Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Merenung identiti Melayu-Muslim menerusi seni kontemporari

Karya seni yang mengupas isu-isu identiti tidak mungkin mencapai matlamatnya tanpa meleburkan dahulu anggapan dan kebiasaan yang sering dikaitkan dengannya. Ini dapat dihasilkan melalui karya-karya provokatif dengan unsur-unsur yang segera menyentakkan perasaan.

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Merenung identiti Melayu-Muslim menerusi seni kontemporari

Karya-karya seniman veteran Salleh Japar di pameran 'Still' di Lasalle. (Gambar-gambar: Emillia Amin/BERITAMediacorp)

Karya seni yang mengupas isu-isu identiti tidak mungkin mencapai matlamatnya tanpa meleburkan dahulu anggapan dan kebiasaan yang sering dikaitkan dengannya.

Ini dapat dihasilkan melalui karya-karya provokatif dengan unsur-unsur yang segera menyentakkan perasaan.

Ada pula karya yang mungkin tidak memberi kesan serta-merta namun tetap membangkitkan perenungan dan pengkajian diri.

Salah satu daripadanya adalah karya seniman veteran tempatan, Encik Salleh Japar, 57.

Beberapa karya beliau yang meneroka pertembungan idea, identiti dan tradisi dalam konteks pasca moden kini dipamerkan di Galeri Brother Joseph McNally, Institut Seni Kontemporari Singapura Lasalle.

Berkecimpung dalam bidang seni kontemporari sejak kira-kira tiga dekad lalu, Encik Salleh merupakan seorang penerima Anugerah Seni Visual Dewan Perniagaan dan Perusahaan Jepun dan Anugerah Belia Singapura (Seni dan Kebudayaan).

Antara kemuncak penglibatan beliau dalam dunia seni tempatan adalah mewakili Singapura di pameran berprestij Venice Biennale yang dianggap sebagai satu pencapaian besar bagi seorang seniman.

PROJEK BERBILANG DISIPLIN

Bertajuk ‘Still’, pameran daripada 26 Jan hingga 27 Feb ini adalah projek berbilang disiplin oleh Encik Salleh dan rakan pensyarahnya dari Maktab Seni Lasalle Cik Joanne Pang.

Bersama para pelajar dari Sekolah Komunikasi Rekaan maktab tersebut, mereka meneroka kaitan antara simbol, bahasa dan ingatan melalui penggunaan pelbagai media dalam karya-karya yang dipamerkan.

Lima karya terpilih Encik Salleh yang menjangkau tahun 1990an hingga masa ini mencerminkan ciri khas karya-karya beliau yang umumnya menggunakan teknik media campuran menggabungkan cat, arca dan lukisan.

Kesinambungan di antara kesemuanya tidak terletak pada subjek yang tunggal tetapi sebaliknya penggunaan simbol yang melambangkan makna dan falsafah.

Dipengaruhi oleh unsur-unsur kebudayaan Melayu dan pemikiran Islam, simbol dan motif yang digunakan dalam karya-karya Encik Salleh antaranya meraih ilham daripada kesenian geometri Islam dan pertukangan ukiran Melayu.

Ini paling ketara dilihat dalam karya terkini beliau di pameran ‘Still’ bertajuk ‘Jelmaan Panji-Panji Hitam’ (2018-2019).

Mengisi ruang terbesar galeri pameran, tiga helai kain hitam digantung pada dinding bersebelahan satu sama lain.

Istilah ‘panji-panji hitam’ adalah cetusan daripada keadaan semasa yang memperlihatkan penggunaan panji-panji hitam oleh kumpulan militan Daesh atau ISIS.

Mengamati makna simbolik yang lazim ditemui dalam hasil seni Encik Salleh, karya media campurannya menempatkan identiti Muslim di tengah-tengah realiti hari ini yang berdepan dengan pelbagai tanggapan mengaitkan Islam dengan keganasan.

Namun lebih daripada satu kenyataan isu semasa, rujukan panji-panji hitam itu juga mempermasalahkan istilah atau konvensyen tertentu yang mungkin jarang dipersoalkan.

Apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran kita bila mendengar istilah ‘Panji-Panji Hitam’? Apakah tanggapan kita terhadap makna simbolik warna hitam?

Adakah ia membangkitkan misteri, rasa negatif atau sebaliknya? Mengapa dan bagaimana tanggapan itu terbentuk?

TINGKATKAN PEMAHAMAN

Seni tentunya tidak wujud dalam kekosongan dan situasi sejarah, kebudayaan dan sosial di sebalik sesuatu karya dapat meningkatkan pemahaman kita tentang apa yang ingin disampaikan seseorang seniman.

Ini terungkap dalam unsur-unsur sejarah bendera Islam dalam karya ‘Jelmaan Panji-Panji Hitam’.
Antaranya, motif bulan sabit pada bendera Tunisia sebelum ia ditakluki di bawah kekuasaan kerajaan Uthmaniyah.

Juga, lambang pedang Zulfiqar yang dikaitkan dengan bendera Turki dari abad ke-16 dan 17 dan reka bentuk dari bendera kuning empayar Mamluk.

Di bahagian atas setiap kain hitam yang digantung itu pula adalah sejadah-sejadah menandakan kiblat atau orientasi.

Ketiga-tiganya kelihatan seperti bercabang dari tengah – dibuat daripada fabrik berwarna kuning terang, secebis daripada ayat dalam Surah An-Nur – Nur Ala Nur. Membawa maksud ‘cahaya di atas cahaya’ ia sering diperkatakan oleh ahli Sufi sebagai renungan diri tentang cahaya diri untuk terus menerangi dan mencari panduan.

Kesemua simbol dan motif yang diketengahkan itu bila diletakkan di atas kain-kain hitam tersebut meneroka pertembungan idea, identiti dan tradisi.

Sejadah-sejadah yang digunakan menggambarkan soalan, bagaimanakah kita ingin menentukan arah dan haluan diri bila berdepan dengan pelbagai persepsi tentang Islam dari luar.

Sebagai karya yang bersifat spiritual, Encik Salleh meraih inspirasi bukan sahaja dari idea-idea pemikiran Islam tetapi juga dari latar belakang warisan kebudayaannya.

Ini dapat dilihat daripada motif dan lambang kebudayaan Melayu yang terdapat pada barang-barang perhiasan serta jubin dan ukiran dari masjid dan istana dalam karya ‘Jelmaan Panji-Panji Hitam’.

Satu lagi karya Encik Salleh dalam pameran ini adalah ‘Siri Jammarat’ (2018). Jelas berbeza daripada penampilan warna hitam sebagai asas karya ‘Jelmaan Panji-Panji Hitam’ karya ini terdiri daripada tiga kotak putih menggambarkan ritual melontar jamrah dalam ibadat haji.

Berbentuk seperti kotak-kotak piza diperbuat daripada kadbod, karya ini diilhamkan sebagai ‘take away box’ melambangkan tiga ‘takeaway’ atau pengamatan.

Kotak pertama adalah sebuah peta melontar jamrah sementara kotak kedua menggambarkan laluan atau arah.

Kotak ketiga pula yang bahagian bawahnya dibuat daripada bahan kertas pulpa dan kasar permukaannya, mirip permukaan tembok Jamarat.

Dari segi estetika, Encik Salleh melihat Jamarat itu seperti satu arca yang memainkan peranan dalam satu kejadian (ritual) mengikut tertib-tertib.

Tiga karya lain Encik Salleh di pameran ‘Still’ adalah ‘Altar Series’ (1989-90), ‘Tanjong Pagar ke Calcutta’ (1998) dan ‘Siri Bulatan Hitam (2000).

Meskipun bukan satu pameran besar-besaran, karya-karya yang diketengahkan Encik Salleh bukan saja penting dari segi mempersoalkan konvensyen dalam berkarya tetapi juga membuka ruang untuk dialog yang sihat mengenai kehidupan beragama serta isu-isu jati diri, kepelbagaian tradisi dan toleransi.

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan