6 cara jamin udara bersih dalam rumah
Tidak kira berapa kali anda membersihkan rumah, kemungkinan besar masih terdapat bahan pencemar yang tidak kita sedari dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Berikut antara langkah mudah yang boleh diambil untuk menjaga kebersihan udara dalam rumah.
SINGAPURA: Tidak kira berapa kali anda membersihkan rumah, kemungkinan besar masih terdapat bahan pencemar yang tidak kita sedari dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Lebih membimbangkan lagi, kegiatan harian seperti memasak, kerja-kerja membersih malah juga mandi melepaskan pelbagai zarah kecil temasuk debu serta toksik ke udara.
Antara contoh bahan-bahan yang biasa dilepaskan ke udara seperti penyembur aerosol, pewangi bilik, racun perosak dan asap pembakaran di sekeliling.
Keadaan mungkin bertambah teruk sekiranya tiada pengaliran udara yang baik di dalam rumah.
Tip mengurangkan pencemaran dalam rumah
Berikut ini antara langkah mudah yang boleh diambil untuk menjaga kebersihan udara dalam rumah dan sekali gus melindungi kesihatan keluarga anda.
1. Jangan merokok dalam rumah
Ini cara paling mudah untuk mengurangkan bahan pencemar di dalam rumah, terutamanya nitrogen dioksida. Untuk meraih manfaat kesihatan lebih baik, anda mungkin boleh pertimbangkan untuk hentikan tabiat merokok sama sekali.
2. Gunakan pewangi alami
Elak daripada menggunakan wangi-wangian jenis sintetik seperti penyegar udara dan lilin aromaterapi kerana ia menghasilkan gas yang boleh menyebabkan perkembangan penyakit tertentu. Sebaliknya, gunakan bunga, produk aromaterapi berasaskan minyak ataupun cecair (essential oils) atau soda penaik (baking soda) dicampur jus limau boleh menyegarkan udara di rumah tanpa mengeluarkan bahan pencemar.
3. Gunakan produk pembersih mesra alam
Banyak produk pembersih rumah mengandungi bahan pelarut yang mengeluarkan gas seperti formaldehid dan benzene. Gantikanlah dengan produk mesra alam yang kurang mengandungi pewangi dan kimia sintetik.
4. Pastikan lantai bersih
Selain menggunakan produk pembersihan untuk mengelap lantai, gunakan kain basah dan kain fiber mikro yang boleh mengurangkan zarah termasuk debu dan bulu haiwan. Seberapa mungkin, elak gunakan permaidani kerana ia cenderung menjadi perangkap habuk.
5. Tingkatkan pengaliran udara
Kurang pengaliran udara mengakibatkan bahan-bahan pencemar terperangkap dan semakin meningkat dalam rumah. Buka tingkap dan gunakan kipas supaya udara segar boleh mengalir dalam seluruh rumah.
Jangan lupa gunakan penyedut asap ketika memasak agar dapat mengurangkan asap!
6. Letakkan pokok tertentu di dalam rumah
Pertimbangkan untuk meletakkan tumbuhan dalam rumah yang boleh meningkatkan mutu udara. Menurut beberapa kajian, terdapat beberapa jenis pokok yang boleh menyingkirkan formaldehid, benzene dan beberapa bahan toksik yang terdapat di dalam rumah. Contoh tanaman seperti Chinese Evergreen, Bamboo palm dan Geranium.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.