Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 Prata Unik Singapura ini yang patut anda cuba

Roti prata tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Singapura mahupun Malaysia. Dua roti prata kosong yang rangup dan panas sudah cukup untuk mengisi perut yang lapar.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Prata Unik Singapura ini yang patut anda cuba

Prata Alfredo Restoran Springleaf Prata Place. (Gambar: Springleaf Prata Place/ Facebook)

BERITAMediacorp: Roti prata tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Singapura mahupun Malaysia. Dua roti prata kosong yang rangup dan panas sudah cukup untuk mengisi perut yang lapar.

Apalagi kalau ia dicecah ke dalam kuah kari atau dal, serta dilengkapi dengan teh tarik atau kopi panas. Kata orang, mungkin mak mentua lalu belakang pun tak perasan!

Meskipun roti prata biasa terus popular dan mendapat tempat dalam hati masyarakat, sesetengah pembuat roti prata masih giat mencari cara untuk menghasilkan prata-prata yang unik agar terus dapat kekal berdaya saing dan menjadi bahan perbualan, sama seperti dalam industri-industri lain.

Kalau anda seorang foodie atau ‘tukang makan’ dan selalu membawa ‘santapan’ anda ke laman media sosial, mungkin anda mahu mencuba lima roti prata unik yang Instagrammable ini. Roti-roti prata unik yang ingin kami kongsikan ini bukan setakat cantik dipandang mata, rasanya juga sedap dan berbaloi untuk dicuba.

Kalau anda seorang pelancong dari luar negara, mungkin ini juga boleh dijadikan sebagai antara senarai atur cara kunjungan anda!

Ini dia lima roti prata unik yang BERITAMediacorp sarankan untuk anda cuba:

1. PRATA TISU YANG TINGGINYA LEBIH SEPARUH BADAN

(Gambar: @littlefoodsteps/ Instagram)

Prata Tisu memang tidak asing lagi. Tetapi pernahkah anda melihat roti prata yang tingginya melebihi anda ketika sedang duduk?

Roti prata yang sangat tipis ini rangup sekali dan anda boleh nikmatinya dengan sirap pilihan anda. Ramai juga tidak melepaskan peluang untuk ‘bergambar’ dengan roti tisu ini.

Memandangkan saiznya agak besar, anda boleh berkongsi prata ini dengan 2-3 orang lain. Mungkin ia akan lebih sedap jika dijadikan sebagai cemilan sambil anda berborak dengan keluarga atau rakan-rakan lain.

Harga: $5.70
Restoran: R K Eating House, Kensington Park Rd

2. PRATA MANGO BOOM DENGAN AISKRIM VANILLA

Bayangkan rasa roti panas, lembut, rasa manis mangga bercampur dengan rasa sejuk. Susah untuk menggambarkan rasa prata ini.

Tapi yang pasti, piring anda akan licin. Usah hanya fikirkan kek coklat ketika ingin menjamu pencuci mulut. Ini mungkin akan menjadi pencuci mulut kegemaran anda.

Apatah lagi dengan biji-biji kecil berisi air yang pecah dalam mulut.

Harga: $6.80
Restoran: Prata Planet (Clementi), #01-37, 320 Clementi Avenue 4

3. PRATA UMAMI 50

(Gambar: Springleaf Prata Place/ Facebook)

Istilah ‘Umami’ sebenarnya berasal daripada bahasa Jepun yang membawa maksud ‘rasa manis yang menyenangkan’. Sememangnya namanya tepat sekali dengan rasa prata ini.

Isinya ala-ala Jepun di mana ada daging lunceon dan flos ayam. Rasa manisnya pula datang dari mayones dengan keju. Semua bahan ini ‘dibungkus’ dengan tepung prata yang dicanai halus.

Menurut pengurus restoran, prata ini dihasilkan sempena SG50. Ini menjelaskan mengapa ada nombor ‘50’ pada prata ini. Sebenarnya, selain Umami 50, ada lagi prata-prata unik lain yang dihasilkan restoran ini. Ia menjadi satu amalan baginya untuk menghasilkan prata yang lain pada setiap bulan Ogos.

Harga: $8.90
Restoran: Springleaf Prata (The Rail Mall), 396 Upper Bukit Timah Road

4. PRATA ALFREDO

(Gambar: Springleaf Prata Place/ Facebook)

Alfredo? Apa itu? Itulah reaksi kami apabila pertama kali mendengar nama prata ini. Ternyata, ia merujuk kepada sos Alfredo, sejenis sos Itali yang biasanya digunakan dalam makanan barat seperti spageti.

Kedengaran mustahil untuk makan roti prata dengan sos spageti tetapi gabungan ini berjaya menambat hati kami. Antara bahan utama di antara lapisan tepung prata ini termasuk ayam rosemary, cendawan, sos alfredo.

Meskipun ada elemen makanan barat, restoran ini memastikan rempah ratus India tetap digunakan bagi mengekalkan unsur tradisional prata mereka. Jika anda makan prata ini dengan kari yang disediakan, rasanya sama sekali terasa unik. ‘Penampilannya’ juga sama seperti murtabak.

Harga: $9.90
Restoran: Springleaf Prata (The Rail Mall), 396 Upper Bukit Timah Road

5. PRATA KHOTU

Ini bukan kway teow goreng! Inilah prata khotu di mana prata yang biasa anda makan disiat-siat dan dicincang. Prata itu kemudian digoreng dengan rempah kari hingga kering lalu dicampur dengan daging atau ayam dan daun kari.

Berbanding dengan prata biasa, prata ini lebih berempah walaupun ia digoreng sehingga kering. Prata ini juga selalunya dihidangkan di piring seperti hidangan mi yang lain.

Jadi, kalau anda ingin mencubanya, satu hidangan sudah mencukupi.

Harga: $5.00
Restoran: Indian Muslim Foodfare, NTUC Foodfare, 476 Upper Serangoon View

Anda tahu tentang prata-prata unik yang lain? Ayuh, kongsi dengan kami. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan