Images
  • mokhtiaruddin
    Keluarga Cik Nurfarhanah beraya pada tahun lalu tanpa ibu bapa kerana tunaikan ibadah umrah. (Gambar-gambar: Nurfarhanah Mokhtiaruddin)

26 sekeluarga ini berkumpul sebumbung siapkan Lebaran; rumah macam "kilang" ketupat!

BERITAMediacorp: Sehari dua sebelum 1 Syawal lagi, suasana sama meriah seperti Hari Raya sudahpun ketara dirasakan dalam keluarga besar Cik Nurfarhanah Mokhtiaruddin. Manakan tidak, semua 26 anggota keluarga besarnya sudahpun berkumpul untuk membuat persiapan menyambut Lebaran.

Yang satu tukang anyam ketupat, seorang lagi ditugaskan untuk ‘ketatkan’ kelongsong ketupat. Ada juga tukang masukkan beras. Ini belum termasuk yang tolong menggoreng serunding, mengacau lauk yang dimasak dan sebagainya. Semua ini berlaku dalam sebuah rumah! Macam kilang!

Begitulah gambarannya dan ‘sibuknya’ keadaan pra-Hari Raya di rumah keluarga besar Cik Nurfarhanah itu. Namun, kesibukan itulah yang ditunggu-tunggu oleh setiap anggotanya setiap kali menjelang Aidilfitri.

Semua itu adalah lambang keutuhan keluarga, yang boleh membuat banyak keluarga lain cemburu dengan semangat kebersamaannya yang sangat mantap.


Keluarga Cik Nurfarhanah beraya beberapa tahun lalu. 

Cik Nurfarhanah adalah anak kedua daripada lapan adik beradik - enam perempuan dan dua lelaki. Empat daripada mereka sudahpun berumah tangga dan mempunyai anak sendiri. Kini, ibu bapanya - Cik Maimunah Supaat, 59 tahun dan Encik Mokhtiaruddin, 64 tahun - mempunyai seramai 12 cucu.


TRADISI KELUARGA BERBUKA PUASA DENGAN KETUPAT

Semasa dihubungi BERITAMediacorp semalam (13 Jun), hampir semua adik-beradik perempuan Cik Nurfarhanah sudahpun berada di rumah ibu bapa mereka dan mula menganyam ketupat. Cik Nurfarhanah berkata setiap tahun mereka menyiapkan sekitar 200 biji ketupat untuk dimakan bersama-sama.


“Bapa saya (biasanya) beli empat ikat (janur). Kami akan pilih yang lebar dan panjang dan kita cuba untuk buat sekitar 200 biji ketupat. Cukuplah untuk dimakan dua tiga hari. Kami juga ada memberi ketupat kepada saudara-mara yang rapat,” kata Cik Nurfarhanah, 35 tahun.

Bagi keluarga Cik Nurfarhanah, salah satu perkara yang paling dinanti-nantikan menjelang Hari Raya setiap tahun adalah tradisi berbuka puasa dengan ketupat dan lauk pauk yang sudah dimasak bersama-sama, pada malam Hari Raya itu sendiri.


Antara ketupat yang disiapkan pada tahun ini.

“Selalunya kami akan berkumpul pada malam Hari Raya untuk berbuka ketupat. Kita bukan pagi Hari Raya baru makan ketupat. (Sebaliknya) malam itu kita dah buka ketupat. Jadi itu sesuatu yang kami selalu nanti-nantikan,” ujar Cik Nurfarhanah.

SOLAT MAGHRIB AWAL SYAWAL BERJEMAAH, BERTAKBIR BERAMAI-RAMAI

BERITAMediacorp diberitahu itu adalah tradisi keluarga yang sudah diterapkan oleh kedua ibu bapanya sejak mereka kecil lagi. Malah, tradisi ini bukan setakat pada Hari Raya Aidilfitri, ia juga diamalkan pada Hari Raya Aidiladha juga.

Suasana bertambah syahdu apabila rumah ibu bapanya di Woodlands itu bergema dengan takbir Hari Raya yang dialunkan beramai-ramai usai solat Maghrib berjemaah.

“Sayu pun ada sebab Ramadan sudah berlalu. Sewaktu kami takbir dalam masa yang sama ada antara kami juga yang bermuhasabah diri. Setiap tahun selalunya ada anggota keluarga yang baru. Seperti tahun ini ada bayi baru, tahun lalu pun ada yang baru. Sentiasa ada sesuatu yang baru, sesuatu untuk kami muhasabah pada malam Raya apabila kami berkumpul,” kata Cik Nurfarhanah.


Beliau menambah kemeriahan keluarganya menyambut Hari Raya boleh disifatkan sebagai kemeriahan “luar biasa”. Lebih-lebih lagi dengan adanya seramai 12 cucu dalam lingkungan usia antara lapan tahun dengan semuda dua bulan, semakin riuh-rendahlah rumah keluarga Cik Nurfarhanah.


Cik Nurfarhanah (diri, paling kiri) bersama adik-beradik dan ibu bapanya beberapa tahun yang lalu.

“Sangat riuh-rendah. Bukan di ruang tamu saja, di dapur, di bilik. Semua biliklah kecoh. Seisi rumah dari luar ke dalam riuh-rendah,” kata beliau tentang kemeriahan di rumah ‘jumbo’ milik ibu bapanya.

Semasa membuat persiapan pada malam Hari Raya pula, rumah tujuh bilik itulah juga ibarat 'kilang' juadah Lebaran. Menurut Cik Nurfarhanah, dengan adanya ramai adik beradik, dapatlah mereka membahagikan tugasan.


"Setiap orang ada tugas masing-masing. Saya tukang isi beras, adik saya ada yang ditugaskan untuk ketatkan ketupat sahaja. Ia mengambil masa juga. bukan senang nak ketatkan ketupat," seloroh Cik Nurfarhanah sambil tertawa.

"(Semua perkara) harus bertahap-tahap. Misalnya sebelah pagi, harus siapkan rempah-rempah. Maka hanya mengisar, mengisar dan mengisar. Apabila sudah habis, kami tumis, tumis, tumis pula," katanya dengan penuh ceria kepada BERITAMediacorp.


Seperti keluarga-keluarga lain, sudah pasti keluarga beliau juga tidak terkecuali daripada mempunyai lauk-pauk wajib Hari Raya. Maka, hidangan yang tidak akan terlepas dihidangkan pada setiap Hari Raya di rumah ibu bapa Cik Nurfarhanah adalah Ayam Korma.

"Wajib lauk Ayam Korma. (Di sini) kami ada budak-budak kecil, jadi kami tak makan pedas-pedas. Ayam Korma itu wajib!

"Serunding juga mesti. Sambal tumis udang dan sambal goreng pengantin juga," tambah beliau.


Yang pasti, Cik Nurfarhanah dan adik beradiknya amat bersyukur dan menghargai keluarga besar mereka.

“Bersyukurlah dapat berkumpul bersama keluarga pada Hari Raya dan tidak semua orang dapat menyambut Hari Raya dan tidak semua orang dapat menyambut Hari Raya dalam keluarga yang besar,” ujar beliau.

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top