Images
  • fb
    (Gambar: REUTERS/Regis Duvignau/Files)

11 maklumat ini perlu anda padam dari akaun Facebook

BERITAMediacorp: Wujudnya akaun media sosial seperti Facebook, membuatkan para penggunanya begitu teruja untuk berkongsi segala-galanya tentang diri mereka.

Jika anda mengikuti perkembangan Facebook sejak akhir-akhir ini, anda pasti tahu tentang skandal Cambridge Analytica. Ini mewujudkan kebimbangan sebahagian pengguna tentang privasi mereka.

Jika anda memilih untuk terus menggunakan akaun Facebook anda, berikut 11 maklumat yang perlu anda padamkan, jika pernah dimuat naik ke laman tersebut:

1. TARIKH LAHIR

Tarikh lahir anda adalah antara maklumat penting termasuk nama dan alamat. Maklumat-maklumat tersebut memudahkan seseorang mengakses akaun bank serta maklumat peribadi yang lain.

2. NOMBOR TELEFON

Masalah kecil yang anda mungkin hadapi gara-gara mendedahkan nombor telefon anda adalah ‘peminat’ yang akan menelefon anda. Tapi yang tidak sanggup apabila ada ‘peminat’ keterlaluan atau ‘stalker’ yang kerap mengganggu anda.

3. KEBANYAKAN ‘KAWAN’ ANDA

Profesor psikologi di Universiti Oxford, Robin Dunbar berkongsi teori yang menyatakan bahawa manusia boleh mengekalkan sekitar 150 hubungan stabil.

Setelah meneliti 3,375 pengguna Facebook, Profesor Dunbar mendapati hanya 4.1 kawan Facebook yang boleh diharap manakala 13.6 menunjukkan sikap simpati semasa berlaku ‘krisis emosi”.

Maka, langkah menghapuskan ‘kawan-kawan’ tertentu di laman Facebook akan mewujudkan interaksi lebih baik di media sosial.

4. GAMBAR/ MAKLUMAT TENTANG ANAK/ ANGGOTA KELUARGA YANG MASIH KECIL

Pemangku Pengarah Institut Internet Oxford, Victoria Nash melontarkan soalan yang amat bagus berhubung isu ini. Soalannya berbunyi: “Apakah jenis maklumat yang ingin kanak-kanak perolehi tentang diri mereka pada masa akan datang?”

Generasi sebelum ini tidak begitu memikirkannya tetapi dengan adanya internet serta media sosial, soalan itu menjadi penting.

Selain itu padam lokasi sekolah atau di mana anak anda berada, jika anda pernah memuat naik maklumat tersebut di Facebook. Jangan mudahkan tugas penjenayah mencari anak anda.

5. KHIDMAT LOKASI

Khidmat lokasi hanya disediakan untuk pengguna telefon Android atau iPhone.

Pada tahun 2015, laman TechCrunch melaporkan lebih 500 juta pengguna mengakses Facebook menerusi telefon bimbit. Ini bermakna nombor telefon yang sama berkemungkinan mendedahkan lokasi di mana penggunanya berada.

Sesiapa sahaja boleh mengetahui di mana anda berada. Bayangkan jika seseorang itu berniat jahat terhadap anda.

6. PENGURUS ANDA

Facebook adalah wadah media sosial dan lazimnya interaksi anda lebih santai.

Namun CEO syarikat di mana anda bertugas boleh mengakses laman Facebook anda dan membaca setiap catatan yang pernah anda muat naik dan ini termasuk keluhan anda tentang kerja.

Tahukah anda bahawa anda boleh menukar ‘setting’ untuk mengecualikan CEO anda daripada catatan-catatan tertentu? Namun ia agak melecehkan dan lebih mudah mengecualikannya terus daripada laman Facebook anda.

7. JANGAN ‘TAG’ LOKASI ANDA

Ramai yang terlupa bahawa perbuatan ‘tag’ lokasi di rumah sebenarnya mendedahkan alamat tempat tinggal anda!

8. BILA & DI MANA ANDA BERCUTI

Menurut laman kewangan, This is Money, para pelancong yang dirompak semasa bercuti mungkin tidak dapat membuat tuntutan wang insurans jika mereka didapati memuat naik perancangan percutian di akaun media sosial.

9. STATUS HUBUNGAN ANDA

Jika anda mahu meraikan cinta yang baru berputik, jangan umumkannya di Facebook.

Hubungan itu mungkin tidak menjadi dan pertukaran status dari “sudah berpunya” kepada “bujang” akan membuatkan anda berasa bertambah murung.

10. MAKLUMAT KAD KREDIT

Jangan sesekali memuat naik maklumat kad kredit di Facebook!

11. GAMBAR PAS NAIK PESAWAT

Mengambil gambar pas naik pesawat seringkali merupakan cara seseorang memaklumkan kepada orang lain tentang percutian mereka. Namun itu adalah perbuatan kurang bijak!

Kod bar (barcode) yang tertera pada pas tersebut unik hanya untuk anda seorang dan ia boleh digunakan untuk mendapatkan semua maklumat yang sudah anda berikan kepada syarikat penerbangan. 

- Agensi berita/NK/nk

Top