan dan terlihat lebih berseri berbanding biasa.

Jika anda bercadang mahu memanfaatkan cahaya matahari petang pula, anda digalakkan agar merakam ‘selfie’ selepas jam 6.00 petang.

Ini adalah tempoh di mana cahaya matahari terbenam lantas menjelmakan efek yang sangat mengasyikkan pada wajah anda.

Bukan itu saja, pencahayaan matahari secara semula jadi juga boleh menghilangkan kesan lingkaran gelap (dark circle) pada kantung mata anda.

Hasilnya, mata anda pasti terlihat lebih segar dan bersinar-sinar dalam ‘selfie’.

Tips 3: Rahsia sekeping kertas putih

Ini satu lagi rahsia untuk memperolehi ‘selfie’ raya yang cantik. Tahukah anda, banyak blogger kecantikan menggunakan sekeping kertas atau kad putih yang besar dan meletakkannya pada bawah dagu semasa ber’selfie’?

Apakah rahsianya? Apabila anda memetik telefon bimbit anda untuk merakam ‘selfie’, cahaya ‘flash’ yang terhasil daripada telefon bimbit akan terpantul pada kertas atau kad putih tadi.

Lalu, cahaya putih itu akan memberikan satu pantulan cahaya yang boleh mencerahkan lagi kompleksi wajah anda, menjadikan wajah anda kelihatan bersinar.

Bukan itu saja, teknik kertas putih ini juga boleh mengurangkan efek dagu berlapis pada ‘selfie’ raya anda nanti.

Tips 4: Rajin gunakan aplikasi untuk mengedit gambar

Banyak pakar ‘selfie’ mengakui, ada masanya mereka memang memerlukan bantuan suntingan daripada aplikasi gambar tertentu untuk mencantikkan lagi ‘selfie’ mereka.

Salah satu aplikasi gambar yang paling popular di Instagram adalah ‘filter’ Valencia. Ia menghasilkan foto dengan efek ‘dreamy’ yang amat lembut lagi mengasyikkan.

Malah, tidak salah jika dikatakan ia mampu merubah wajah yang kurang cantik menjadi sangat menarik dan berseri-seri!

Apabila menggunakan aplikasi gambar, anda mungkin boleh memperuntukkan waktu 2-3 minit untuk melakukan sedikit kerja-kerja ‘air-brushing’ dan mencerahkan lagi foto tersebut. Selain ‘filter’ Valencia, ada juga blogger yang menggunakan Facetune yang boleh menyamarkan bentuk wajah yang tidak disukai dan menyerlahkan pula bahagian wajah yang ingin ditonjolkan.

Bukan itu saja, ada juga blogger yang memilih Perfect365 and Adobe Photoshop Fix untuk menyunting ‘selfie’ mereka.

Dengan bantuan aplikasi-aplikasi tersebut, anda boleh memancungkan hidung yang bulat atau pesek, memutihkan warna gigi yang agak kekuningan, malah meniruskan bentuk dagu yang kembang atau lebar. Hebat bukan?

Tips 5: Buat senaman muka supaya wajah awet muda

Tahukah anda, bukan saja badan perlukan senaman? Muka anda itu juga wajar dirangsang untuk ‘bersenam’ kerana itulah kunci kulit wajah yang segar, berseri-seri dan kurang kedutan. 

Inilah antara senamannya:

Mengurangkan Efek Mata Sembap

Langkah 1: Tekankan kedua-dua jari hantu (jari tengah) pada penjuru dalam kening. Kemudian, dengan menggunakan jari telunjuk, tekan pula bahagian penjuru luar kening.

Langkah 2: Dongakkan muka anda dengan memandang siling. Buka mata dengan gerakan seakan-akan anda menolak kelopak mata ke atas.

Langkah 3: Ulangi gerakan ini sebanyak 6 kali dan akhiri ia dengan cara memejamkan mata rapat-rapat selama 10 saat.

Tips 6: Tip paling penting supaya 'selfie' cantik 

Walau apa jua teknik, taktik dan aplikasi edit paling canggih yang boleh anda gunakan untuk mengindahkan lagi hasil ‘selfie’ anda, kata kuncinya tetap terletak pada diri anda sendiri – iaitu keyakinan, serta kulit yang cantik, sihat dan berseri-seri dari dalam!

Tidak sukar sebenarnya untuk memperolehi kulit yang sihat, lembut, gebu, jernih dan ‘glowing’.

Untuk mendapatkan kulit yang sihat, segar dan berseri dari dalam, anda digalakkan agar mengambil Vitamin C dan Vitamin E.

Ia boleh dinikmati pada bila-bila masa, di mana saja anda berada.

Jadikan ia satu amalan mulai hari ini juga, supaya ‘selfie’ anda membuahkan hasil yang anda impikan!  

- Agensi berita/SM/sm

Komen Anda?

Top