Images
  • travel luggage
    (Gambar hiasan: GREG BAKER / AFP)

5 tabiat buruk apabila keluar bercuti

BERITAmediacorp: Setelah hampir setahun bekerja bertungkus lumus atau memerah otak di sekolah, percutian ke luar negara seolah-seolah satu kemestian bagi sebahagian orang.

Tidak kira jauh mahupun dekat, melancong dilihat sebagai cara untuk merehatkan diri daripada hiruk pikuk kehidupan seharian.

Meskipun demikian, kadang-kala tabiat buruk sebahagian orang boleh menimbulkan tekanan semasa bercuti.

Maka itu, laman Travel Smart menyenaraikan beberapa tabiat tersebut dan cara menanganinya, agar kenangan indah tidak bertukar pahit disebabkan tabiat yang sebenarnya boleh diubah:

1. PENGETAHUAN ASAS BAHASA ASING
Menguasai bahasa baru bukan tugas yang mudah. Ramai pekerja di kebanyakan destinasi pelancongan popular pula boleh berkomunikasi dalam bahasa global, seperti bahasa Inggeris, kerana biasa berinteraksi dengan pelancong dari merata dunia.

Namun menurut Smart Travel, tidak dapat dinafikan pengetahuan asas seperti tegur sapa atau ucap terima kasih dalam bahasa tempatan boleh membawa perbezaan ketara dalam pengalaman melancong.

Laman itu menyarankan penggunaan aplikasi alih bahasa yang mudah didapati untuk mempelajari bahasa baru. Atau setidak-tidaknya, catit perkataan-perkataan mudah dan lazim di dalam buku nota atau telefon bimbit untuk dibuat rujukan apabila di rantau orang nanti.

2. PERSIAPAN SAAT-SAAT AKHIR
Jika membuat tempahan penerbangan mahupun tempat penginapan pada saat-saat akhir, pilihan mungkin terhad.

Anda juga mungkin akan tertinggal barang-barang keperluan apabila mengemas bagasi pada saat-saat akhir.

Travel Smart menyarankan meletakkan peringatan awal 'tarikh akhir' di kalendar jadual peribadi anda untuk membuat persiapan yang diperlukan. Laman itu juga mengesyorkan anda mencuci baju beberapa hari sebelum keluar bercuti. Dengan cara itu, anda boleh langsung mengemaskan beg anda sambil anda melipat pakaian yang baru habis dicuci.

3. BARANG YANG DIBAWA
Jika anda mempunyai tabiat suka membawa barang berlebihan, anda pasti kerap menghadapi masalah mengemas semasa bercuti dan memenuhi had 'check in'.

Bawa bagasi yang lebih kecil (tapi yang bersesuaian!) dan ambil kira pakaian yang boleh diguna semula semasa bercuti nanti supaya anda tidak membawa pakaian berlebihan.

4. 'TANGKAI JERING'
Berjimat adalah satu tabiat yang baik, tetapi apabila terlalu berjimat, ia mungkin menghindari diri daripada benar-benar menikmati pengalaman di negara orang.

Rancang belanjawan bercuti dengan teliti dan peruntukkan jumlah tertentu untuk 'bebas' berbelanja sedikit. Ini agar anda tidak terkilan apabila melihat banyak perkara menyeronokkan di suatu tempat namun tidak dapat anda sertai kerana terlalu risau tentang kewangan.

Travel Smart mengingatkan agar anda juga peruntukkan wang kecemasan yang berasingan apabila melancong!

5. JADUAL TERLALU PADAT
Pasti banyak yang ingin dicuba apabila di luar negara, terutamanya jika melawat negara itu buat pertama kali.

Namun jika seseorang cuba mengatur terlalu banyak acara dalam jadual percutian mereka, mereka akan berasa penat dan tidak dapat menikmati sepenuhnya pengalaman itu.

Senaraikan semua tempat dan aktiviti yang boleh diterokai. Kemudian pilih beberapa sahaja tempat atau kegiatan yang paling menarik untuk dicuba dan dinikmati sepenuhnya.

Jangan pula percutian yang sepatutnya santai dan seronok akhirnya menjadi pengalaman yang memenatkan atau membebankan! 

- Agensi berita/TQ/tq

Top