Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Sikap ‘marah-marah’ dalam politik dan fahaman agama membimbangkan

Sentimen berkeras-kerasan semakin menonjol dibandingkan dengan semangat bertolak ansur, bersikap terbuka, berhemah dan ihsan. Ia mungkin simptom sesuatu yang lebih mendasar dan telah berakar sejak sekian lama.

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Sikap ‘marah-marah’ dalam politik dan fahaman agama membimbangkan

Gambar fail tunjuk perasaan di Jakarta, Indonesia. (Gambar: Goh Chai Hin/AFP)

Sekitar buku:

The Age of Anger: A History of the Present oleh Pankaj Mishra, Allen Lane, 2017)

Identity: Contemporary Identity Politics and The Struggle for Recognition oleh Francis Fukuyama, Profile Books, 2018)

Retorik yang kerap kedengaran sejak kebelakangan ini, baik dari benua Amerika, Asia, Eropah atau pun Timur Tengah, semakin keras bunyinya.

Baik retorik politik mahupun agama, nadanya sama: keras, kurang toleran, eksklusif dan ada juga mengarah kepada keganasan.

Inilah realiti yang kita hadapi sekarang, baik dalam budaya politik mahupun dalam kehidupan beragama.

Sentimen berkeras-kerasan semakin menonjol dibandingkan dengan semangat bertolak ansur, bersikap terbuka, berhemah dan ihsan.

Namun ia bukanlah suatu yang baru. Apa yang kita lihat mungkin hanyalah simptom sesuatu yang lebih mendasar dan telah berakar sejak sekian lama.

Inilah yang cuba dijelaskan oleh Pankaj Mishra dan Francis Fukuyama dalam buku mereka: ‘Age of Anger: A History of the Present’ dan ‘Identitiy: The Demand for Dignity and the Politics of Resentment’.

Mishra dan Fukuyama melihat punca utama gejala ini bukan pada globalisasi atau revolusi maklumat atau pun media sosial.

Ia berkaitan dengan bagaimana kehidupan moden kita hari ini telah dibentuk oleh perjalanan sejarah.

Lebih tepat lagi dengan proses yang berputik di Eropah dengan tercetusnya nilai-nilai baru, kepercayaan dan fahaman baru (misalnya, demokrasi, sekularisme, nasionalisme dan sebagainya).

SIKAP BENCI KETERLALUAN

Bagi Mishra, krisis utama yang dilihatnya adalah ‘gelombang besar sikap benci keterlaluan’ yang semakin menggarisbawahi budaya, aliran politik dan agama kebanyakan masyarakat hari ini.

Ia termasuklah sentimen anti-pendatang asing ala-Donald Trump di Amerika dan Eropah, sikap tidak toleran terhadap golongan minoriti baik kerana warna kulit atau gender, atau kebencian terhadap perbezaan agama, kepercayaan dan pandangan berbeza.

Yang semakin ketara hari ini adalah semua rasa tidak senang itu disuarakan dengan keras tanpa beralas sehingga boleh mencetuskan pergeseran dan konflik besar-besaran.

Pankaj Mishra (Gambar Macmillan Publishers)

Gambar Pankaj Mishra. (Gambar: Macmillan Publishers)

Mishra melihat puncanya pada kegagalan pemodenan hari ini untuk memenuhi sepenuhnya ‘luahan aspirasi’ yang meletus ekoran kebangkitan pembebasan individu (Revolusi Perancis, umpamanya, dengan slogan kebebasan, kesamarataan, persaudaraan).

Walaupun dunia banyak menikmati pemodenan dari Barat – baik dari segi teknologi, ekonomi, pendidikan, mutu hidup, kesihatan, malah juga hak asasi manusia, keadilan dan kebebasan peribadi – ia juga melahirkan individu-individu, terutama sekali golongan muda yang cukup gelisah dan tidak tentu arah dengan keadaan hidup yang serba berubah itu.

Golongan idealis muda sekitar lewat kurun ke-19 dan awal ke-20 misalnya, membesar dengan pelbagai idealisme dan aspirasi baru yang menginginkan masyarakat moden lebih adil dan saksama.

Tetapi realitinya masyarakat di bawah sistem kapitalis semakin menjadi berbelah bahagi dengan pembahagian kekayaan yang tidak sama rata, malah juga semakin meningkatnya penindasan terhadap satu sama lain.

Pada masa yang sama, mereka juga sudah tidak lagi terikat pada mana-mana kepercayaan tradisional, dan ini mengakibatkan mereka mudah rasa terasing daripada masyarakat umum, malah terpisah daripada kehidupan umumnya.

IDEOLOGI LEBIH KERAS

Berhadapan dengan keadaan sedemikian, tidak hairanlah ada yang beralih kepada ideologi yang lebih keras untuk mengubah masyarakat, seperti ideologi nihilisme (yang menolak semua prinsip agama dan moral) atau anarkisme (yang membenarkan diruntuhkan semua insitusi negara dan masyarakat).

Ada juga yang mengalihkan semula perhatian kepada aliran tradisional, tetapi kali ini mahu dirombaknya menjadi fahaman yang keras.

Inilah yang melahirkan fahaman dan ideologi keras seperti Bolshevisme, Fasisme, Nazisme, Zionisme, nasionalisme dan fundamentalisme agama (termasuklah fundamentalisme Kristian, Yahudi, Hindu dan Islam).

Pokok pangkalnya, pada Mishra, ledakan ideologi dan sentimen keras yang mendasarinya amat berkait dengan reaksi sesebuah masyarakat itu terhadap permodenan.

Ketidakupayaan mereka untuk menanganinya dengan baik demi memastikan pemodenan mendatangkan faedah seluas-luasnya kepada umum, melahirkan individu-individu pemarah seperti pejuang anarki kurun ke-19 Mikhail Bakunin.

MUSNAHKAN MASYARAKAT

Mereka percaya adalah tidak salah untuk memusnahkan masyarakat dan sistem yang ada hari in supaya suatu yang lebih baik dapat diwujudkan kemudian.

Aliran begini tidak banyak bezanya dengan kumpulan-kumpulan ganas hari ini seperti Al Qaeda atau Daesh yang berjuang untuk menghapuskan sistem yang ada dan digantikan dengan yang lain.

Persamaan ini mendorong Mishra menggelarkan salah seorang pejuang Al Qaeda, Abu Musab Al Suri, sebagai Bakunin dunia Islam – kerana banyaknya persamaan taktik dan strategi kumpulan jihadnya dengan golongan anarki pada awal kurun ke-20.

Al Suri juga digelar Arkitek Al Qaeda Baru kerana strateginya meluaskan pengganasan di Eropah dengan menggunakan belia-belia yang meradikalkan diri mereka sendiri.

KEGELISAHAN HARI INI

Fukuyama juga merenung jauh ke dalam sejarah untuk mencari punca kegelisahan hari ini yang juga berpusat dalam proses pemodenan Eropah.

Baginya, Revolusi Perancis 1789 itu bukan sahaja proses pembebasan dari kezaliman tetapi juga lanjutan tuntutan yang bertambah supaya harga diri individu itu dihormati.

Di sinilah bermulanya demokrasi moden di mana asasnya adalah keinginan supaya semua orang itu dihormati secara saksama tanpa mengira kekayaan atau latar belakang; di sinilah juga bermulanya apa yang dilabelkan Fukuyama sebagai ‘politik pengiktirafan’ (Politics of Recognition).

Dari tuntutan supaya harga diiri dihormati dan diiktiraf, ‘politik pengiktirafan’ atau ‘politik identiti’ ini mendesak supaya setiap identiti kolektif kita diterima dan dihormati.

Ini kerana semuanya adalah sama taraf dan berhak untuk mendapat penghormatan secukupnya.

PENGIKTIRAFAN SAMA RATA

Desakan dan tuntutan untuk mendapatkan pengiktirafan yang sama rata ini membuka jalan kepada berkembangnya fahaman-fahaman bersifat eksklusif.

Antaranya adalah semangat nasionalisme kepuakan dan juga isme-isme lain yang memperjuangkan identiti kumpulan.

(Francis Fukuyama. Gambar Youtube)

Di sini, Fukuyama menggolongkan kecenderungan dan fahaman seperti ‘Islam politik’ (political Islam) di bawah kategori fahaman eksklusif berpuak kerana ia juga memperjuangkan identiti kolektif berasaskan agama.

Ciri persamaan kumpulan-kumpulan sedemikian adalah bagaimana mereka mengetengahkan identiti kolektif sebagai huraian terhadap keresahan dan kegelisahan yang dialami golongan sasaran.

Menyentuh tentang golongan muda Muslim di Eropah sekarang, Fukuyama berkata mereka yang masih keliru dengan identiti mereka, menyambut baik konsep identiti ‘ummah sejagat’ (global ummah) kerana ia seumpama penawar bagi kekosongan yang mereka rasakan sekarang.

PERPECAHAN DAN POLARISASI

Kalau bagi Mishra, punca segala ‘kemarahan’ hari ini terletak pada kegagalan proses pemodenan melayani idealisme golongan muda, bagi Fukuyama pula ‘kemarahan’ itu terjadi kerana ketidakupayaan peradaban hari ini untuk memberikan pengiktirafan kepada setiap kumpulan identiti.

Seperti yang diperhatikan Mishra, Fukuyama juga melihat pemodenan hari ini gagal menampung setiap kehendak individu dan kumpulan-kumpulan identiti bahawa mereka mempunyai martabat (dignity) untuk dihormati.

Ditambah dengan globalisasi dan perubahan teknologi maklumat hari ini, setiap kumpulan identiti itu pula berpecah belah menjadi kumpulan-kumpulan yang lebih kecil.

Akibatnya perpecahan masyarakat atau polarisasi mengikut kaum, agama, latar belakang sosial, lebih mudah berlaku hari ini dibandingkan dengan dekad-dekad lalu.

Ia juga menyulitkan lagi anggota-anggota masyarakat yang masih keliru tentang identitinya untuk merasa tergolong dalam sesuatu kumpulan.

Bagi para individu sedemikian, terutama sekali golongan belia yang belum mantap identitinya, mereka akan terus menjadi terasing dan rasa tersisih daripada arus utama masyarakat.

Jalan keluar yang ada pada mereka seperti yang diperhatikan Mishra dan Fukuyama, kerap menerusi kekerasan – umpamanya dengan menjadi anggota kumpulan-kumpulan militan, kerana mereka dijanjikan dengan identiti yang lebih mantap dan mudah digarap.

TIDAK SEMESTINYA NEGATIF

Mishra melihat gejala ini dari perspektif adanya kekurangan pada peradaban manusia hari ini.

Huraian beliau bercorak renungan jauh ke dalam sanubari kemanusiaan yang memerlukan ‘pemikiran transformatif’ tentang bagaimana kita melihat diri kita sendiri dan juga kehidupan keseluruhannya.

Fukuyama pula lebih bersifat praktikal dengan mengajukan beberapa saranan supaya dibentuk identiti yang lebih besar – seperti identiti kebangsaan yang bersifat inklusif – untuk mengatasi identiti-identiti kecil yang memecah-belahkan masyarakat.

Fukuyama menaruh harapan bahawa mempunyai identiti tidak semestinya suatu yang negatif.

Identiti memang mudah memecah-belahkan kita tetapi ia juga yang boleh menyatukan kita semula – asalkan kita tahu bagaimana hendak melakukannya.   

Sumber : BERITA Mediacorp/IB/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan