Images
  • paris terror attack police
    Anggota polis sedang membantu orang awam ketika serangan yang berlaku di Paris pada 13 Nov 2015 (Gambar: Christian Hartmann/Reuters)

ULASAN: Pengganasan isu kompleks yang wajar dilihat dari pelbagai sudut


Sekitar buku:
Jihad and Death – The Global Appeal of Islamic State, Olivier Roy (Oxford Univ Press, 2017)
Terror in France - The rise of Jihad in the West, Gilles Kepel (Princeton Univ Press, 2017)


Bagaimanakah seseorang itu boleh menjadi radikal, apakah faktor-faktor utama yang mendorongnya dan apakah strategi berkesan untuk menangani masalah ini?

Inilah antara beberapa isu dasar yang mewarnai buku ‘Jihad and Death’ oleh Olivier Roy dan ‘Terror in France’ oleh Gilles Kepel.

Kebanyakan daripada kita mungkin tidak melihat banyak perbezaan antara kedua-dua sarjana ini dalam mereka menyelami isu pokok mengenai pengganasan.

Dalam satu sudut, Roy dan Kepel tidak banyak bezanya: Kedua-dua percaya bahawa dalam konteks Perancis masalah radikalisme di kalangan belia Muslim ada kaitannya dengan sekitaran dan kehidupan mereka yang memudahkan belia-belia ini menjadi berang.

Dari keadaan berang mereka kemudian terpengaruh pula dengan fahaman keras seperti ideologi kumpulan al Qaeda dan Daesh atau ISIS, yang membenarkan kekerasan dan serangan nekad sehingga mati.

FAKTOR UTAMA
Dari satu sudut yang lain, Roy dan Kepel bercanggah bahawa faktor sekitaran sahaja sudah cukup menjadikan seseorang itu radikal.

Perlukah ada faktor-faktor lain seperti ideologi radikal itu sendiri untuk mempengaruhi golongan belia sebegini?


Olivier Roy, ceramah di Middle East Institute, S'pura.

Roy, seorang profesor sains politik di Institut Universiti Eropah di Florence, berbeza pandangan dengan ramai pakar-pakar pengganasan.

Beliau melihat pengganasan (terrorisme) sebagai cambahan daripada budaya ganas (violence) yang semakin berkembang di kalangan golongan muda Eropah – lebih-lebih lagi dengan golongan muda Muslim kerana terdedahnya mereka kepada berbagai faktor.

Yang menjadi gejala baru bagi sebilangan golongan muda Muslim Eropah, menurut Roy, adalah kaitan keganasan mereka dengan budaya ‘sengaja mencari maut’ dengan melakukan serangan berani mati.

Sikap berjuang atas nama agama sebegini yang dinamakan sebagai fahaman jihadi atau jihadism mengkehendaki seseorang penganutnya supaya sedia mengorbankan diri demi mencapai sesuatu matlamat tertentu. (Walaupun pada hakikatnya objektif kekerasan itu mungkin tidak jelas dan juga bertentangan dengan lunas-lunas agama sendiri).

Roy menegaskan bahawa fahaman jihadi begini tiada kaitan langsung dengan Islam.

‘BUDAYA BELIA’
Ia adalah suatu fahaman baru yang tidak boleh dipisahkan daripada ‘budaya belia’ – budaya menolak dan menyisihkan diri daripada masyarakat umum (nihilisme) dan terlalu memandang tinggi atau mengagungkan diri sendiri (narsisisme).

Budaya ini pula berpunca daripada beberapa perubahan mendadak yang berlaku dalam masyarakat, antaranya globalisasi, sekularisasi, perubahan demografi, immigrasi atau kemasukan pendatang luar secara besar-besaran.

Kesemua ini menyumbang kepada pelbagai ketegaran dalam masyarakat – termasuk prejudis, diskriminasi – yang menyebabkan belia dari generasi kedua pendatang ke Perancis (atau Eropah umumnya), terdedah kepada fahaman yang sama kerasnya yang menjanjikan huraian mudah bagi menyelesaikan apa sahaja dilema mereka.

IDEOLOGI JIHADI
Ideologi jihadi itu, misalnya, menjanjikan penyelesaian terhadap segala keresahan yang mereka alami sekarang – keresahan terhadap gaya hidup sekular, kerana identiti mereka yang tidak diterima masyarakat umum (baik sebagai anak pendatang generasi pertama, atau identiti baru mereka sebagai seseorang yang baru memeluk Islam), dan juga kerana adanya percanggahan antara mereka dengan orang tua masing-masing.

Roy juga berhujah mereka yang mudah tertarik dengan ideologi keras itu sememangnya sudah pun menjadi radikal terdahulu akibat ‘budaya belia’ yang disebutkan tadi.

Dan apabila mereka menoleh kepada Islam umpamanya, mereka bukannya tertarik kepada ciri-ciri kesederhanaan Islam, tetapi lebih kepada pemahaman atau tafsiran tegar yang diadu dombakan kepada mereka oleh kumpulan-kumpulan radikal.

IDEOLOGI RADIKAL
Mereka sebenarnya menyukai apa yang terdapat pada ajaran-ajaran radikal yang terkandung dalam fahaman jihadi, kerana ia secocok dengan apa yang diinginkan.

Inilah yang dimaksudkan oleh Roy bahawa gejala yang kita berhadapan sekarang bukan perihal bagaimana Islam menjadi radikal (radicalisation of Islam) tetapi lebih mencerminkan proses Islam diperalat sebagai fahaman radikal (Islamisation of radicalisme).

Pendeknya, Islam tidak meradikalkan mereka tetapi sebaliknya mereka sudahpun menjadi radikal dan dengan itu lebih mirip untuk ‘mencari’ atau ‘mencipta’ ideologi radikal daripada apa yang ada.

Daripada fahaman sedemikian, lahirlah ajaran-ajaran keras seperti berani melakukan serangan bunuh diri, melakukan kekejaman dan porak peranda ke atas masyarakat seperti yang dilakukan oleh al Qaeda, ISIS dan kumpulan-kumpulan ganas yang lain.

MASALAH SETEMPAT
Gilles Kepel juga menyorot beberapa punca pengganasan dengan melihat kaitannya dengan faktor-faktor tempatan dan antarabangsa.

Dalam Terror in France, Kepel memberikan banyak tumpuan kajiannya ke atas Lunel, sebuah pekan di selatan Perancis, dengan penduduk Islamnya membentuk sepertiga keseluruhan penduduk.

Lunel mendapat perhatian dunia dengan gelaran ‘ibu kota jihad Perancis’ empat tahun lalu kerana pernah menjadi penyumbang utama ‘pejuang-pejuang ISIS’ dari Perancis.

Kewujudan pelbagai masalah setempat seperti Islamofobia dan ajaran-ajaran radikal, menyumbang kepada meningkatnya kecenderungan ke arah pengganasan.

FAHAMAN EKSTRIM
Kepel melihat faktor-faktor sekitaran, dinamika sosial (hubungan tegar antara Muslim dengan bukan Muslim, kebangkitan politik pelampau kanan yang anti-pendatang) boleh memberikan penjelasan lebih tepat tentang apa yang menyumbang kepada meningkatnya fahaman ekstrim di kalangan sesetengah golongan muda Muslim.

Kemunculan perpecahan dalam masyarakat disamping meningkatnya sentimen anti-Muslim memupuk naratif perpecahan dan keasingan di kalangan golongan muda Muslim.

Ini semua digunakan sebagai kesempatan oleh puak-puak pelampau untuk berhujah bahawa tiadanya titik pertemuan antara Islam dengan masyarakat dan sistem sekular di Perancis.

Menurut Kepel, fahaman perpecahan sebegini ketara di kalangan golongan muda Muslim kelahiran Perancis yang terbabit dalam pengganasan di dalam negeri atau pun yang terlibat dalam peperangan yang dilancarkan oleh ISIS di Iraq dan Syria.

PENGARUH IDEOLOGI
Kedua-dua Roy dan Kepel tidak menolak faktor sekitaran dan pengaruh ideologi dalam menarik seseorang itu ke dalam pengganasan.

Roy meletakkan lebih tinggi faktor seperti ‘budaya pemberontakan’ belia dan nilai-nilai ‘budaya belia’ – yang dahagakan aksi-aksi ‘kewiraan’ (avenging hero) dan ‘keganasan berestetika’ (aesthetic violence), seperti permainan video – sebagai daya tarik utama ke arah ideologi pengganasan yang dipelopori kumpulan seperti ISIS.

Oleh kerana ia lebih merupakan masalah kecenderungan yang sudah sedia ada (bahawa seseorang itu lebih mudah menerima ideologi pengganasan kerana dia sudah memang radikal atau ganas), Roy tidak menganggap huraianya terletak pada usaha-usaha deradikalisasi atau pemulihan semula.

Huraian jangka panjang pada Roy adalah dengan menyisihkan suara-suara radikal dalam masyarakat supaya ia tidak mempengaruhi yang lain.

Untuk mencapai matlamat itu lebih banyak ruang perlu diberikan kepada golongan sederhana Muslim supaya mereka menjadi lebih berwibawa dan lebih berpengaruh daripada suara-suara pelampau.

FAKTOR PENYISIHAN


Penulis 'Terror in France - The Rise of Jihad in the West'

Kepel, profesor sains politik dan pengajian Arab, akui bahawa faktor penyisihan dan rasa terpinggir boleh menyumbang kepada sesetengah belia tertarik kepada ideologi pengganasan.

Tapi beliau juga percaya bahawa ideologi pengganasan itu sendiri dan fahaman agama yang semakin tegar sebagai hakikat yang perlu dibanteras secara tersendiri.

Kepel berpendapat untuk mengekang penularan ideologi pelampau di sebuah negara seperti Perancis, yang diperlukan adalah penegasan lebih kuat lagi terhadap dasar sekular negara.

Beliau melihat pengasingan agama daripada ruang umum sebagai cara terbaik untuk mengekang kemasukan fahaman radikal ke dalam masyarakat umum.

Pada Kepel, umat Islam Perancis kini lebih terdedah kepada golongan muda Muslim yang lebih tegar dan bersikap konfrontasional, suatu yang menurutnya menyumbang kepada meningkatnya ketegangan antara agama sejak kebelakangan ini.

MENGEKANG RADIKALISME
Roy berpendapat bahawa dasar ‘berbilang budaya’ atau multi-culturalism membuka ruang untuk suara-suara sederhana berkembang dan berpengaruh dalam mengekang fahaman radikal.

Kepel pula melihatnya sebagai tidak berkesan, malah telah menjadi wadah bagi puak-puak ekstrimis yang berpengaruh lebih mudah menyusup ke dalam masyarakat.

Perbezaan pandangan dan pendekatan dalam menangani isu besar dan kompleks ini memanglah harus dijangkakan.

Gejala ini melibatkan berbagai faktor dan punca dasar – baik faktor sejarah, sosio-politik, ekonomi, malah juga psikologi. Oleh itu untuk mendapatkan pandangan yang jelas dan konsisten, ia memanglah memerlukan analisis dan pencerahan daripada pelbagai sudut.

Namun, walau apa pun perbezaan pendekatan atau pandangan, hakikatnya adalah huraian berkesan terhadap gejala radikalisme dan fahaman esktrim perlulah terus dicari.

Kegagalan berbuat demikian kerana sifat sambil lewa terhadapnya akan hanya mendatangkan padah besar yang dikesali kemudian hari.  

- BERITAmediacorp/ur

Top