Images
  • robotic engineer
    Seorang jurutera robotik sedang bertugas. (Gambar: Torsten Blackwood/AFP)

5 kerjaya dalam bidang digital yang boleh anda ceburi

KUALA LUMPUR: Sebelum ini, kerjaya sebagai doktor, jurutera dan peguam sering menjadi impian para pelajar sejak di bangku sekolah lagi.

Namun, pembangunan kebanyakan negara kini tertumpu kepada kemajuan transformasi digital. Ini sekali gus membuka peluang kerjaya yang lebih luas daripada sedekad lalu.

Tahukah anda, kerjaya dalam bidang digital juga menawarkan gaji tinggi? Lebih penting lagi, ia juga sebenarnya menyeronokkan.

Sempena satu pesta kerjaya #mydigitalmaker yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Astro Awani menyenaraikan beberapa kerjaya 'baru' dan mungkin tidak pernah terlintas dalam fikiran anda sebagai kerjaya untuk 'buat duit'.

1. 'INFLUENCER' MEDIA SOSIAL

Jika anda mempunyai bakat untuk mempengaruhi masyarakat dalam aspek gaya hidup, anda mungkin boleh mempertimbangkan kerjaya ini.


Malah di Malaysia, pekerjaan ini menjadi dambaan setiap remaja dan ia terbukti mampu menjana pendapatan berlipat ganda daripada wang yang dilaburkan.

Lazimnya, seorang influencer akan memasarkan produk-produk yang sudah dicuba dengan memberi pandangan mereka.

Anda hanya memerlukan kamera atau telefon bijak, buka akaun Instagram, Twitter atau Facebook dan pastikan video mahupun gambar-gambar yang dimuat naik mampu menarik perhatian orang ramai.

2. PEMAIN PERMAINAN ONLINE PROFESIONAL

Siapa sangka menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer untuk menguji program-program online mampu membantu anda menjana pendapatan yang tinggi.


Malah, Astro Awani melaporkan bahawa seorang 'gamer' profesional boleh meraih sehingga berjuta-juta ringgit. Lebih memberangsangkan lagi, kerajaan Malaysia turut merancang untuk memajukan hab e-sukan dalam waktu terdekat.

Jadi, anda boleh pastikan masa depan cerah jika anda berjaya dalam bidang ini.

3. PEREKA APLIKASI

Terdapat lebih 3.8 juta aplikasi di Google Play dan lebih 2 juta aplikasi di Apple App Store. Sekitar 60,000 aplikasi baru ditampilkan setiap bulan.


Jika anda ingin tahu... sebenarnya aplikasi yang anda sering lihat di dua platform itu boleh dibangunkan oleh sesiapa sahaja, tidak kira pangkat dan umur.

Anda juga boleh memanfaatkan bahan-bahan yang tersedia secara online seperti Apple's Developer Programme (Program Pemaju Apple) untuk mula menghasilkan aplikasi anda sendiri.

4. JURUTERA ROBOTIK 

Anda pasti kenal Tony Stark atau Iron Man. Apa yang dilakukannya sebenarnya adalah tanggungjawab seorang jurutera robotik.


(Gambar hiasan: John Macdougall/AFP)

Mereka mencipta robot atau sistem robotik yang boleh melakukan perkara yang manusia sukar atau tidak boleh lakukan bagi memudahkan tugas harian, menjadikan ia lebih cekap dan selamat.

5. JURUTERBANG DRON

Kalau anda gagal ujian penglihatan untuk menjadi juruterbang, kerjaya ini mungkin boleh menjadi pilihan kedua anda.


Setiap hari pelbagai industri mula menggunakan khidmat dron untuk menjalankan operasi seperti pemantauan dan ada juga untuk produksi filem.

Sebagai juruterbang drone, anda hanya perlu mengawal dan memastikan operasi dron berjalan lancar.

Menarik bukan? Agak-agaknya, kerjaya yang mana satu antara di atas yang menjadi pilihan anda? 

- Agensi berita/AQ/aq

Top