Images
  • adults exercising
    Beberapa orang sedang berlari-lari anak di Qatar. (Gambar: Reuters)

1.4 bilion orang dewasa berisiko tinggi tidak bersenam: WHO

LONDON: Lebih daripada suku penduduk dewasa dunia atau 1.4 bilion orang berdepan risiko menghidap penyakit membawa maut kerana tidak cukup bersenam. Menurut satu kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ini termasuk penyakit jantung, kencing manis jenis 2, demensia dan barah.

Pada 2016, satu pertiga daripada wanita dan satu perempat lelaki di seluruh dunia tidak melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi untuk kekal sihat. WHO mengesyorkan setiap orang dewasa melakukan sekurang-kurangnya 150 minit senaman tahap sederhana seperti jalan laju, berenang atau berbasikal setiap minggu atau 75 minit aktiviti lasak.

Para penyelidik juga mendapati tiada peningkatan dalam tahap aktiviti fizikal sejak 2001, menurut kajian mengenai tahap senaman dunia yang diterbitkan oleh jurnal The Lancet Global Health.

Kadar tertinggi kurang senaman pada 2016 dicatatkan golongan dewasa di Kuwait, Samoa, Arab Saudi dan Iraq dengan lebih separuh orang dewasa negara-negara tersebut menjalani gaya hidup tidak aktif.

"Aktiviti fizikal yang tidak mencukupi adalah faktor risiko utama kematian untuk penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, barah dan kencing manis", menurut WHO.

Kajian itu menambah, dengan meningkatkan aktiviti fizikal, mereka akan menikmati kesihatan dan mutu hidup lebih baik seperti mengurangkan risiko penyakit jantung, kawalan berat badan, tekanan darah tinggi, angin ahmar, kemurungan dan pelbagai jenis barah.

Para penyelidik turut mendapati beberapa kecenderungan yang membimbangkan termasuk perbezaan ketara dalam kadar aktiviti fizikal antara negara miskin dan kaya.

Di negara-negara lebih kaya, para penduduknya didapati menikmati gaya hidup yang lebih selesa dan tidak aktif lantas mendedahkan mereka kepada ancaman penyakit. Di negara-negara miskin pula, penduduknya lebih aktif di tempat kerja termasuk dari segi pengangkutan dan kegiatan riadah.

Para penyelidik menyeru pemerintah mengambil perhatian akan perubahan-perubahan ini dan menyediakan prasarana yang menggalak kegiatan berjalan kaki serta berbasikal sebagai jenis pengangkutan. Mereka juga digalak menyediakan ruang bagi aktiviti sukan dan riadah.

- Reuters/SU/tq

Top