Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 bahan semula jadi untuk bersihkan rumah tanpa kesan toksik

Kebanyakan produk pembersih rumah yang sedia ada di pasaran mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan mudarat kepada kesihatan. Ini lima bahan alternatif yang mudah didapati untuk membersihkan rumah tanpa meninggalkan sebarang kesan toksik.

Anggaran Waktu Membaca:
5 bahan semula jadi untuk bersihkan rumah tanpa kesan toksik

Gambar fail garam (Gambar: Lexlex/Wikimedia commons)

Diterbitkan : 23 Oct 2018 10:23PM Dikemas Kini : 23 Oct 2018 10:33PM

AGENSI BERITA: Kebanyakan produk pembersih rumah yang sedia ada di pasaran mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan kulit gatal-gatal, mengelupas dan kemerahan pada mata.

Malah ada juga yang boleh menyebabkan semput, barah dan bayi dilahirkan cacat. Jika tidak berhati-hati, ia boleh secara tidak sengaja diminum oleh anak-anak kecil atau haiwan peliharaan.

Laman Alternet.org menyarankan lima bahan alternatif yang mudah didapati untuk membersihkan rumah tanpa meninggalkan sebarang kesan toksik:

1. Lemon

Sebagai pengganti kepada bahan peluntur anda boleh menggunakan perahan lemon bersama sedikit garam. Selain membasmi minyak dan menanggalkan kotoran, ia juga meninggalkan bau yang segar dan juga boleh mengilatkan permukaan keras.

Campurkan jus lemon dengan air atau bahan lain seperti garam mengikut kegunaan berbeza.

2. Minyak zaitun

Selain satu bahan memasak yang sihat, minyak zaitun juga boleh digunakan untuk membersih.

Campurkan dengan garam untuk menyental kotoran daripada periuk belanga, atau sapukan pada barang yang diperbuat daripada kulit untuk hilangkan kesan calar.

Malah, ia boleh digunakan sebagai alat gelincir bagi alat pengisar atau mana-mana alat masak yang mempunyai bahagian bergerak!

3. Cuka

Kandungan asid semula jadi dalam cuka menjadikan bahan semulajadi ini bertindak sebagai agen pencuci antibakteria. Selain menghilangkan minyak, semburkan cairan tersebut pada permukaan yang kotor seperti tandas setiap minggu. Kesan hitam yang selama ini susah ditanggalkan akan mudah hilang.

Ingin hilangkan bau kurang enak dalam bilik? Biarkan saja semangkuk cuka dalam bilik semalaman!

4. Soda penaik (baking soda)

Satu lagi bahan pembersih serba guna popular untuk digunakan adalah soda penaik.

Ia boleh digunakan untuk membersihkan pelbagai permukaan seperti atas dapur, sink malah lantai tandas.

Masukkan soda penaik dalam botol spray bersama sedikit cuka. Apabila soda penaik sudah larut, masukkan setitik sabun cecair.

Alternet.org turut menyarankan menabur soda penaik ke atas permaidani dan biarkan selama 15 minit sebelum menyedutnya dengan alat penyedut debu, untuk menghilangkan bau. Nak guna untuk putihkan baju pun boleh.

5. Garam

Terlalu banyak garam dalam diet mungkin menaikkan tekanan darah. Maka itu, mungkin anda patut pertimbangkan gunakan kurang garam dalam masakan dan sebaliknya menggunakannya untuk membersihkan rumah!

Campuran garam dan jus lemon dapat menghilangkan kesan karat. Mencuci kain dengan air yang dicampur garam juga dapat mencerahkan warna fabrik.

Larutkan garam dalam cuka putih dan gunakannya untuk menghilangkan bau dalam peti ais.

Natijahnya, terdapat banyak bahan yang mudah didapati dan agak murah yang boleh digunakan sebagai bahan pembersih alternatif. Anda mempunyai tips lain yang ingin dikongsi?  

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan