Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

22 keluarga miskin terima perabot, alat rumah percuma sempena Hari Raya dari COURTS

Sedang anda sibuk berbelanja untuk Hari Raya yang bakal menjelang tidak berapa hari lagi, mari berhenti sejenak dan kenangkan dua keluarga ini.

Anggaran Waktu Membaca:
22 keluarga miskin terima perabot, alat rumah percuma sempena Hari Raya dari COURTS

Pengarah Pemasaran COURTS, Joanna Ho, dan Chan Hui Yuh, Penasihat kepada GRO GRC Aljunied, dengan keluarga Cik Noradlyn Yunos. (Gambar: COURTS Singapore)

SINGAPURA: Sedang anda sibuk berbelanja untuk Hari Raya yang bakal menjelang tidak berapa hari lagi, mari berhenti sejenak dan kenangkan dua keluarga ini.

Bagi keluarga pertama ini, gajinya hanya $1,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan enam beranak. Bagi satu lagi keluarga, ia hanya bergantung kepada gaji $1,600 sebulan untuk membiayai makan pakai seramai lapan beranak. Setelah membayar pelbagai bil, berapalah baki yang tinggal.

Jadi, sedang ramai keluarga lain sibuk membuat persiapan Lebaran yang meriah, dua keluarga ini terus 'berjuang' untuk cuba melengkapkan keperluan seharian anak-anak mereka.

Keperluan anak-anak tetap menjadi 'keutamaan kami', rintih mereka, meskipun dalam keadaan rumah yang tidak dapat diurus dengan sempurna. Hakikatnya, peralatan rumah dan perkakas dapur mereka sudah tidak lagi berfungsi dengan betul untuk kehidupan seharian, apatah lagi untuk Aidilfitri.

CIK SITI "JIMAT SEJIMAT-JIMATNYA, SUKAT SESUKAT-SUKATNYA"

Dengan bil api air yang sudahpun tertunggak sehingga sekitar $800, masalah kewangan memberi cabaran tambahan kepada Cik Siti Norbayah Ahmad Sanaip sekeluarga, yang tinggal di flat tiga bilik di Serangoon Avenue 4.

Suri rumah itu menjaga empat anaknya sedang suaminya keluar mencari nafkah sebagai seorang pemandu bas.

"Dengan gaji $1,000, apa yang dapat anda belanja, kan? Separuh daripada gaji suami saya digunakan untuk membayar bil.

(Gambar: Ira Musfirah)

"Ada orang, bila suami bagi gaji, belanja ini, belanja itu, beli baju baru semua, saya tak ada. Saya terpaksa 'jimat sejimat-jimatnya', 'sukat sesukat-sukatnya' dan beli apa yang perlu saja," jelas Cik Siti Norbayah, 38 tahun.

Cik Norbayah bahkan berkongsi beliau tidak mampu memberikan wang jajan untuk anak-anaknya ke sekolah. Mujur, mereka layak menerima kupon hidangan sebanyak $4 setiap hari, dengan bantuan Skim Bantuan Kewangan (FAS).

PABILA PETI SEJUK ROSAK, KEHIDUPAN SI MISKIN LEBIH TERGANGGU

Malah, keadaan keluarganya juga dirumitkan dengan masalah peralatan rumah. Ini terutama sekali apabila, bahagian penyejuk dalam peti sejuknya seakan-akan menjadi tempat beku, dengan sayur-sayuran banyak bertukar "menjadi air batu".

"Keadaannya macam huru-hara, sebab hampir setiap hari perlu beli barang baru dan keluarkan duit beli barang baru.

"Kalau kita beli pun, banyak yang terbuang, sayur-sayuran jadi air batu, belikan anak susu pun jadi air batu," terang Cik Norbayah.

Bahkan, dapur masak juga mengalami keadaan "tersumbat" di mana ia mengambil masa yang lama memanaskan periuk.

SINAR HARAPAN: TERIMA BARANGAN RUMAH SECARA PERCUMA

Namun, rezeki yang tidak diduga seakan-akan datang bergolek bagi Cik Siti Norbayah dan keluarganya kelmarin (5 Jun), pada bulan Ramadan ini.

Ini selepas syarikat perabot dan kelengkapan rumah, COURTS Singapore, memenuhi keperluan keluarga Cik Norbayah dengan menderma dapur masak dan peti sejuk baru yang amat-amat diperlukannya. Malah COURTS juga menghadiahkan katil bersaiz "queen" dengan bantal kepala dan bantal peluk, serta sebuah almari pakaian. Semua itu memang tidak mampu dibelinya buat masa ini.

(Gambar: Ira Musfirah)

Keluarga Cik Norbayah adalah salah satu daripada 22 buah keluarga Muslim berpendapatan rendah yang terpilih untuk mendapat sumbangan perabot dan peralatan rumah secara percuma. Ia secara keseluruhannya bernilai lebih $20,000.

Sebagai sebahagian daripada Program CSR (Corporate Social Responsibility atau Tanggungjawab Sosial Korporat) Penghantaran Rumah COURTS 2018, 17 kakitangan COURTS menghantar sendiri produk-produk tersebut kepada keluarga yang dipilih, dengan kerjasama Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Timur Laut, Pertubuhan Akar Umbi Serangoon dan badan amal Persatuan Hira.

Pengarah Pemasaran selaku jurucakap COURTS Singapore, Cik Joanna Ho berkata: "Sifat memberi kembali kepada masyarakat sudah lama berakar dalam masyarakat kami. Ramadan adalah masa berkongsi rahmat bersama keluarga dan orang tersayang, dan kami mengambil peluang ini untuk memberi kembali kepada masyarakat Islam.

"Dalam budaya Cina, kami berasa seronok apabila memberi dan ia harus dijadikan berbilang kaum. Kami melakukannya untuk bulan Ramadan dan kami berharap dapat melakukannya bagi masyarakat tempatan lain juga."

(Gambar: COURTS Singapore)

KELUARGA 8 BERANAK TURUT TERIMA BANTUAN

Bagi Encik Zaini Sa'at, isterinya Cik Noradlyn Yunos dan enam anak mereka, Hari Raya kali ini juga lebih meriah dengan sumbangan almari, peti sejuk, kipas dan alat seterika daripada COURTS.

"Sebelum ini, kami tidak ada almari dan baju-baju diletakkan sebarangan sahaja," terang Cik Noradlyn. Beliau paling menghargai pemberian peti sejuk itu.

"Jika saya harus mengumpul duit, mungkin saya akan mengambil setahun untuk membeli sebuah peti sejuk," ujarnya lagi.

(Gambar: Ira Musfirah)

Encik Zaini, pencari nafkah tunggal yang bekerja sebagai anggota keselamatan dan menerima gaji harian sekitar $50, turut memberitahu bahawa mereka kini juga sekadar menggunakan mesin pencuci baju terpakai.

"Ada orang mahu membuangnya, tapi saya membeli dengan $50, dengan mengumpul $20 sehari," jelasnya.

Yang pasti, Lebaran tahun ini membawa sedikit keceriaan kepada dua keluarga bertuah ini.

AGAR ANAK-ANAK PANDAI BERSYUKUR

Namun bagi Cik Siti Norbayah, ia melambangkan sesuatu yang lebih bermakna.

"Doa saya adalah agar anak-anak pandai bersyukurlah dengan apa yang diterima, dari kita susah dahulu, dengan barang-barang yang memberi mereka keselesaan sekarang," ujar ibu empat anak ini.

(Gambar: Ira Musfirah)

Yang pasti, dengan sumbangan percuma yang tidak dijangka-jangka itu, Hari Raya tahun ini akan terasa sedikit berbeza dan sedikit berseri bagi kedua-dua keluarga itu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan