Images
  • Woman leg
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Philippe Huguen) 

5 punca kaki anda rasa sebah atau semut-semut

NEW YORK: Ramai pasti pernah rasa sebah dan semut-semut di bahagian kaki. Fenomena ini mungkin kerap berlaku jika duduk pada posisi salah atau diri terlalu lama.

Namun kadangkala rasa sebah di kaki mungkin disebabkan isu kesihatan yang lebih serius.

Dr Anthony Geraci, pengarah Pusat Neuromuscular di Inistitut Kesihatan Sains-neuro di Manhasset, New York, berkongsi bersama lelaman Health.com: "Jika seseorang mengalami rasa sebah dan semut-semut lebih dari seminggu dan melibatkan lebih dari satu tubuh badan, ia mungkin membayangkan sesuatu (yang lebih serius)."

Ini antara perkara yang boleh mengakibatkan sebah dan semut-semut di kaki:

SARAF TERHIMPIT

Menurut lelaman Health.com, urat saraf boleh terhimpit oleh otot, tendon, tisu dan tulang yang berdekatan dan mengakibatkan pelbagai rasa.

Ini antara sebab paling lazim bagi rasa sebah di kaki. Ia boleh disebabkan pelbagai perkara, termasuk kecederaan.

Selain rasa sebah atau semut-semut, urat saraf yang terhimpit juga boleh mengakibatkan rasa sakit.

Namun, kondisi ini lazimnya boleh dirawat dengan agak mudah, seperti membetulkan postur badan dan menguatkan otot-otot berkenaan.

Namun bagi sesetengah kes, menurut Dr. Geraci, ubat pelali atau pembedahan juga diperlukan.

HERNIA CAKERA TULANG BELAKANG

Tulang belakang manusia disambung dengan cakera pepejal. Apabila cakera ini teranjak, ia boleh mengakibatkan hernia pada tulang belakang, 'slip disk' atau cakera teranjak.

Keadaan ini boleh disebabkan oleh badan yang bongkok terlalu banyak atau mengangkat berat dengan posisi yang salah.


Akibatnya, urat saraf akan terhimpit dan menyebabkan rasa sebah dan semut-semut.

Seperti kondisi pertama, cakera yang teranjak ini juga boleh dirawat dengan senaman, ubat tahan sakit atau pembedahan pada sesetengah kes.

KENCING MANIS

Apabila tahap gula dalam darah tidak terkawal buat jangka waktu panjang di kalangan penghidap penyakit kencing manis, gula boleh terkumpul dan merosakkan saraf yang menyampaikan mesej dari otak dan tulang belakang ke bahagian badan yang lain, termasuk kaki.

Seseorang boleh mengelakkan kerosakan saraf ini dengan menjaga tahap kencing manis, dengan cara pemakanan, ubat-ubatan dan senaman.

Apabila saraf sudah rosak, ia tidak boleh dirawat; hanya simptomnya yang boleh ditangani.

ANGIN AHMAR

Tambah lelaman Health.com, jika anda berusia muda, rasa sebah di kaki jarang disebabkan angin ahmar, kerana ia lebih kerap berlaku pada warga emas berusia lebih 60 tahun. Namun berwaspadalah, kerana malang tidak berbau.

(Gambar-gambar hiasan: Getty Images)

Tidak kira umur, inilah antara simptom angin ahmar: percakapan kurang jelas, rasa sebah dan kelemahan atau tidak boleh bergerak pada sebahagian badan. Simptom-simptomnya akan datang secara tiba-tiba dan lebih kerap berlaku pada individu berisiko tinggi, seperti yang menghidapi penyakit darah tinggi, perokok dan pesakit kencing manis.

Ubat boleh mengelakkan kerosakan yang kekal, tapi perlu diambil secepat mungkin. Penting untuk mendapat bantuan serta-merta apabila terdapat simptom angin ahmar.

PENYAKIT ATERI PERIFERAL

Penyakit arteri periferal (PAD) berlaku apabila arteri tersekat dan menghalang aliran darah ke tangan dan kaki. Selain mengakibatkan rasa sebah dan semut-semut, PAD juga mengakibatkan rasa sakit ketika berjalan.

PAD selalunya menandakan terdapat pengumpulan lemak dalam arteri, yang boleh mengakibatkan serangan jantung atau angin ahmar pada masa depan.

Rawatannya? Berhenti merokok, makan makanan sihat dan bersenam, serta makan ubat yang sewajarnya.
 

- Agensi berita/TQ/tq

Top