Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 acara yang patut anda kunjungi sempena cuti panjang minggu ini

Setiap kali ada cuti panjang, pasti ramai yang sudahpun membuat perancangan awal untuk melancong ke luar negara. Tidak kira bersama keluarga mahupun rakan-rakan, setiap peluang untuk merehatkan minda tentu sekali dimanfaatkan sepenuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Setiap kali ada cuti panjang, pasti ramai yang sudahpun membuat perancangan awal untuk melancong ke luar negara. Tidak kira bersama keluarga mahupun rakan-rakan, setiap peluang untuk merehatkan minda tentu sekali dimanfaatkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, ada juga di kalangan kita yang lebih selesa untuk melakukan "staycation" di hotel-hotel Singapura, bertemu rakan lama di kafe-kafe tempatan ataupun berehat di rumah setelah seminggu penat bekerja.

Maka, sekiranya anda tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melancong, usah risau! Pada hujung minggu ini, juga terdapat banyak acara yang menyeronokkan di Singapura yang dapat dinikmati pelbagai golongan usia.

BERITAMediacorp memberi saranan bagi 5 acara yang dapat anda kunjungi sempena cuti panjang minggu ini:

BAGI YANG 'KAKI' FESYEN

1. SINGAPORE MODEST FASHION WEEKEND

(Gambar: RoseValley/ Instagram)

Dianjurkan buat julung-julung kalinya, Singapore Modest Fashion Weekend (SMFW) adalah salah satu acara terbesar yang dialu-alukan tahun ini.

SMFW bukan sahaja menggabungkan lebih 50 pereka gaya dari Singapura, Malaysia dan Indonesia di atas satu pentas peragaan, tetapi ia turut mengumpulkan personaliti-personaliti berpengaruh fesyen di media sosial di dalam dan luar negara sempena acara gah anjuran bersama RoseValley dan Mediacorp ini.

Malah, orang ramai juga boleh berkunjung ke gerai-gerai berjenama di Shopping Piazza dan membeli-belah bagi koleksi hari raya terbaru buat seisi keluarga!

Tarikh: 14 hingga 16 April
Tempat: Dewan A, Pusat Konvensyen dan Expo Sands, Marina Bay Sands
Masa: 10.00 pagi hingga 10.00 malam
Tiket masuk: Percuma (Shopping Piazza), $6 (tiket bagi pembelian awal acara peragaan), $18 (tiket acara peragaan di pintu masuk)
Maklumat lanjut: www.smfw.sg, Facebook SMFW atau Instagram SMFW 

BAGI PENGGEMAR PASAR LAMBAK

2. ARTBOX SINGAPORE

(Gambar: Artbox/ Facebook)

Pasar kreatif 'pop-up' terbesar Thailand 'mendarat' di Singapura! Malah, ini juga adalah kali pertama di mana acara seumpama ini 'merantau' keluar dari Thailand bagi Artbox Asia.

Dengan lebih 300 gerai fesyen dan makanan, anda pasti rambang mata dengan pilihan beraneka yang disediakan. Tidak terhad pada rekaan fesyen dari Thailand, Artbox Singapore juga menampilkan produk-produk gaya hidup dan makanan jalanan yang enak!

Yang pasti, para pengunjung tentu akan menikmati pengalaman di acara ini. Jangan lupa bawa duit lebih!

Tarikh: 14 hingga 16 April & 21 hingga 23 April
Tempat: Ruang Acara Bayfront (Bersebelahan MBS The Shoppes)
Masa: 3.00 petang hingga 11.00 malam
Tiket masuk: Percuma
Maklumat lanjut: http://artbox.sg/, Instagram Artbox Singapore 

BAGI PENCINTA HAIWAN

3. EKSPO HAIWAN 2017

(Gambar: Pet Expo/ Facebook)

Ekspo Haiwan kembali buat tahun ke-4! Bagi edisi ini, Ekspo Haiwan 2017 akan menampilkan perniagaan serta kegiatan pendidikan yang menarik dengan tumpuan khas pada haiwan dan kesejahteraan mereka.

Para pengunjung juga berpeluang untuk menghadiri ceramah informatif dan menyertai pertandingan yang menyeronokkan bagi menyatukan masyarakat haiwan serta pemiliknya.

Acara haiwan terbesar di Singapura ini turut memberikan pemeriksaan kesihatan percuma bagi haiwan peliharaan anda!

Tarikh: 14 hingga 16 April
Tempat: Dewan 7 Singapore Expo
Masa: 11.00 pagi hingga 8.00 malam
Tiket masuk: $5 (sehari), $12 (pas 3 hari), Percuma (bagi kanak-kanak bawah 12 tahun)
Maklumat lanjut: https://petexposg.com/, Facebook Pet Expo 2017

BAGI PEMINAT SUKAN RAGBI

4. RAGBI 7 SEPASUKAN HSBC SINGAPURA

Kapten-kapten pasukan bagi Ragbi 7 Singapura 2017. (Gambar: Singapore Rugby 7s/ Facebook)

(Gambar: Singapore Rugby 7s/ Facebook)

Singapura menyambut kedatangan para pemain bagi Siri Ragbi Sedunia 7 Sepasukan HSBC di Stadium Negara buat kali kedua! Singapura turut menyertai Vancouver, Sydney, Cape Town dan Paris sebagai tuan rumah baru dalam litar 10 perlawanan bagi musim 2015/16.

7 Sepasukan Singapura ini juga menampilkan 16 pasukan ragbi 7 Sepasukan Lelaki terbaik di dunia pada hujung minggu yang penuh aksi ini.

Bersiap sedialah untuk menyaksikan perlawanan menakjubkan antara pasukan seperti dari Fiji, New Zealand, England, Africa Selatan, Amerika Syarikat, Samoa and Jepun yang akan menggegarkan stadium dengan suasana yang meriah, yang disaksikan penggemar ragbi di seluruh dunia.

Tarikh: 15 hingga 16 April
Tempat: Stadium Negara
Masa: Butiran perlawanan boleh didapatkan di sini
Tiket masuk: Butiran tiket boleh didapatkan di sini 
Maklumat lanjut: https://www.singapore7s.sg/; Facebook; Twitter; Instagram 

BAGI YANG INGIN SERTAI ACARA MASJID BARU

5. MAJLIS PERWAKAFAN DAN PEMBUKAAN MASJID YUSOF ISHAK

(Gambar: Masjid Yusof Ishak/ Facebook)

Masjid Yusof Ishak mula beroperasi dari 11.30 pagi hari ini (14 Apr). Yang menariknya, masjid tersebut juga akan memaparkan sifat serta keperibadian presiden pertama Singapura itu.

Malah, sempena acara perwakafan masjid tersebut, sebuah program tiga hari turut dilakarkan bagi para muslimin dan muslimah. Ini termasuk ceramah-ceramah oleh Mufti Negara dan para asatizah, serta beberapa kegiatan interaktif yang lain.

Para pengunjung bagi acara majlis pembukaan sepanjang tiga hari itu pastinya bukan sahaja dapat menikmati hiasan dalam masjid yang serba baru itu, malah mereka juga boleh mendalami ilmu agama sepanjang hujung minggu ini.

Tarikh: 14 hingga 16 April
Tempat: 10 Woodlands Avenue 17, Masjid Yusof Ishak
Masa: Butiran boleh didapatkan di sini 
Tiket masuk: Percuma 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan