Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Stamford Raffles – perwajahan yang cukup rencam sehingga kini

Ada yang melihatnya sebagai tokoh cukup berwawasan dan berdedikasi; namun ada juga yang masih ragu-ragu tentang ketokohan dan sumbangan sebenarnya  kepada sejarah.  

Anggaran Waktu Membaca:

Raffles and the British Invasion of Java  oleh Tim Hannigan (Monsoon Books, 2012) 

Raffles and the Golden Opportunity  oleh Victoria Glendinning (Profile Books, Revised Paperback, 2018) 

Sejak beliau masih hidup lagi hinggalah ke hari ini tokoh yang dikenali sebagai Sir Thomas Stamford Raffles memang tidak pernah lepas daripada pelbagai tengkarah.

Dan dengan bermulanya peringatan 200 tahun beliau menjejakkan kaki di Singapura, pasti semua kontroversi mengenai beliau akan timbul kembali dan menjadi perbincangan meluas terutama di kalangan mereka yang mengambil berat tentang sejarah moden negara.

Sepanjang dua abad ini pelbagai buku sejarah hidup telah ditulis mengenai Raffles, kebanyakannya memberikan pandangan yang positif terhadap beliau.

PENDIRIAN TEGAS 

Di tengah-tengah penilaian yang berterusan itu ada juga yang mengambil pendirian tegas negatif terhadap ketokohan dan keperibadian beliau seperti buku Tim Hannigan Raffles And the Invasion of Java.

Dan sebagai suatu yang agak tidak dijangkakan ada juga penulis seperti Victoria Glendinning yang sama tegasnya dalam mempertahankan Raffles – walaupun bukan pada tahap sanjungan membuta tuli, tetapi dalam memberikan penilaian yang penuh simpati terhadap beliau.

Bagi Glendinning, memanglah benar bahawa Raffles bukanlah seorang wira atau hero yang perlu disanjung.

Turut tidak tepat, kata beliau, adalah untuk menggolongkan Raffles di kalangan penjajah jahat dan kejam (monster).

Kebanyakan gambaran Glendinning dalam Raffles And The Golden Opportunity, melihat tokoh sejarah itu dengan cukup positif yang kadangkala penuh dengan sentimen simpati terhadapnya.

TOKOH IDEALISTIK, BERWAWASAN 

Raffles dilihat oleh penulis sebagai tokoh pentadbir yang idealistik, berwawasan dan cukup yakin terhadap apa yang hendak dicapainya.

Walaupun beliau seorang kakitangan Syarikat Hindia Timur British, badan kerajaan Britain yang berminat untuk meraup untung menerusi penjajahan, Raffles, menurut Glendinning tetap berpegang pada prinsip-prinsipnya: iaitu mahu menghapuskan perhambaan dan membaiki kehidupan rakyat tempatan.

Misalnya, Raffles dikatakan cukup marah dengan William Farquhar, Residen pertama  Singapura, apabila mendapati perniagaan perhambaan masih berlaku walaupun Raffles telah mengharamkannya. 

BERPEGANG PADA PRINSIP

Ini kata Glendinning, menunjukkan Raffles orang yang berpegang pada prinsip. Beliau  tidak berminat untuk mencari kekayaan sahaja, tetapi hanya mahu ‘kemahsyuran dengan melakukan apa yang baik’.  

Berdasarkan kajian-kajian terhadap pelbagai bahan arkib, Glendinning kerap berkesimpulan positif terhadap Raffles: Beliau kagum dengan daya bingkas Raffles, kesungguhan dan dedikasinya, serta kecekalan dan daya optimisnya.

Walaupun berhadapan dengan berbagai cabaran dan tohmahan – seperti kematian isteri, malah empat orang anaknya selang beberapa bulan antara satu sama lain;  disamping pelbagai tuduhan dan cemuhan rakan-rakan pegawai yang lain – Raffles tetap optimistik dan sentiasa melihat kepada peluang-peluang yang terbuka kepadanya.

PANDANGAN LEMBUT

Pandangan-pandangan Glendinning agak lembut terhadap Raffles sehingga ada media konservatif Britain sendiri agak segan silu untuk menerimanya.

Majalah Economist umpamanya berkata beliau terlalu fokus terhadap apa yang baik mengenai Raffles sehingga ada yang tersalah anggap bahawa bukunya mahu memberikan nama baik kepada penjajahan.

Tetapi menurut realiti sejarahnya apakah benar semua yang dilakukan oleh Raffles itu baik dan atas prinsip-prinsip yang betul.

Tim Hannigan dalam Raffles And The Invasion of Java, menolak itu semua dan sebaliknya melontarkan pelbagai  kritikan terhadap Raffles.

Beliau juga merujuk kepada sumber-sumber asas dalam arkib dan juga kajian-kajian pasca penjajahan seperti tulisan Profesor Syed Hussein Alatas, Raffles: Schemer or Reformer.

GAMBARAN YANG LENGKAP 

Hannigan berkata beliau terdesak untuk memberikan gambaran yang lengkap tentang apa yang dilakukan oleh Raffles,  kerana sering mendengar rintihan sesetengah rakyat Indonesia yang ditemuinya.

Mereka beranggapan  bahawa Indonesia mungkin menjadi lebih maju dan moden seperti Singapura sekarang jika ia terus dijajah Britain, dan tidaknya Belanda. (Penjajahan Inggeris di Jawa hanya selama lima tahun di bawah jagaan Raffles dari 1811 hingga 1816). 

Daripada apa yang dikajinya tindak tanduk Raffles semasa di Jawa penuh dengan kejelekan dan langsung tidak boleh diterima ketika itu dan juga hari ini.

TINDAK TANDUK DI JAWA

Penerangan beliau yang panjang lebar menyentuh tentang bagaimana Raffles melakukan sesuatu yang penjajah lebih awal seperti Belanda tidak berani melakukannya.

Ia termasuklah bagaimana beliau memusnahkan dan menghina kesultanan Yogyakarta, merampok harta kraton, melaksanakan perampasan tanah, malah juga menggalakkan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang-orang tidak berdosa.

Apa yang dilakukannya menimbulkan pelbagai kesulitan kepada rakyat tempatan dan juga menggusarkan kerajaan pusat Britain kerana dasar-dasarnya menyebabkan Jawa hampir jatuh muflis.

Walaupun didapati tidak bersalah terhadap beberapa tuduhan penyelewangan dan salah tadbir, Raffles tetap dipecat dari jawatannya itu dan pulang ke England sambil menantikan apa yang akan berlaku ke atas nasib beliau seterusnya.

Raffles bernasib baik kerana penjajah Britain masih memerlukan orang seperti beliau untuk misi seterusnya: kali ini mencari petempatan baru di pulau-pulau selatan semenanjung tanah Melayu untuk dijadikan pusat dagangan bebas milik Britain.

Misi pencarian itu yang dipegang Raffles dengan jawatan kanan baru sebagai Leftenan Gabenor bagi wilayah Bengkulu, Sumatera Barat, akhirnya membawa Raffles ke Singapura.

PANDANGAN KRITIKAL

Hannigan seperti sarjana-sarjana yang kritikal terhadap Raffles, termasuk Syed Hussein Alatas, melihat Raffles dengan penuh negatif.

Hampir kesemua perwatakannya adalah jauh bertentangan daripada apa yang disebut oleh Glendinning.

Raffles, kata Syed Hussein dan Hannigan dan pengkritik-pengkritik lain, bertindak tanpa moral kerana lebih menitikberatkan kepentingan penjajah Britain daripada pihak-pihak lainnya.

Mereka berpendapat pada kulitnya Raffles mungkin nampak lembut, ramah, menghormati masyarakat tempatan, beliau sebenarnya berpegang teguh pada ideologi penjajah, bahawa tanpa penjajahan masyarakat pribumi tidak boleh mencium kemajuan.

Menurut ideologi penjajahan itu, semua rakyat pribumi mestilah menerima penjajah Inggeris, kerana Inggeris bukan seperti penjajah-penjajah lain; ia hanya berniat baik sahaja, walaupun adakalanya tindakan yang diambil tidak menyenangkan masyarakat tempatan.

Sir Stamford Raffles (Gambar: Wikipedia) 

Mengenai Singapura, seperti juga dalam banyak hal lain yang cuba dicapai Raffles, ia tidak lepas daripada kontroversi sebagaimana yang dilakukannya semasa di Jawa.

Penjelajahannya ke pulau-pulau selatan sehingga ke Singapura dilihat Glendinning sebagai pancaran kecekalan dan kesungguhan Raffles untuk membuktikan beliau tahu memanfaatkan ‘peluang keemasan’ yang datang kepadanya.

Selepas baru ‘bebas’ daripada pelbagai tuduhan mengenai apa yang dilakukannya di Jawa, pencarian sebuah petempatan baru untuk Inggeris yang diamanahkan kepadanya adalah peluang terakhir beliau membersihkan namanya.

Namun apa yang berlaku seterusnya adalah ia juga diselubungi pelbagai tengkarah seperti siapakah sebenarnya yang telah ‘menemui Singapura’ (apakah Raffles, Farquhar, Kapten John Crawford dan yang lainnya);

Bagaimanakah beliau boleh mendapat kebenaran membuka petempatan itu sedangkan Singapura sebagai jajahan Johor ketika itu di bawah pengaruh Belanda yang pasti menentangnya;

Di pihak Inggeris pula, tiada pihak atasannya seperti Gabenor Bennerman dan para pengarah Syarikat Hindia Timur  British memberinya lampu hijau untuk memeterai sebarang perjanjian membuka petempatan baru di Singapura.

PERBALAHAN PARA SARJANA

Perbalahan di kalangan para sarjana yang mengkaji Raffles juga berkisar tentang siapakah yang bertanggungjawab dalam  projek memajukan  Singapura sebagai bandar pelabuhan baru.

Ada yang menyatakan sanjungan haruslah diberikan kepada William Farquhar sebagai Residen pertama Singapura yang dilantik Raffles untuk mentadbir pulau ini kerana Raffles sendiri berpangkalan di Bengkulu, Sumatera Barat,  sebagai Leftenan Gabenor.

Atau Residennya yang kedua, Dr John Crawfurd, seorang lagi yang rapat dengan Raffles, yang akhirnya berjaya memeterai perjanjian tahun 1824 antara Inggeris dengan Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman untuk menyerahkan Singapura kepada Britain  buat selama-lamanya.

Glendinning dan sejarawan seperti C.M. Turnbull berpendapat semua matlamat untuk menjadikan Singapura sebagai kota dagangan bebas tidak akan menjadi kenyataan tanpa wawasan, kesungguhan dan kemahiran yang dimiliki oleh Raffles.

Tanpa ketegasan Raffles supaya Britain terus memiliki dan memajukan Singapura dan jangan sesekali menyerahkannya semula kepada Belanda, hujah mereka,  sejarah mungkin menghala  ke arah yang berbeza.

SUMBANGAN PIHAK LAIN

Sejarah memang memihak kepada Raffles dalam menyaksikan Singapura terus mencatat kemajuan pesat dari satu dekad ke dekad lain.

Namun ramai juga sejarawan yang menganggap bahawa adalah lebih tepat lagi jika peranan yang dimainkan oleh pihak-pihah lain  juga diambil kira.

Sejarawan Ernest Chew menulis sekiranya Raffles mahu diangkat sebagai pengasas dan arkitek pembangunan Singapura moden, sumbangan oleh Farquhar, Crawfurd dan ramai lagi warga perintis awal Singapura: iaitu masyarakat Melayu, Arab, Bugis, Cina, India dan Eropah yang lain, haruslah juga dirakamkan sejarah.

Tanpa usaha sepadu dari semua pihak itu, wawasan Raffles yang semana baik sekalipun akan hanya tinggal wawasan sahaja jika tiada pihak mahu melaksana dan menjadikannya kenyataan. 

  

  

Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan