Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 tempat menarik untuk anda bawa anak-anak semasa cuti sekolah bulan Mac ini

BERITAMediacorp menyenarai pendek lima lokasi yang dapat membuat anda dan anak-anak lupakan seketika kesibukan hidup di bandar.

Anggaran Waktu Membaca:
5 tempat menarik untuk anda bawa anak-anak semasa cuti sekolah bulan Mac ini

Dekati pelbagai jenis burung di Animal Resort. (Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost)

BERITAMediacorp: Cuti sekolah penggal pertama akan bermula 11 Mac ini. Sudahkah anda fikirkan kegiatan-kegiatan menarik yang boleh dilakukan bersama anak-anak anda?

Jika belum, apa kata anda sekeluarga kunjungi kebun-kebun dan taman di Singapura, yang kaya dengan unsur pendidikan yang lebih alami.

BERITAMediacorp menyenarai pendek lima lokasi yang dapat membuat anda dan anak-anak lupakan seketika kesibukan hidup di bandar.

Ayuh, ketepikan tablet, permainan video dan televisyen anda dan terokai lima lokasi berikut ini:

1) The Animal Resort Singapore

Lokasi ini menjadi pilihan pertama BERITAMediacorp kerana sebaik sahaja anda menjejakkan kaki di sini, rasanya seperti berada di kampung.

Di sini, pelbagai jenis burung dibiarkan bebas berkeliaran. Ini bermakna anak-anak anda akan dapat melihat burung-burung secara dekat.

Malah, anda boleh membeli paket-paket kecil makanan yang dijual, pada harga yang murah, untuk diberikan kepada burung-burung dan haiwan lain.

Antara yang ada di sana termasuk ayam, itik, angsa, ayam belanda, arnab, burung puyuh, burung kasuari, ikan koi dan juga kuda.

Anak-anak anda pasti seronok bukan saja bermain dengan burung-burung dan haiwan, malah terdapat juga sudut permainan untuk mereka.

Lokasi:

The Animal Resort

81 Seletar West Farmway 5, Singapura 798061

http://theanimalresort.com/home/

Waktu operasi:
10.00 pagi - 6.00 petang setiap hari

Bayaran:
Masuk percuma

2) Animal Corner, Farmart Centre Singapore

Jika anda mahukan satu lokasi nyaman dan menyenangkan, inilah tempatnya. Animal Kingdom terletak di dalam Farmart Centre Singapore.

Seperti Animal Resort, Animal Corner juga memberi peluang kepada anak-anak melihat haiwan-haiwan secara dekat dan percuma. Mereka juga boleh memberi makan kepada haiwan, termasuk kambing, katak, kura-kura dan arnab dengan harga yang berpatutan.

Selain itu, terdapat juga pelbagai kegiatan lain di Farmart Centre Singapore yang boleh anda lakukan, juga dengan harga yang berpatutan.

Jika perut berkeroncong selepas memberi makan kepada haiwan-haiwan, bolehlah anda menjamu selera dengan satay. Terdapat dua gerai yang menjual makanan halal di sana.

Lokasi:
Farmart Centre Singapore
67 Sungei Tengah Road, Singapura 699008
http://farmart.com.sg/

Waktu operasi:
Farmart Centre Singapore: 10.00 pagi hingga 10.00 malam

Animal Corner:
Isnin - Jumaat: 9.00 pagi - 1.00 tengah hari
Sabtu, Ahad, Cuti Umum: 9.00 pagi - 6.30 petang
Cuti Sekolah: 9.00 pagi - 4.00 petang

Bayaran:
Masuk percuma

3) Bollywood Veggies

Jauh dari kesibukan kota, dalam sekitaran yang mendamaikan di bahagian barat laut Singapura terletak sebuah kebun sayur-sayuran dan buah-buahan.

(Gambar: Bollywood Veggies/Facebook)

Bollywood Veggies adalah kebun seluas 10 ekar yang ditubuhkan oleh sepasang suami isteri, Ivy Singh dan Lim Ho Seng pada tahun 2000, untuk memberi peluang kepada semua orang menikmati kepelbagaian bio.

Di kebun ini, anda boleh memperkenalkan dan mendekatkan anak-anak kepada pelbagai jenis sayur-sayuan dan buahan-buahan.

(Gambar: Bollywood Veggies/FaceBook)

Pembantu peribadi pengarah Bollywood Veggies memberitahu BERITAMediacorp, mulai 11 Mac ini mereka menawarkan bengkel membuat 'Earth Doll' setiap Sabtu pukul 3.30 petang hanya dengan harga $5 setiap seorang.

Lokasi:
Bollywood Veggies
100 Neo Tiew Road,
Singapore 719026 (Kranji)
http://bollywoodveggies.com/

Waktu operasi:

Rabu - Ahad dan Cuti Umum: 8.00 pagi - 6.30 petang

Isnin - Selasa: Tutup (kecuali Cuti Umum)

Bayaran:
Masuk percuma

4) Urban Farm & Barn

Siapa sangka, di tengah-tengah kawasan perumahan HDB, tersembunyi sudut menenangkan, dengan sekitaran menghijau.

Apabila anda menjejakkan kaki ke kebun Urban Farm & Barn, anda akan disambut oleh pelbagai jenis tanam-tanaman herba dan sayur-sayuran.

Jika anak-anak anda mahu berjinak-jinak dengan kegiatan bercucuk tanam, di Urban Farm and Barn terdapat sebuah kedai kecil yang menjual pelbagai jenis benih sayur-sayuran, herba, kit tanaman, baja dan peralatan menanam - semuanya dijual dengan harga berpatutan.

Di sana anda boleh melihat anggur, padi, kapas, mulberi, stroberi malah bunga-bunga yang boleh dimakan.

Lokasi:
Bukit Panjang Hill
Blok 210 Petir Road - Di hhujung tempat meletak kereta, terdapat laluan menuju ke atas bukit. Ikuti laluan itu sebelum anda akan dapat melihat Urban Farm & Barn.
www.pocketgreens.com.sg

Waktu operasi:
Isnin: Tutup
Selasa - Khamis: 8.30 pagi - 11.30 pagi
Jumaat - Ahad: 3.00 petang - 6.00 petang
​Cuti Umum: 3.00 petang - 6.00 petang

Bayaran:
Masuk percuma

5) Supertree Grove di Taman di Pesisiran

Bersiap sedia untuk berimaginasi dan beraksi seperti para pengkaji ala-ala 'Jurassic Park' apabila anda ke Taman di Pesisiran.

Sejak 1 Mac lalu, kawasan Supertree Grove di sana menjadi tempat persinggahan 11 'dinosaur'.

Brachy, patung dinosaur Brachiosaurus setinggi 16 meter. (Gambar: Taman di Pesisiran)

(Gambar: Taman di Persisiran)

Arca-arca dinosaur itu besarnya sama seperti dinosaur yang sebenar, bayangkan reaksi anak-anak anda. Mungkin bukan mereka saja, malah anda sendiri akan berasa teruja!

Dinosaur yang tertinggi di kalangan arca-arca tersebut adalah Brachiosaurus berwarna biru yang 16 meter jauh lebih tinggi berbanding arca dinosaur yang lain. Arca-arca lain termasuk Tyrannosaurus Rex setinggi 7 meter yang digelar Rexy, serta Triceratops berwarna kuning terang yang dikenali sebagai Tricey.

Rexy, patung dinosaur Tyrannosaurus setinggi 9 meter. (Gambar: Taman di Pesisiran)

(Gambar: Taman di Persisiran)

Arca-arca tersebut sudah ditempatkan sebagai sebahagian daripada Pesta Kanak-Kanak, yang akan dilancarkan pada 10 Mac.

Beberapa acara kemuncak lain sempena pesta itu termasuk kegiatan bertemakan pra-sejarah seperti pencarian telur dinosaur, persembahan muzik oleh artis-artis tempatan Benjamin dan Narelle Kheng dari The Sam Willows dan Orkestra Simfoni Singapura, permainan karnival, serta sesi bercerita.

Lokasi:

18 Marina Gardens Drive

Singapore 018953
http://www.gardensbythebay.com.sg

Waktu operasi:
Isnin - Ahad: 10.00 pagi - 9.00 malam

Bayaran:
Masuk percuma

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan