Images
  • exercise
    Sekumpulan wanita sedang bersenam di Bridgetown, Barbados. (Gambar fail: Reuters)

25% penduduk dunia berisiko alami masalah kesihatan jika kurang bersenam

LONDON: Para pakar memberi amaran bahawa hanya sedikit kemajuan dicapai sejauh ini dalam usaha mengurangkan paras tidak cergas.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih suku penduduk dunia - iaitu 1.4 bilion penduduk tidak melakukan senaman fizikal yang mencukupi dan hampir tiada peningkatan pada perangkaan itu sejak 2001.

Tabiat kurang melakukan kegiatan fizikal meningkatkan risiko berlakunya pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kencing manis jenis dua dan beberapa jenis barah.

Negara-negara berpendapatan tinggi, termasuk Britain, adalah antara negara-negara yang paling kurang aktif, lapor agensi berita BBC.

Wanita dari merata dunia, kecuali dua rantau di Asia, juga didapati kurang bersenam.

KEPRIHATINAN UTAMA

Para penyelidik WHO meneliti data mengenai kegiatan daripada tinjauan yang dijalankan di 168 negara, termasuk 1.9 juta orang sebagai sebahagian daripada kajiannya bagi The Lancet Global Health.

Mereka mendapati bahawa bagi negara-negara berpendapatan tinggi, termasuk Britain dan Amerika Syarikat, jumlah penduduk yang kurang aktif meningkat dari 32 peratus pada 2001 kepada 37 peratus pada 2016, manakala jumlah penduduk yang kurang aktif dari negara-negara berpendapatan rendah kekal stabil pada 16 peratus.

Mereka yang diklasifikasikan sebagai kurang aktif melakukan senaman moderat selama kurang 150 minit - atau senaman yang benar-benar cergas selama 75 minit - setiap minggu.

Menurut laporan BBC, golongan wanita dari seluruh dunia, kecuali Asia Timur dan Asia Tenggara, didapati kurang aktif berbanding golongan lelaki.

Para penyelidik mengatakan ini mungkin disebabkan oleh gabungan faktor termasuk tanggungjawab tambahan bagi menjaga anak-anak dan amalan budaya yang membuatkannya sukar untuk mereka bersenam.

Para pakar berkata, peralihan kepada pekerjaan dalam pejabat dan hobi serta penggunaan pengangkutan bermotor yang semakin meningkat, mungkin menyebabkan para penduduk dari negara-negara lebih mewah kurang akitf.

Para penduduk dari negara-negara yang berpendapatan rendah pula didapati lebih aktif dalam pekerjaan mereka serta sering berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam.

BBC menukil ketua penyelidik kajian WHO, Dr Regina Guthold, sebagai berkata bahawa: "Tidak seperti risiko kesihatan sejagat utama, tahap kegiatan fizikal yang kurang mencukupi secara purata tidak merosot di peringkat seluruh dunia dan lebih suku daripada semua golongan dewasa belum mencapai tahap kegiatan fizikal yang disarankan bagi memelihara kesihatan yang baik.

"Rantau-rantau dengan tahap kegiatan fizikal yang tidak mencukupi adalah keprihatinan utama bagi kesihatan awam serta pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit." 

- Agensi berita/AI/ai

Top