Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 Soalan Bersama...Fatimah Mohsin

Dalam segmen 5 Soalan Bersama kali ini, wartawan Nurulkhasanah Agost, mengajak anda menyelongkar isi hati Fatimah Mohsin.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama...Fatimah Mohsin

Fatimah Mohsin. (Gambar: Fatimah Mohsin/Facebook)

BERITAMediacorp: Benarlah bagai dikata, hendak berjaya bukan mudah. Begitu juga bagi juruandam terkenal yang namanya tidak asing lagi dalam industri perkahwinan - Fatimah Mohsin.

Pertemuan BERITAMediacorp dengan usahawan mapan berusia 42 tahun itu baru-baru ini membuka mata kepada pengorbanan beliau demi mengejar aspirasi dan mengecap kejayaan. Tahukah anda satu ketika dahulu Fatimah Mohsin tidak berminat terhadap alat solek dan bidang andaman?

Apa pula yang membuatkan beliau begitu sebak sehingga mengalirkan airmata? Beliau turut mendedahkan tentang rancangan membuka kedai di Kuala Lumpur. Dalam segmen 5 Soalan Bersama kali ini, wartawan Nurulkhasanah Agost, mengajak anda menyelongkar isi hati Fatimah Mohsin.

Fatimah Mohsin. (Gambar: Fatimah Mohsin/Facebook)

(Gambar: Fatimah Mohsin/Facebook)

SOALAN 1

KHASANAH: Apakah cita-cita pertama anda sewaktu masih kecil? Adakah anda sudah mengetahui bahawa anda akan menjadi seorang juruandam dan usahawan?

FATIMAH MOHSIN: Bapa saya adalah Raja Lelong dan dari kecil lagi saya memang sudah selalu mengikuti beliau ke pasar malam atau ke kedainya di Geylang untuk membantu beliau. Jadi saya amat rapat dengan bapa. Setiap kali beliau nak pergi berniaga saya nak ikut kerana saya gemarkan suasananya.

Jadi dari kecil, cikgu kalau tanya nak jadi apa, orang (lain) cakap cikgu atau peguam. (Tetapi saya cakap) saya mahu menjadi seorang usahawan. Tapi saya tak tahu nak berniaga apa lah (pada ketika itu).

Tak pernah terlintas (nak menjadi juruandam) kerana adik-beradik saya enam lelaki. (Maka) saya agak kurang tahu tentang solekan. Saya tiada sesiapa pun nak berbual tentang solekan. (Malah) satu-satunya masa saya ikut ibu saya ke majlis perkahwinan, tiada apa yang menarik bagi saya.

Pengalaman saya pergi ke majlis perkahwinan pada waktu itu saya paling tak suka. Bila orang kata pengantin cantik, saya (tertanya-tanya) bahagian mana yang cantik. Perasaan seperti itulah, jadi saya tiada minat pada alat solek atau andaman. Cuma sejak kecil saya minat benda-benda kreatif. Potong sana, potong sini. Baju saya, dari kecil, seluarnya saya potong, kemeja-T pun saya potong. Saya hanya mahu mencuba dan meneroka dan saya sukakan kelainan.

Fatimah Mohsin. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SOALAN 2

KHASANAH: Jika anda bukan seorang juruandam atau usahawan, apa agaknya kerjaya anda sekarang? Mengapa?

FATIMAH MOHSIN: Saya rasa kalau saya bukan dalam bidang ini, saya akan menjadi seorang ‘display artis’ ataupun ‘visual merchandiser’ atau mungkin seorang pereka hiasan dalaman. Semasa usia saya menginjak remaja, mungkin sebab saya satu-satunya anak perempuan pada tempoh yang lama, saya ada bilik sendiri. Setiap hari raya saya akan pastikan warna bilik saya ditukar. Saya akan ubah segalanya.

Jadi saya tahu bahawa saya pasti akan berada dalam bidang kreatif. Saya tidak boleh duduk diam, ada masa lapang saja, mesti ada yang saya nak kemas.

Sekarang, walaupun tak jadi ('display artis’, ‘visual merchandiser’, pereka hiasan dalaman) saya sudahpun memiliki perniagaan rangkaian produk hiasan rumah (PropUpStore). Semuanya saya lakukan sendiri. Saya amat cerewet tentang kedai saya. Walaupun ia di bazar. Saya mahu ia kelihatan cantik dan elok.

SOALAN 3

KHASANAH: Apakah pengalaman paling menyentuh perasaan anda sepanjang kerjaya sebagai juruandam?

FATIMAH MOHSIN: Hanya dua hari sebelum majlis perkahwinan, mak pengantin perempuan meninggal dunia. Semasa saya menyiapkan beliau (pengantin) pada hari Sabtu dan Ahad, kami berdua menangis. Saya cuba untuk menenangkan pengantin tetapi saya juga tidak berdaya.

Beliau menempah pakej penuh dengan syarikat saya dan kami amat rapat dengan mak pengantin, sepanjang proses setahun mereka membuat tempahan. Saya amat rapat dengan mak pengantin. Akhirnya semua orang terjejas (sedih dengan pemergian mak pengantin).

Namun hajat mak pengantin memang nak ditunaikan, maka semuanya dijalankan mengikut apa yang diinginkan mak pengantin dan bapa pengantin juga bersetuju. Namun, ia adalah majlis perkahwinan yang amat meruntun hati. Tak dapat lupakanlah, sedih sangat.

Fatimah Mohsin. (Gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SOALAN 4

KHASANAH: Anda sudah boleh dikatakan berjaya. Apa lagi impian anda?

FATIMAH MOHSIN: Kalau sekarang anda tanya (saya), saya mahu meluangkan masa berharga dengan anak-anak dan keluarga. Itu saja. Selama lebih 20 tahun saya sudah bekerja keras. Jadi impian saya mungkin mahu berhijrah ke negara lain dan bekerja dari jauh kerana saya mempunyai sebuah pasukan yang amat bagus sekarang.

Saya mahukan sebuah kehidupan yang ringkas buat sementara ini, mungkin pastikan anak-anak saya memasuki universiti, memberi mereka dorongan. Anak yang sulung pada mulanya tidak berminat, mungkin kerana beliau melihat sendiri bagaimana (kesibukan) saya. Namun sekarang perlahan-lahan dia mahu menjadi seperti saya.

Impian saya adalah untuk meluangkan lebih banyak masa dengan mereka dan mendorong mereka mengejar cita-cita masing-masing. Mungkin - tak tahu berapa lama lagi - Fatimah Mohsin akan ‘hilang’ untuk melatih protegenya, iaitu anak-anak saya.

(Semasa menjawab soalan ini, Fatimah Mohsin kelihatan begitu sebak sehingga mengalirkan air mata).

Fatimah Mohsin, buat julung-julung kalinya akan mengadakan acara peragaan busana pengantin secara solo di Kuala Lumpur hari ini. (Gambar: Fatimah Mohsin The Wedding Gallery/ Facebook)

SOALAN 5

KHASANAH: Anda sudahpun berjaya ‘sampai’ ke London untuk memperagakan pakaian jenama Fatimah Mohsin, negara mana lagi yang mahu anda tembusi?

FATIMAH MOHSIN: Saya ada menerima undangan untuk ke New York pada bulan September atau Oktober nanti. (Lazimnya) jika anda sudah menembusi pasaran New York bermakna anda sudah berjaya. Namun proses ini mengambil masa yang lama. Dari segi pengenalan jenama (produk), ya kesedaran (tentang produk) memang ada.

Orang-orang di London ada yang membuat permintaan, ‘cepatlah lancarkan koleksi Hari Raya di sini, kita nak beli, nak tengok’. Namun semua itu tidak terjadi dalam sekelip mata. Masa berlalu begitu pantas dan saya juga tidak mempunyai pasukan yang begitu besar untuk boleh melakukannya.

Dengan pasukan yang kecil, kami masih memerlukan masa untuk melakukannya, kami masih belajar. Saya ingin dikenali sebagai pereka wanita Melayu/Muslim. Tumpuan utama saya sekarang adalah untuk menembusi pasaran Timur Tengah.

Pasukan saya terdiri daripada lapan orang, sebahagiannya menguruskan PropUpStore, sebahagian yang lain mengendalikan Fatimah Mohsin. Perlahan-lahan kami sedang besarkan pasukan kami dan kami juga sedang memberi tumpuan untuk mengembangkan perniagaan. Insya Allah, kami mahu menumpukan perhatian untuk meluaskan perniagaan ke Kuala Lumpur. Insya Allah pada tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan