Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: S’pura sudah ‘maju’ 700 tahun lalu walaupun berdepan pelbagai cabaran

Tahun 2019 akan dipenuhi dengan pelbagai rancangan dan kegiatan untuk rakyat dan negara memperingati dwi abad selepas Stamford Raffles menjejakkan kaki di Singapura.  

Anggaran Waktu Membaca:
Dua buku mengenai S'pura sebelum 1800

Sekitar buku:

Singapore and the Silk Road of the Sea 1300-1800 oleh John Miksic, NUS Press, (Reprint, 2016)

Studying Singapore Before 1800 oleh Kwa Chong Guan and Peter Borschberg, NUS Press (2018)

Tahun 2019 akan dipenuhi dengan pelbagai rancangan dan kegiatan untuk rakyat dan negara memperingati dwi abad selepas Stamford Raffles menjejakkan kaki di Singapura – peristiwa penting yang sekali gus merubah perjalanan sejarah pulau titik merah ini.

Dalam kita membuat renungan itu, antara banyak buku mengenai Singapura, dua yang pasti mendapat perhatian meluas adalah ‘Singapore and the Silk Road’ oleh John Miksic dan ‘Studying Singapore Before 1800’ oleh Kwa Chong Guan dan Peter Borschberg.

Miksic, Kwa dan Borschberg adalah pakar dalam bidang masing-masing dalam mengkaji susur galur sejarah Singapura dari zaman silamnya sehinggalah kepada era kedatangan Inggeris dan seterusnya.

Miksic yang kepakarannya sebagai profesor arkeologi di NUS berhujah bahawa Singapura sebenarnya adalah kota yang tertua dan jauh dihadapan dibandingkan kota-kota serantau lain seperti Jakarta, Ayyuthya, Manila dan Yangon.

Singapura muncul sebagai kota pelabuhan penting mungkin seawal kurun ke-13 untuk menggantikan kerajaan Srivijaya di Palembang, dengan menjadi pusat perhentian kapal-kapal yang berulang alik dari China hinggalah ke India dan Timur Tengah.

Ia terus makmur mungkin selama 200 tahun sehinggalah digantikan pula dengan kota Melaka sekitar awal kurun ke-15 dan kemudian perlahan-lahan melalui zaman kemerosotannya sekitar kurun ke-17 hinggalah ke-19.

Sebelum diperolehi oleh Inggeris pada awal kurun ke-19, Singapura hanyalah dikenali sebagai sebuah pulau yang tidak didiami oleh manusia kecuali sejumlah kecil Orang Laut.

KOTA TERBILANG BUKAN DONGENGAN

Bagi Miksic, Singapura sebagai kota silam terbilang bukanlah suatu dogengan atau bahan lagenda yang diperbesar-besarkan.

Beliau berpendapat terdapat cukup bukti atau ‘bayangan’ (forgotten hints) yang sebenarnya jelas menunjukkan bahawa Singapura adalah sebuah kota ‘maju’ pada satu ketika dahulu.

Antara bayangan itu adalah peninggalan sejarah termasuk bahan-bahan artifak yang telah digali semula di sekitar kawasan Fort Canning, dulunya Bukit Larangan.

Kalau bagi Raffles yang perlu bergantung pada hikayat seperti Sulalatus Salatin (atau Hikayat Sejarah Melayu) untuk mendapat bayangan mengenai asal usul silam Singapura, Miksic pula berdasarkan pada bahan-bahan sejarah yang ditemuinya untuk membuat kesimpulan tersebut.

Miksic banyak berasaskan pada bahan-bahan artifaknya sementara Kwa Chong Guan pula berasaskan pada bukti-bukti sejarah lain untuk menguatkan hujahnya tentang sejarah silam Singapura.

PUSAT DAGANGAN MARITIM

Kwa, yang kini zamil kanan di Sekolah Kajian Antarabangsa S.Rajaratnam, menganggapnya sebagai tidak tepat kesimpulan beberapa sejarahwan seperti Trenggoning dan Turnbull bahawa tidak ada ‘apa-apa yang penting’ berlaku di Singapura sebelum ketibaan Raffles.

Bagi Trenggoning dan Turnbull, sejarah Singapura cukup bermakna hanya selepas Raffles menjadikan pulau ini sebahagian daripada ‘kepentingan komersil dan strategik British’.

Dalam perspektif sejarah Kwa dan Miksic pula, Singapura sebenarnya sudah pun menjadi penting 500 tahun lebih awal sebelum 1819 atau 700 tahun lalu sejak ia ditemui oleh Sang Nila Utama (juga dikenali sebagai Sri Tri Buana) pada lewat kurun ke-13.

Beberapa kumpulan rencana di dalam Studying Singapore Before 1800  menyentuh tentang sejarah awal Singapura dan rantau Nusantara terutama sekali bagaimana Singapura menjadi pusat dagangan maritim yang penting selepas kejatuhan empayar Srivijaya.

Terdapat juga rencana-rencana yang menyentuh tentang sejarah turun naik Singapura sebelum dan selepas ia diambil alih oleh kerajaan Melayu Melaka, dan seterusnya digantikan dengan kerajaan Melayu Johor Riau.

Kesemuanya – Singapura, Melaka dan Johor-Riau dilihat sebagai pewaris kerajaan Melayu Palembang dan kaitannya dengan empayar Srivijaya dan  Bukit Siguntang Mahameru (yang masih dianggap sesetengah pihak sebagai tempat berasalnya kaum Melayu).  

STRUKTUR POLITIK SILAM 

Kedudukan Singapura agak sentral dalam pembentukan kerajaan Melayu semenanjung dan maka itu agak tepat disertakan dalam Studying Singapore rencana-rencana yang menyentuh aspek budaya dan struktur politik Melayu lama.

Antaranya mengenai peranan penting puak Orang Laut sejak zaman Parameswara hinggalah kepada berakhirnya kepimpinan keturunan kesultanan Melaka-Johor pada akhir kurun ke-17.

Biasanya imej yang kerap digembar-gemburkan oleh pihak penjajah terhadap Orang Laut adalah sebagai lanun tidak bertamadun yang bebas menimbulkan porak-peranda di laut.

Ini adalah gambaran tidak tepat kerana sejak beratus tahun lamanya Orang laut sebenarnya adalah bahagian penting struktur kekuasaan kerajaan Melayu lama dengan peranan mereka sebagai tulang belakang pasukan pertahanan laut.

Pucuk pimpinannya kerap menduduki tampuk kepimpinan yang utama selepas Sultan, Bendahara, Penghulu Bendahara dan Temenggong.

Malah keruntuhan susunan politik kerajaan Melayu Johor-Riau sekitar kurun ke-18 yang memudahkan campur tangan Eropah di rantau ini ada kaitannya dengan perpecahan pucuk pimpinan Melayu dan hubungannya dengan masyarakat Orang Laut. 

ORDE ANTARABANGSA BARU

Di tengah-tengah perubahan politik ini, dunia Melayu termasuk Singapura turut terkesan pula dengan kebangkitan Inggeris dan Belanda selepas berakhirnya Perang Napoleon di Eropah. 

Singapura yang menjadi ‘anak kecil’ Raffles, menurut Kwa, “dilahirkan 15 tahun selepas berakhirnya Perang Napoleon” yang mencetuskan keadaan kelam kabut antara Inggeris dengan Belanda.

Kedua-duanya sibuk bersaing satu sama lain untuk merebut kemewahan di rantau Asia yang dijanjikan oleh sistem dagangan bebas era globalisasi baru kurun ke-19.

Kwa menulis, ketika Raffles menemui Tengku Hussain (sekitar Feb 1819), ia merupakan pertemuan antara dua dunia bertentangan yang melalui proses perubahan masing-masing.  

Di satu pihak Inggeris yang mahu menambah kemewahan dan kuasanya menerusi dagangan bebas. Dan di satu pihak lain pula, dunia Melayu lama yang cuba meneruskan kegemilangan yang pernah diraihnya sebagai pusat dagangan dinamis di bawah empayar Srivijaya lebih seribu tahun lalu.

Kita telah dimaklumkan oleh sejarah bahawa pihak Inggeris yang cukup bersedia dengan perubahan tersebut dengan mudah dapat mengatasi pihak yang mewakili dunia lama yang belum bersedia dengan globalisasi baru.  

Inilah yang dapat kita cedok daripada kedua-dua buku Miksic dan Kwa yang meletakkan pentingnya bagi negara seperti Singapura modern hari ini untuk terus belajar daripada sejarah.

KEGEMILANGAN DAN INSPIRASI

Namun pada keseluruhannya, Singapura dan pucuk kepimpinan Melayu lama umumnya cukup responsif terhadap perubahan semasa dan bertindak pantas untuk mengharungi cabaran.

Sebagai pusat dagangan laut yang terletak di kawasan yang amat strategik, baik dari zaman Sang Nila Utama hinggalah kepada zaman kegemilangan Melaka, pucuk pimpinan keturunan Melayu Palembang amat memahami peranan yang perlu dimainkannya di bawah sistem dagangan bebas silam.

Ia mestilah menyediakan yang terbaik sebagai bandar pelabuhan maritim serantau, cukup dengan sistem perundangan, peraturan dan keselamatan dagangan serta juga hubungan diplomatik yang baik dengan rakan-rakan dagangan di sebelah timur (China) dan di sebelah barat (India, Timur Tengah).

Seiring dengan kedudukannya itu juga, ia amat memahami pelbagai cabaran dan ancaman yang perlu dihadapinya sepanjang 700 tahun kewujudannya.  

Melihat kepada daya bingkas Singapura sepanjang 7 abad yang lalu itu, Kwa menyifatkan sejarahnya itu sebagai ‘satu siri langkah penciptaan semula’ (series of reinvention) dalam ia menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan dari masa ke semasa.

Melihat kepada kedinamikan inilah Miksic pula teruja untuk menyimpulkan perasaannya dengan melahirkan rasa kagum terhadap sejarah silam Singapura.

Pastinya, tegas Miksic, ia harus menjadi inspirasi kepada generasi hari ini untuk meneruskan kegemilangan kita selanjutnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan