Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Mengenali sejarah silam S’pura menerusi teks klasik Melayu

Bagaimana bahan-bahan dongeng dalam teks silam seperti Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu juga mengandungi fakta-fakta sejarah yang tersembunyi disebaliknya.    

Anggaran Waktu Membaca:

Sekitar buku: 

Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu diusahakan W.G Shellabear (Fajar Bakti, 1975) & A. Samad Ahmad (DBP, 1979) 

Sedang kita memulakan peringatan 200 tahun Singapura memasuki era baru dengan ketibaan inggeris ke sini, ia juga masa yang sesuai untuk kita merenung kembali susur galur sejarah negara.

Salah satu sumber sejarah yang menarik tentunya adalah teks klasik Sulatus Salatin, yang lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu.

Tetapi tidak seperti teks sejarah yang biasa kita ketahui Sejarah Melayu tidak menyediakan fakta-fakta sejarah yang objektif.

Ini kerana matlamat utama penulisannya bukan untuk merakamkan sejarah. Tetapi untuk mengagung dan  ‘mengabsahkan’ salsilah raja-raja Melayu lama “supaya diketahui oleh segala anak cucu…dan boleh diingatkan oleh segala mereka itu.”

Ia melakukan ini semua dengan pelbagai penceritaan termasuk cerita rekaan semata-mata dan menggunakan beberapa perlambangan atau simbol-simbol tertentu. 

Inilah sebabnya mengapa ada sejarawan-sejarawan yang tegas menyatakan bahawa Sejarah Melayu tidak boleh diterima sebagai karya sejarah.

Namun di sebalik cerita-cerita dan mitos itu, Sejarah Melayu tetap mengandungi unsur-unsur sejarah yang boleh kita manfaatkan untuk memahami pelbagai aspek sejarah, politik, ekonomi, sosio-budaya dan kepercayaan masyarakat ketika itu.

SEJARAH SILAM SINGAPURA

Untuk mengetahui bagaimana Sejarah Melayu berguna kepada kita dalam memahami sejarah silam Singapura, pertama sekali kita mestilah tahu serba sedikit latar belakang sejarah dan konteks politik dan sosio-budaya masyarakat, malah juga tentang persekitaran alam mereka.

Hanya dengan membandingkan fakta-fakta sejarah yang diketahui ketika itu dengan penceritaan dan penggunaan mitos dalam Sejarah Melayu, kita serba sedikit boleh  memahami apakah sebenarnya yang cuba diterangkan pihak pengarang.

Pendekatan beginilah yang mungkin digunakan oleh Stamford Raffles atau pihak Inggeris sehingga mereka tahu Singapura sememangnya sebuah kota pelabuhan silam yang agak mahsyur suatu ketika dahulu.

Sesetengah laporan sejarah ada menyebut seolah-olah penemuan Singapura oleh pihak Inggeris adalah suatu kebetulan.

Mereka bersetuju memilih Singapura selepas gagal menemui tempat yang sesuai di Karimun untuk membuka pangkalan dagangan baru di selatan Semenanjung Tanah Melayu.

SINGAPURA PENERUSAN PALEMBANG

Hakikatnya Raffles cukup yakin bahawa Singapura merupakan bekas pelabuhan silam yang terkenal di Asia Tenggara, selepas pembacaannya dalam Sejarah Melayu dan juga dari sumber-sumber lain.

Malah, sejarah telah mencatatkan bahawa sejurus selepas beliau menjejakkan kaki di Singapura, Raffles terus ke kawasan Padang untuk melihat sendiri Bukit Larangan (kini Fort Canning).

Seperti apa yang beliau faham dari Sejarah Melayu di bukit itulah (disebut dalam Sejarah Melayu sebagai Bukit Singapura) raja-raja Melayu termasuk Sang Nila Utama atau Sri Tri Buana dimakamkan.

Apabila Jambi kemudian tewas kepada kerajaan Singahsari Jawa Timur sekitar lewat kurun ke-13, ia bertepatan dengan penemuan Singapura oleh Sang Nila Utama, yang ketika itu sudah pun menukar namanya kepada Sri Tri Buana.

PERANAN SINGAPURA

Sejarah Melayu tidak menjelaskan secara fakta tentang sebab-sebab Sang Nila Utama berpindah dari Bukit Seguntang di Palembang hingga sampai ke Singapura.

Tetapi penceritaan asal usul beliau di Bukit Seguntang dekat sebuah Sungai Melayu di Jambi, jelas menunjukkan bahawa Sang Nila Utama dan pembentukan kerajaan Melayu di Singapura, Melaka dan seterusnya adalah penerusan daripada Palembang.

Walaupun peranan Singapura terjejas selepas pembukaan Melaka dan kemudian kejatuhan Melaka sendiri ke tangan Portugis, Sejarah Melayu tetap relevan dalam memberikan kita kefahaman tentang apa yang sebenarnya berlaku ke atas Singapura dalam tempuh dua ratus tahun antara kurun ke-17 hinggalah kurun ke-19.

Dalam tempoh ini, menurut para sejarawan, Sejarah Melayu memberi kita wawasan tentang kedudukan dan peranan Singapura dalam struktur politik kerajaan Melayu Melaka dan Johor.

PERANAN ORANG LAUT

Salah satu daripadanya adalah kedudukan dan peranan masyarakat Orang Laut yang kebanyakannya dari pulau-pulau selatan termasuk Singapura.

Peranan Orang Laut begitu penting bagi kerajaan Melayu Singapura-Melaka-Johor yang terakam dalam Sejarah Melayu. Ini kerana peranan penting mereka dalam bidang pertahanan baik sebagai panglima atau laksamana.

Malah, setengah sarjana beranggapan bahawa tokoh Laksamana Hang Tuah dalam Sejarah Melayu mungkin sebagai penghargaan kepada sumbangan masyarakat Orang Laut dalam pertahanan kerajaan Melayu ini.

Dalam Sejarah Melayu, pucuk pimpinan Orang Laut adalah tinggi kedudukannya sama dengan para hulubalang atau menteri ketika itu, dengan batin atau ketua mereka menggunakan gelaran seperti Seri Bija Diraja atau Seri Bija Wangsa.

Dalam Sejarah Melayu Iskandar Syah, raja terakhir Singapura berjaya  melarikan diri ke Muar dan Melaka kerana adanya bantuan Orang Laut.

PERSEKITARAN SINGAPURA

Sejarah juga menunjukkan bahawa raja-raja Melaka-Johor yang terpaksa berpindah randah pada kurun ke-17, akhirnya lebih selesa berlindung di kawasan-kawasan yang diduduki oleh Orang Laut seperti di kepulauan Riau.

Selain memberi kita wawasan tentang struktur politik dan kekuasaan kerajaan Melayu, Sejarah Melayu juga memberikan gambaran yang menarik tentang persekitaran kawasan kota Singapura ketika itu.

Antaranya gambaran tentang keindahan kawasan kota Singapura yang dibangunkan Sri Tri Buana, dengan “kota paritnya’,  ‘ segala istana, balai rung, rumah orang, kedai, pasar; terlalu indah perbuatan negeri Singapura itu.”

Kemakmuran yang digambarkannya itu memang sejajar dengan fakta sejarah tentang kedudukan Singapura sebagai kota pelabuhan ketika itu:

“Terlalulah makmumya negeri itu, adalah labuhan dagang dari Teluk Tanjung Ru, sampailah ke parit, kampung orang; dari negeri itu sampai ke Tanah Merah bertemu bumbungan rumahnya.”

KAITAN DENGAN ASAS SEJARAH

Ini semua menunjukkan bahawa walaupun ada pelbagai mitos yang disebut oleh Sejarah Melayu berhubung dengan Singapura, kebanyakan hal dan peristiwa yang dibangkitkan ada kaitannya dengan asas-asas sejarah.

Tetapi sebagai pembaca yang kritikal kita mestilah tahu menilai apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.  

Kita harus tahu merungkaikan setiap unsur tersebut dengan menggunakan pelbagai kaedah dan pengkajian yang saintifik, lagi rasional.

Ini semua perlu dilakukan agar kita tidak mudah terpedaya sehingga keliru antara fakta dengan dongeng.

Bagi Stamford Raffles kajian dan pembacaannya  terhadap sumber-sumber klasik seperti Sejarah Melayu nampaknya cukup menyakinkannya bahawa beliau tidak tersilap langkah apabila menjejakkan kakinya di sini 200 tahun lalu.


* Kedua-dua teks Sejarah Melayu yang diterbitkan Fajar Bakti dan DBP di atas boleh dimuat turun secara online.  

Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan